Penyampai IKIMfm Menimba Ilmu Melalui Bengkel

bengkel-akidah (1)

KUALA LUMPUR – Seramai lebih 30 orang para penyampai Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) menimba ilmu melalui Bengkel Pemahaman Akidah yang diadakan pada Selasa, 18 Februari yang lalu. Bengkel ini dianjurkan oleh Pusat Media IKIM bagi meningkatkan pemahaman sebenar para penyampai IKIMfm berkenaan isu-isu akidah seperti Wahabi, Salafi dan Syiah. Bengkel ini turut dihadiri oleh para pegawai akademik dan kakitangan IKIM.

Bengkel separuh hari ini disampaikan oleh Yang Berbahagia Dr Mohd Farid Mohd Shahran selaku  Felo Kanan di Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM. Beliau juga Felo Fatwa Kebangsaan.

Perkongsian ilmu melalui perbincangan yang berjudul ‘Kerangka Ahli Sunnah Waljamaah dan Cabaran Semasa’ memberikan pendedahan berkenaan makna sebenar Ahli Sunnah melalui takrifan secara harfi dan sejarah. Selain itu, para penyampai diberi pendedahan berkenaan Wahabi dan Syiah yang menjadi cabaran semasa umat Islam di Malaysia pada hari ini.  Para peserta kursus diberi peluang untuk melontarkan soalan kepada pembentang. Pelbagai soalan yang dikongsikan bagi memberikan pencerahan yang lebih mendalam terhadap topik  yang dikongsikan.

Dalam sesi penerangannya, Dr Farid menjelaskan bahawa Syiah muncul disebabkan oleh isu perlantikan Khalifah selepas kewafatan Baginda SAW. Ianya bermula dari isu politik kemudiannya berkembang kepada aqidah dan fekah sehingga membentuk doktrin mazhab yang tersendiri yang terkeluar dari Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Manakala Wahabi pula banyak membawa isu-isu khilafiyyah dalam masyarakat dan mengangkatnya sebagai isu utama dan usul walhap perkara tersebut merupakan ranting yang tidak perlu diperbesarkan.

Beliau turut menjelaskan bahawa tidak semua yang tidak dibuat di zaman Nabi SAW itu tidak boleh dibuat di zaman ini kerana berdasarkan kaedah “Apa yang tidak dilakukan Nabi SAW tidak boleh dijadikan hujjah pengharamannya”. Seperkara lagi beliau menyebut bahawa perbezaan pendapat wujud dalam hal-hal tafsiran terhadap ayat-ayat mutasyabihat.

Selain daripada itu, Dr Mohd Farid turut memberikan komentar berkenaan Isu Kassim Ahmad  yang sedang hangat diperkatakan. Ianya bertitik tolak dari kejahilan dan hilangnya hormat terhadap tradisi ilmu.

Majlis penerangan sebegini diharap akan dapat mendedahkan penyampai-penyampai IKIMfm dengan isu semasa yang sedang melanda masyarakat dan bagaimana menghadapinya dengan lebih baik.

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Leave a Reply

Scroll to top