Hubungan tahap tertinggi Malaysia-Arab Saudi

RIYADH, 3 Mac – Hubungan dua hala Arab Saudi-Malaysia kini berada pada tahap yang tertinggi.

Arab Saudi juga mengagumi dan memandang tinggi pencapaian negara yang membanggakan dalam banyak aspek.

Pengakuan itu dinyatakan oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud kepada Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu petang semalam (malam tadi waktu Malaysia).

“Ini meletakkan Malaysia sebagai satu negara yang ada hubungan istimewa dengan Arab Saudi,” kata Perdana Menteri.

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas majlis bersama komuniti Malaysia di sini malam tadi, Najib berkata, lawatan kerja beliau kali ini memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Katanya, isyarat yang jelas mengenai hubungan akrab kedua-dua negara apabila kehadiran ramai kerabat diraja Arab Saudi, menteri Kabinet dan pimpinan tertinggi tentera negara itu dalam pertemuan berkenaan.

“Lawatan kerja saya ke Arab Saudi diletakkan pada tahap setinggi mungkin dari segi layanan yang diberikan.

“Jadi ini melambangkan bahawa hubungan antara Malaysia-Arab Saudi berada dalam keadaan terbaik,” katanya.

Turut mengiringi Najib pada pertemuan di kediaman Raja Arab Saudi ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perdana Menteri berkata, pada pertemuan itu, mereka turut membincangkan mengenai isu ancaman militan IS.

Beliau juga memberi gambaran kepada Raja Salman mengenai pembabitan rakyat Malaysia dalam IS sama ada dalam atau luar negara iaitu di Syria dan Iraq.

“Saya juga nyatakan perlunya bekerjasama dalam menangani ancaman terhadap keselamatan seperti militan IS yang bukan sahaja di Arab Saudi tetapi juga di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Pada pertemuan itu, Najib turut menyampaikan jemputan bagi pihak Yang di-Pertuan Agong kepada Raja Salman untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Leave a Reply

Scroll to top