Halangan Kelompok Miskin Bandar Perlu Dikaji Dan Ditangani Segera

KUALA LUMPUR, 8 November – Kemiskinan bandar adalah satu keadaan yang dinamik, yang mungkin disebabkan oleh beberapa aspek yang berlaku seperti dalam konteks pengurusan bandar, kos sara hidup dan sebagainya.

Justeru menurut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad halangan-halangan yang wujud terutama sekali yang melibatkan kelompok miskin bandar perlu dikaji dan ditangani agar setiap individu berpeluang menikmati hidup yang sejahtera.

Beliau berkata salah satu daripadanya ialah dengan menyokong kempen menggalakkan majikan untuk membayar upah dan gaji setara dengan tugasan dan kelayakan para pekerja.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Persidangan “Gaji Kehidupan Wajar Dan Realiti Miskin Bandar” di Institut Kefahaman Islam Malaysia di Kuala Lumpur.

Bersempena persidangan tersebut turut diadakan majlis pelancaran buku baharu terbitan IKIM  bertajuk “Faraid dan Perancangan Pewarisan Harta Beku, Bidang Kuasa dan Amalan di Malaysia”; “Masyarakat Menua, Realiti dan Cabaran”; “Rangkuman Kewangan Perspektif Kewangan Islam”; dan “Pemilikan Rumah: Realiti dan Cabaran”.

Dalam pada itu, Khalid memuji penganjuran persidangan tersebut dan berharap agar ia mampu memberi manfaat kepada semua pihak dan menjadi platform perbincangan sekaligus mampu merumuskan cadangan-cadangan ke arah pendekatan yang lebih baik.

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.