Kedah Perlu Pergiat Promosi Produk Pelancongan

SUNGAI PETANI, 10 Mac – Kerajaan negeri Kedah diminta mempergiatkan usaha mempromosi produk pelancongan di negeri ini khususnya berkaitan tamadun, seni dan budaya agar setanding dengan lokasi lain di dunia.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehudin bertitah, daerah Kuala Muda misalnya mempunyai kesan dan tinggalan sejarah yang tidak terdapat di tempat lain seperti di Sungai Batu dan Kompleks Candi Batu Pahat yang mempunyai tahap ketamadunan yang tinggi.

Baginda bertitah demikian ketika berucap pada majlis minum petang serta perasmian Pameran Seni Dan Budaya ‘Menelusuri Sejarah Kuala Muda’ di sini, hari ini.

Titah baginda, pelbagai artifak serta monumen peninggalan sejarah yang tertua dan dikagumi boleh diketengahkan menerusi promosi berterusan yang mampu menarik pelancong ke Kedah, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri seperti tempat-tempat bersejarah lain di Amerika Selatan, Mesir dan Jordan.

Sumber BERNAMA

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top