Hamba Yang Berzikir, Khalifah Yang Berfikir

Rasullullah SAW bersabda mafhumnya, “Berfikir sesaat lebih afdal daripada ibadah setahun….” dan sesungguhnya dengan mengingati Allah menerusi zikrullah jiwa akan menjadi tenang. Gandingan dua elemen zikir dan fikir saling melengkap untuk menyingkap rasa kehambaan kepada Allah Azzawajalla. Alhamdulillah, berada dalam ruangan ini berkongsi intipati bicara al-Fadhil Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm mengajak diri mengenal Ilahi dalam setiap inci yang terpapar di atas muka bumi.

Ustaz Pahrol mengajak kita untuk menjana akal sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam menciptakan langit dan bumi, terbit dan terbenamnya matahari, silih bergantinya siang dan malam serta kejadian manusia itu sendiri menerusi firmanNya dalam surah Al-Zariyat ayat 20-21 mafhumNya “…Dan di bumi bukti-bukti kebesaran Allah bagi orang yang yakin. Pada dirimu sendiri tidakkah kamu melihat?”

Menyorot kisah pemuda Gaza di Palestin yang saban hari diserang dan dipersalahkan oleh Yahudi Zionis, dia tidak meminta umat Islam di Negara luar mengangkat senjata berperang dan syahid bersama mereka tetapi hanya meminta didoakanlah untuk dia bertemu syahid dan menjadi satu penghinaan bagi keluarga di Gaza jika dalam satu keluarga tidak memiliki anak yang syahid. Kisah itu sebenarnya mempunyai nuansa dan nada yang sama sebagaimana kisah yang masyhur mengenai dua sahabat ketika berlakunya perang Uhud yang tercetus di bulan Syawal tahun ke-3 hijrah; Saiyidina Saad Bin Abi Waqas, sahabat Rasulullah SAW yang dijamin syurga dengan sepupu Rasulullah SAW iaitu anak kepada Umaimah binti Abdul Mutalib yang bernama Abdullah bin Jahsy.

Kisah yang melambangkan kuasa doa dan menginggati Allah SWT. Ketika mereka berdua berada di suatu tempat yang terpencil, Saad bin Abi Waqas telah berdoa kepada Allah, “ Ya Allah, pertemukan aku dengan musuh yang paling buas dan jahat. Aku akan melawannya dan berikan aku kemenangan.” Manakala, Abdullah bin Jahsy mengaminkan doa tersebut dan turut menambah doa tersebut, “Ya Allah, pertemukan aku dengan musuh yang jahat dan buas. Aku akan melawannya dan gugur di tangannya. Kemudian dia memotong hidung dan telingaku”. Lantas diaminkan oleh Saad bin Abi Waqas.

Ketika peperangan berakhir, ternyata Allah memakbulkan doa Abdullah bin Jahsy. Para sahabat menemui jasadnya gugur sepertimana doanya. Hidung dan telinganya hilang serta tubuhnya digantung dengan seutas tali. SubhanaAllah hebatnya kuasa doa. Dan hebatnya didikan takwa dengan rindu kepada Allah dan tidak ada penyakit di dalam hati yang disebut oleh Rasullullah SAW iaitu al-wahan; cinta dunia dan takut akan kematian. Sekaligus mewujudkan hamba Allah yang berzikir serta khalifah yang berfikir.

Surah Al-Imran ayat 190 dan 191, Allah berfirman yang mana mafhumnya, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal. Iaitu orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk, dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi sambil berkata, “Ya Tuhan kami, Engkau tidak menciptakan ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau! Maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Sesungguhnya dengan berzikir iaitu ingat kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan berfikir tentang apa yang diciptakan Allah merupakan kaedah terbaik membangunkan umat Islam. Melihat alam sebagai alamat atau tanda adanya Pencipta kepada segala keajaiban ini sekaligus membawa kita dekat dengan Allah. Sentiasa merasakan bahawa Allah ada di sisi dalam apa jua posisi dan situasi. Senang dia bersyukur, susah ia bersabar dan jika sakit dia percaya bahawa ianya adalah ujian dan kifarah dari dosanya oleh Allah melalui sakit itu.  Sebagaimana tabahnya Nabi Ayub A.S. dalam mengharungi penyakit kulit kronik yang beliau hadapi tanpa sesekali mengeluh apatahlagi menyalahkan Allah atas ujian tersebut. Umpama ikan dengan air; ikan akan mati tanpa air begitu juga manusia akan mati tanpa zikir.

Menjengah kepada asbabulnuzul diturunkan ayat 190 surah Al-Imran ini, at-Thabarani dan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa orang kafir  Quraisy telah datang kepada orang Yahudi untuk bertanya, “Apakah mukjizat yang dibawa Musa kepada kalian semua?” Mereka menjawab, “Tongkat dan tangannya dilihat putih bercahaya.” Kemudia mereka bertanya kepada kaum Nasrani, “Apakah mukjizat yang dibawa Isa kepada kalian semua?” Mereka menjawab, “Dia dapat menyembuhkan orang buta sejak lahir sehingga dapat melihat, menyembuhkan orang yang berpenyakit sopak dan menghidupkan orang yang sudah mati.” Kemudian mereka datang mengadap nabi SAW dan berkata, “ Hai Muhammad, berdoalah kepada tuhanmu agar gunung Sofa ini menjadi gunung emas.” Lalu Rasullullah SAW pun berdoa maka turunlah ayat 190 Surah Al-Imran ini sebagai petunjuk untuk memerhatikan apa yang telah ada, yang mana akan lebih besar manfaatnya bagi orang yang menggunakan akal fikiran.

Maha Suci Allah yang menjadikan Al-quran mukjizat agung, bukti kenabian buat Rasulullah SAW. Menjadi titipan kasih dan panduan dari Allah SWT buat kita seluruhnya. Dijadikan Al-quran kalam perantara, diwujudnya alam untuk suara yang lebih  mendalam dan pada setiap peristiwa memberi makna yang istimewa. Itulah cara Allah berbicara kepada kita hambaNya. Sesungguhnya Allah mencipta suatu perkara tidak dengan kebetulan tapi Allah mentakdir terjadinya suatu perkara dengan tujuan. Tujuan ini adalah bicara tuhan yang perlu untuk kita faham dan lakukan selari dengan tujuan iaitu ululalbab. Sekali lagi untuk menjadikan umat Muhammad hamba yang berzikir dan khalifah yang berfikir.

Jika direnungkan, betapa tongkat Nabi Musa a.s sudah tiada namun alam ini masih kekal wujudnya. Cuba bayangkan jika bukit Sofa benar-benar menjadi emas pasti sudah tandus di tarah sekali gus menghilangkan bukti kenabian Rasulullah SAW.

Dan di dalam Al-quran juga terdapat 17 ayat yang menyentuh seruan kepada manusia untuk berfikir, tafakkarun dan yatafakkarun. Al-quran menggalakkan kita untuk selalu berfikir kerana dengan berfikir kita akan mencapai apa yang kita tuju dan hajati. Menerusi zikir dan fikir maka kita akan perolehi apa yang kita hajati dalam doa dan harapan kita. Allah berfirman maksudnya, “Maka tuhan mereka perkenankan doa mereka dengan firmanNya, “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setangahnya yang lain; maka orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan diusir keluar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan AgamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam),  dan yang terbunuh   (gugur Syahid dalam perang Sabil) sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala di sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).”” (Al-Imran ayat 195).

Terus panjangkan doa, hindarkan mementingkan diri dalam berdoa. Doa bukan sekadar untuk diri kita tapi berdoalah untuk semua. Moga kita sentiasa dalam ampunan Allah di samping mampu meningkatkan fikir dan memperkasa zikir sebagai bekal sepanjang hayat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Ogos 2014
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top