IKIMfm Dekati Siswa di KMB

ikimfm-dekati-siswa-di-kmb
BANTING – Bersempena Karnival Mega Kolej Mara Banting, IKIMfm dengan kerjasama Kolej Mara Banting (KMB) telah menganjurkan program Santai Bersama Penyampai IKIMfm dan rakaman Forum Bicara Ad-Deen IKIMfm pada Sabtu, 25 Januari yang lalu.
Program yang diadakan selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Januari yang lalu dihadiri oleh para pelajar dan pengunjung karnival di sekitar Banting, Dengkil, Kuala Lumpur dan daerah-daerah yang berdekatan.
Penyampai IKIMfm diberi peluang untuk sama-sama turun ke lokasi KMB pada petang Sabtu yang lalu. Dihadiri oleh Pengurus Rancangan Radio IKIMfm, Tuan Hj Mahathir Shaharuddin, Puan Fairuz Hj Noordin selaku Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm dan Syafiq Zulakifli Penerbit Rancangan IKIMfm, slot ‘Santai Bersama Penyampai IKIMfm’ diadakan sejurus selepas Solat Fardu Asar.
Acara santai tersebut memberi peluang kepada para pelajar KMB mendekati IKIMfm serta menjawab soalan secara spontan melalui acara yang diadakan.
Menurut Muhamad Afiq bin Muhamad Bazli, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar KMB, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada IKIMfm kerana turun mendekati dan memeriahkan lagi Karnival Mega KMB yang diadakan buat kali kedua.
“Alhamdulillah program berjalan dengan lancar dan terima kasih kepada IKIMfm di atas perkongsian ilmu di dalam Forum Bicara Ad-Deen yang diadakan pada sebelah malam. Moderator  dan panel telah memberikan input yang bermanfaat dalam program tersebut melalui perbincangan bertajuk “Wasiat Rasulullah : Ibrah Daripada Khutbah Terakhir.”
IKIMfm melalui moderatornya Tn Hj Mahathir Shaharuddin telah membawakan pengisian forum bersama Imam Muda Hizbur dan Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin bermula jam 10 malam.
Dengan penglibatan pihak IKIMfm dan TVIKIM di dalam Karnival Mega KMB ini, program sebegini memberikan peluang kepada para pelajar yang bakal ke luar negara mendekati IKIMfm secara tidak langsung dan mempromosi kepada golongan pelajar.

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Leave a Reply

Scroll to top