Jakim Saran Solat Hajat Mohon Isu Rohingya Tidak Berpanjangan

PUTRAJAYA, 13 September – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyarankan agar masjid dan surau mengadakan solat hajat Jumaat ini bagi mendoakan agar isu Rohingya tidak berpanjangan.
Ketua Pengarah JAKIM Tan Sri Othman Mustapha berkata ia akan diadakan selepas solat Jumaat.
“JAKIM mengambil inisiatif melalui masjid-masjid utama Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta seluruh masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan solat hajat pada 15 September ini selepas solat Jumaat.
“Penganjurannya bertujuan untuk mendoakan agar isu Rohingya tidak berpanjangan serta mengambil kesempatan untuk mendoakan kesejahteraan negara kita sempena sambutan Hari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga meminta kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh negara untuk turut sama mengadakan solat hajat di masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing.
Sumber BERNAMA

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top