IKIMfm Terbit Rancangan Khas Raikan ulangtahun ke-16 Penubuhan

Kuala Lumpur, 6 Julai – Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) menyambut Ulangtahunnya yang Ke-16 pada hari ini 6 Julai 2017 bersamaan 13 Syawal 1438H. Sempena sambutan ulangtahun itu, IKIMfm menerbitkan sebuah rancangan khas dengan mengundang tetamu istimewa iaitu mantan Pengarah Radio IKIMfm Dr Johani Salleh. Rancangan tersebut disiarkan menerusi slot Warna pagi yang diterbitkan oleh Maslina Alias.

Dalam rancangan khas itu,  Dr. Johani berkongsi cabaran awal penubuhan radio yang dirasmikan  oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 6 Julai 2001.

Dr. Johanni Saleh, dua dari kanan

“Antara cabaran penubuhan awal IKIMfm adalah menentukan kategori frekuensi “am” atau “fm” bagi radio tersebut. Idea awalnya adalah menggunakan “am” supaya  siarannya dapat di dengari seluruh dunia, namun terdapat kekangan kewangan pada ketika itu dan IKIM memilih untuk disiarkan hanya dalam Malaysia”. Katanya dalam rancangan yang disiarkan pada jam 9.00 pagi, Khamis.

Dr Johani juga memberitahu bahawa tujuan utama penubuhan radio IKIMfm adalah menjadikan IKIMfm salah satu medium dalam menyampaikan kefahaman mengenai Islam dan juga menarik minat masyarakat terutamanya golongan muda untuk mendalami Islam serta berhibur dengan muzik yang sesuai berlandaskan agama Islam.

Turut serta dalam rancangan yang dikendalikan oleh Penyampai Pyan, Hadhari dan Nasri ialah Pengarah Pusat Media IKIMfm Dr Nik Roskiman Abdul Samad.

Menurut Dr. Nik Roskiman, sepanjang beroperasi menyiarkan pelbagai rancangan wadah ilmu, pelbagai pandangan dan kritikan diterima, namun semuanya disambut dengan positif dan berlapang dada.

“IKIMfm sama seperti radio komersial yang lain, mengaplikasikan penggunaan teknologi seperti menggunakan fb go live, aplikasi media sosial whatsapp, Instagram dan sebagainya kerana kita percaya penggunaan teknologi ini akan meletakkan IKIMfm seiring dengan radio-radio popular yang lain” ujar beliau.

Radio IKIMfm adalah satu-satunya radio berkonsepkan Islami di Malaysia dengan mengetengahkan kandungan rancangan yang sesuai mengikut peredaran zaman dan kehendak pendengar. Pencapaian radio IKIMfm dan mempunyai lebih 1 juta pendengar merupakan satu yang membanggakan.

Justeru, Dr. Nik Roskiman berharap agar radio IKIMfm terus berada di hati pendengar dan sentiasa menjadi radio pilihan utama masyarakat.

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top