Islam Itu Indah: Puasa Yang Bermakna

Saya memulakan pengisian ruang IKIMfm di akhbar No.1 tanahair ini dengan menyajikan intipati bicara al-Fadhil Ustaz Pahrol Mohd. Juoi dalam rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran setiap Rabu jam 10.15 pagi di IKIMfm: Pilihan Utama Anda. Moga-moga ianya memberi manfaat buat kita semua.

Setiap yang tercipta punya tujuan dan setiap yang disyariatkan punya matlamat. Segalanya untuk menjadikan khalifah itu hamba Allah yang berfikir.

Komposisi lautan pada mata si marhain mungkin hanyalah ombak, buih dan sampah sarap yang terapung di permukaannya. Pada mata si nelayan pula,  ianya adalah lubuk rezeki mereka di mana khazanah laut bersemayam di dalamnya. Pada penjejak mutiara, mereka menerobos terus melihat mutiara dalam tiram di dasar lautan. Jurutera petroleum pula melihat lautan dengan apa yang ada di perut laut iaitu emas hitamnya. Maha Suci Allah, sesungguhnya benarlah pepatah inggeris ada menyebut what you see is what you get jadi di sinilah peri pentingnya melihat sesuatu dengan pandangan yang sebenar, betul dan tepat.

Demikian juga bila menyentuh tentang perkataan puasa yang dipercayai berasal dari bahasa Sanskrit iaitu upavāsa  yang pada asasnya bermaksud mendekati Tuhan. Puasa dalam konteks kita sebagai muslim antara lain membawa maksud menahan diri daripada makan, minum dan sifat-sifat yang buruk demi untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan kemuncak kepada puasa itu adalah untuk mencapai takwa. Jadi, adakah puasa yang telah kita tempuh beberapa hari ini sudah memberi bayang-bayang buah takwa yang kita dambakan?

Dalam Tafsir Ath-Thabary, menerusi Surah Al-Baqarah ayat 183 Allah berfirman mafhumnya, “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.

Oleh itu, ambil masa sejenak, dikurniakan usia untuk sampai di bulan Ramadan yang dinantikan dengan penuh keterujaan, persiapan dengan doa dilabuhkan seawal Rejab dan Syaaban, adakah setiap masa yang berlalu dimanfaatkan? Rezeki sudah di tangan adakah mahu dilepas dari genggaman? Semoga Ramadan kali ini kita peroleh puasa sebenar bukannya puasa tersasar.

Perlu kita ingat, menjalani ibadah puasa bukan sebagai adat dan kebiasaan. Marilah kita mengambil peluang berpuasa yang merupakan amalan menghampirkan diri seorang hamba kepada tuan sebagai lubuk mendapatkan keampunan, bukan ditinggalkan dengan kempunan. Bukankah pengampunan Allah itu lebih luas dari dosa kita? Jadi lakukanlah.

gambar-buka-puasa-ramadhanRamadan adalah medan menundukkan nafsu, meningkatkan iman dan berusaha dengan penuh harap untuk mendapatkan keampunan tuhan. Dengan berpuasa menjadi bekalan orang beriman dan menjadi perisai agar tidak terjebak dalam jurang maksiat dan kejahatan. Orang yang mendapat keampunan di bulan Ramadan adalah mereka yang digambarkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis riwayat Bukhari mafhumnya,“Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”

Indahnya Ramadan dan lebih indah lagi kasih sayang Allah menerusi bulan ini. Semoga usaha menegah diri dan membanyakkan amal soleh menjadi penyebab untuk mendapat keampunan dari Allah dibulan yang Allah menawarkan pengampunanNya.

Dengan berpuasa juga bukan sahaja mendidik diri punya simpati malah empati untuk melebur individualistik dan egoistik. Maha Penyayang dan Maha Adilnya Allah tanpa menyampingkan walau seorang hambaNya pun dalam merasai nikmat rahmat kasihNya. Si fakir dan miskin ditarbiah setelah lali dengan kelaparan. Rutin meninggalkan makan dan minum kerana kemiskinan berubah menjadi meninggalkan makan dan minum kerana Allah. Berbeza bagi Si Kaya, tatkala Ramadan berkunjung, mereka berlapang dada meninggalkan makan dan minum walau mampu mendapatkannya dengan semudah kata. Semua dilakukan kerana Allah. Sebagai tanda kasih Allah buat  mereka yang sanggup lakukan semua kerana Allah, Allah berikan identiti baru buat mereka iaitu Si Miskin yang sabar dan Si Kaya yang bersyukur. Dan semua itu mendorong jalan kepada takwa.

Sesungguhnya Allah tidak mendapat walau sebesar zarah manfaat pun dari ibadah puasa kita. Malah ketaatan kita tidak akan pernah menambahkan keagungganNya, apatah lagi kederhakaan kita tidak sekelumit pun mengurangkan keagunganNya yang Maha Kuasa. Manfaat ketaatan dan mudarat larangan Allah adalah untuk kita, hambaNya. Berpuasalah dengan puasa yang sebenar yang akhirnya memberi kesan takwa dalam hati dan diri kita. Lihatlah puasa dan Ramadan dari sudut pandang Allah bukan sekadar pandangan mata kasar kita. Padamkan persepsi salah kita tentang puasa agar ia tidak terus menjadi budaya dan insha Allah jika pemikiran kita betul, maka akan hadir yang betul dalam kehidupan kita.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Berita Harian bertarikh 14 Julai 2014 dalam segmen Agama
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top