IKIM Rai 200 Etnik Rohingya Di Majlis Berbuka Puasa Di Meru, Klang

KLANG, 31 Mei – Sejumlah 200 etnik Rohingya di sekitar Meru di sini diraikan dalam majlis berbuka puasa sempena Program Imarah Ramadan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Penyelaras program berkenaan, Fairuz Noordin berkata selain meraikan golongan ini dalam majlis berbuka puasa, program yang masuk tahun kelima diadakan dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) itu turut menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur bagi kegunaan sepanjang Ramadan kepada Madrasah Al Islahiyah Islamiyah Maahtahfizul Quran di sini yang mempunyai 107 pelajar daripada golongan berkenaan.

“Madrasah ini merupakan satu daripada empat lokasi yang dijadualkan dalam Program Imarah Ramadan ini.

Lokasi lain dalam program ini adalah Masjid Al Maarif, Jeneri, Kedah; Dewan Sekolah Kebangsaan Seberang Perak, Teluk Intan, Perak dan Dewan Kampung Pok, Gelang Patah, Johor.

Di setiap lokasi ini kami telah mengenal pasti sebanyak 250 keluarga yang memerlukan bagi disalurkan bantuan berupa wang tunai dan barangan dapur, dan kesemua mereka terdiri dari keluarga Orang Kelainan Upaya, nelayan pesisir pantai dan petani” katanya kepada pemberita di majlis berkenan di sini hari ini.

Turut hadir ke majlis berkenaan Presiden IAM, Zawahir Abdullah.

Kata Fairuz, program berkenaan dianjurkan bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan di bulan Ramadan.

“Pada masa yang sama program ini turut menjadi platform yang sesuai untuk masyarakat negara ini bersama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik,” katanya.

Sementara itu Zawahir berkata selain menjelajah empat lokasi di dalam negara, program itu turut menyalurkan bantuan makanan kepada umat Islam di Aceh, Indonesia, Thailand, Nepal dan Sri Lanka.

Sumber BERNAMA

[metaslider id=14000]

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Leave a Reply

Scroll to top