IKIMfm Menang Anugerah Kesihatan Terbaik

Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIMfm memenangi Anugerah Program Kesihatan Terbaik kategori radio dalam Anugerah Media Kesihatan 2014 yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kemenangan tersebut menerusi rancangan Kompas Kesihatan bertajuk Kesihatan Gusi yang diterbitkan oleh penyampai dan penerbit rancangan kanan, Norhayati Paradi.

Beliau yang ditemui media IKIMfm sejurus selepas penganugerahan tersebut bersyukur di atas kemenangan yang diberikan.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah di atas anugerah ini. Saya tidak menjangkakan kemenangan ini dan terima kasih kepada Pusat Media dan semua yang terlibat menghantar pencalonan ini,” katanya selepas menerima anugerah tersebut daripada Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Seri Dr S. Subramaniam.

Anugerah Media Kesihatan 2014 merupakan penganjuran kali ke lapan  mempertaruhkan karya-karya kesihatan menerusi penulisan akhbar, televisyen, radio dan majalah.

Norhayati menerima wang tunai RM2500 beserta sijil penghargaan.

DSC_2676Dalam perkembangan yang lain, pengguna media sosial harus lebih peka terhadap sensitiviti dan kesahihan sesuatu maklumat terutamanya berkaitan isu kesihatan sebelum ia disebarkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata memandangkan media sosial memainkan peranan penting dalam konteks penyebaran maklumat yang pantas, namun jika disalahgunakan ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Media Kementerian Kesihatan 2014, di Hotel Cititel, di Kuala Lumpur.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penjurian Anugerah Media Kesihatan, Datuk Chamil Wariya.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam turut memuji peranan media dalam memainkan peranan menyampaikan maklumat yang berjaya mempengaruhi minda rakyat bagi mengamalkan gaya hidup sihat.

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top