Jamuan Makan Sekeluarga di Syurga

PELBAGAI nikmat dan ganjaran yang menanti buat orang yang beriman di dalam Syurga. Bertemu bersama dengan insan-insan kesayangan yang sudah terpisah di bumi, disatukan kembali oleh Allah SWT ketika di dalam syurga.

Antara nikmat Allah SWT ketika di syurga termasuklah tentang makan yang dikisahkan menerusi ayat al-Quran, Surah al-Thur, ayat 19 yang bermaksud: (Dan dikatakan kepada mereka): “Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik kesudahannya, dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.

Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman, melalui segmen Ibrah minggu lalu yang bersiaran di IKIMfm pada setiap Isnin, 5.15 petang menjelaskan mengenai tafsiran ayat ini dan pengajaran yang boleh diambil. Ustaz perihalkan mengenai kisah makan istimewa yang dijanjikan oleh Allah SWT ketika berada di dalam syurga. Allah SWT apabila menceritakan tentang makan di dalam Al-Quran tidak hanya bercerita ringkas tetapi dengan penuh lengkap. Menerusi surah yang sama, huraian mengenai apa jenis makanan dan bagaimana bentuk makanan diceritakan dengan lengkap sehingga akhir surah ini.

Jamuan makan bersama keluarga ini diceritakan oleh Allah SWT dan diperincikan melalui ayat-ayat lain di dalam al-Quran dan kesudahan yang indah buat penghuni-penghuni syurga yang akan berkumpul dan bertemu semula dengan insan-insan kesayangan mereka.

Jamuan makan ini diceritakan oleh ustaz syaari menerusi rangkuman pelbagai ayat di dalam al-Quran. Gambaran makan di dalam syurga ini seperti keinginan kita terhadap buah yang sangat lazat yang benar-benar menjadi kesukaan kita. Buah-buahan yang segar ini lebat di atas pokok. Apabila terlihat buat ini, kita benar-benar suka dan ingin merasainya dengan penuh kenikmatan. Betapa istimewanya layanan yang diberikan kepada setiap ahli syurga, pohon-pohon yang lebat dengan buah ini, merendang dan merendahkan diri mereka bagi memudahkan tetamu syurga menikmatinya.

Buah yang terlalu banyak, apabila dimakan tidak berkurang dan masih banyak lagi. Begitulah gambaran yang diberikan oleh ustaz mengenai makanan yang sangat lazat yang tidak pernah habis dan putus bekalan. Ustaz menambah lagi kisah dengan kita memetik buah yang lazat itu dan menikmatinya di bawah pohon ketika bersantai di atas sofa sambil ditemani bidadari-bidadari syurga. Sambil enak dan asyik menikmati buah-buahan segar yang dipetik terus dari tangkainya, terdengar satu suara indah yang datang dari tuan punya pokok dengan menyeru ‘makanlah dan minumlah’.

Kemudian, menerusi ayat yang sama juga, Allah SWT juga menyebut tentang minum. Ustaz menggambarkan perihal merasai nikmat minum di dalam syurga. Digambarkan ketika di syurga kita akan dihidangkan dengan minuman yang paling lazat bukan dari cawan atau bekas biasa tetapi dari bekas emas dan perak yang di dalamnya terdapat air terus dari pancutan yang mengalir padanya air-air yang enak lagi menyelerakan. Minuman ini tidak henti-henti mengalir.

Segala kenikmatan ini dihidangkan oleh pemuda-pemuda tampan. Setiap individu ada hamba-hamba pelayan yang membuat setiap mata terpaku akan ketampanan dan kelembutan tutur katanya. Setiap saat adalah kejutan daripada Allah SWT dengan keindahan dan kecantikan. Setiap satu keindahan dan kejutan ini datang silih berganti. Satu demi satu hadir memukau pandangan ahli syurga sebagai ganjaran dan hadiah yang cukup istimewa daripada Allah SWT. Allah SWT sendiri yang hidangkan segala kenikmatan itu kepada setiap hambaNya.

Menerusi Surah Al-Thur ini juga Allah SWT menyebut, para penghuni syurga dinikahkan dengan bidadari-bidadari syurga. Allah SWT menggambarkan perihal bidadari ini mengenai kecantikan akhlaknya dengan menundukkan pandangan mereka dan mata mereka hanya tertumpu kepada kita. Mata mereka secantik permata terindah di atas dunia.

Apabila kita berkenal-kenalan dengan bidadari ini sambil menikmati buah-buahan enak di atas sofa dan minuman terbaik di syurga, bidadari ini berkata mereka tidak dipernah disentuh oleh sesiapa dan hanya istimewa untuk penghuni syurga. Ada juga ahli syurga yang bersantai menikmati keindahan syurga di atas permaidani syurga yang begitu empuk dan indah sambil dilayan oleh pemuda-pemuda kacak dan bidadari-bidadari syurga.

Begitulah digambarkan istimewanya layanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambaNya untuk menikmati syurga yang serba indah. Ini adalah hasil daripada amalan yang dilakukan oleh kita ketika berada di muka bumi dengan pelbagai ujian dan cabaran namun tetap beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Menurut Ibnu ‘Asyur, gambaran-gambaran yang diperincikan oleh Allah SWT mengenai keindahan dan kenikmatan di dalam syurga adalah terhasil daripada setiap amalan kita dan ia ada kaitan dengan apa yang kita lakukan di dunia bagi meraih nikmat di syurga.

Segala jenis kenikmatan ini tidak terbayang dan tercapai oleh akal dan fikiran manusia, tetapi Allah SWT memberi sedikit bayangan betapa kehidupan di syurga yang tidak tergambar akan keindahannya seharusnya menjadi motivasi dan inspirasi kepada semua orang agar dapat menikmatinya.

Kita hendaklah sentiasa menyimpan azam dan keinginan untuk jadikan syurga sebagai matlamat dalam hidup kita. Kehidupan yang kekal abadi di syurga dengan pelbagai nikmat yang telah diperincikan oleh Allah SWT haruslah menjadi idaman setiap daripada kita.

Persoalannya, adakah setiap amalan kita di dunia benar-benar amalan penghuni syurga? Tepuk dada, tanya iman. Agar syurga yang indah menjadi hadiah buat kita daripada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Februari 2016
Kongsi Artikel ini :

1 Comment

  1. siti nasuhaFebruary 19, 2016

    Assalamualaikum Dj Faiz, bagaimana caranya saya ingin menghubungi Dj Faiz? Ada tugasan universiti yang perlu diselesaikan.
    Siti Nasuha Suherman
    tel: 01127867315
    emial: sitinasuhasuherman@gmail.com

Leave a Reply

Scroll to top