Ehsan Dalam Rumahtangga (Bhgn 2)

SETIAP ahli keluarga perlu memahami konsep ehsan di dalam rumahtangga bagi memastikan keharmonian dan kebahagiaan di dalam sesebuah rumahtangga. Setiap ahli keluarga perlu merasakan tanggungjawab terhadap peranan masing-masing, sama ada sebagai ibu bapa ataupun anak-anak. Ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai tauladan terhadap anak-anak bagaimanakah yang dikatakan konsep ehsan tersebut. Elakkan daripada mencari kesalahan dan berkeluh kesah terhadap kelakuan dan tindakan masing-masing, malah cuba untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Sekiranya kita berusaha untuk berubah ke arah kebaikan, maka ahli keluarga kita juga akan terdorong untuk sama berubah. Antara maksud ehsan ialah melakukan sesuatu perkara dengan sebaik mungkin dan penuh keikhlasan. Bagaimanakah sesuatu perkara itu dapat dikenalpasti sebagai perkara terbaik untuk dilakukan? Sesuatu perkara itu haruslah seadanya baik sebelum ia dilakukan, iaitu niat dan keazaman yang baik sebelum melakukan sesuatu perkara. Ustazah Norhafizah Musa mengambil contoh bagaimana seorang isteri yang berniat untuk memasak makanan yang baik untuk seluruh ahli keluarganya untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Setiap perkara yang dilakukan juga perlulah tidak melanggari syariat agama walaupun niat pada permulaannya adalah baik dan selepas melakukan perkara tersebut sentiasa muhasabah untuk memperbaiki diri, bukan untuk mendapat kepujian atau berbangga diri. Fahaman melakukan sesuatu perkara dengan cara terbaik perlu diakhiri dengan jiwa yang tawadduk terhadap Allah SWT. Tanamkan rasa rendah diri terhadap Allah dan sentiasa memohon ampun daripada-Nya dengan segala perkara yang dilakukan.

Ehsan juga bermaksud keupayaan dan kemampuan meletakkan diri pada tempat orang lain. Ustazah Norhafizah Musa ketika bersiaran di IKIMfm dalam rancangan Usrati jam 5 petang Rabu mengambil contoh bagaimana anak-anak cuba mencuri perhatian ibu bapa dengan cara memberontak. Dengan nilai ehsan ini, ibu bapa akan berasa empati terhadap anak-anak dan cuba sedaya upaya untuk memahami kehendak mereka dengan menolong mereka menguruskan emosi. Sentuhan, belaian dan pelukan akan menjadikan anak-anak terasa diri mereka lebih disayangi. Ibu bapa juga perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang baik terhadap anak-anak bagi mengelakkan jurang perhubungan di antara ibu bapa dengan anak-anak. Ibu bapa yang meletakkan diri pada tempat anak-anak tidak akan memarahi anak-anak yang memberontak kerana ingin mendapatkan perhatian ibu bapa, sebaliknya merasa belas kasihan dan lebih memahami kehendak mereka.

Nilai ehsan bukan sesuatu yang mudah untuk diterapkan di dalam rumahtangga kerana ia memerlukan pemahaman dari dalam diri dan melibatkan banyak faktor. Antara faktor yang boleh menjayakan penerapan nilai ehsan ialah kasih sayang. Ibn Qayyim menceritakan seorang sahabat melihat sebuah rumah yang pintunya tertutup. Tiba-tiba pintu tersebut terbuka dan beliau melihat seorang ibu sedang menolak anaknya lalu terjatuh. Ibu tersebut memarahi anaknya kerana tidak mendengar kata-katanya sambil menghalaunya dari rumah dan seterusnya menutup kembali pintu. Anak tersebut menangis di hadapan pintu sambil mengetuknya, namun ibu tersebut tidak membuka pintu sehinggalah anaknya terlelap di hadapan pintu. Akhirnya ibunya membuka pintu dan memeluk anaknya sambil memberi nasihat dengan nada yang lembut dan penuh kasih sayang. Ibunya mengatakan bahawa apa yang dilakukan itu adalah untuk mendidik dan mengajar anaknya untuk menjadi anak yang lebih baik. Inilah erti kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibu kepada anaknya. Mungkin tidak banyak ibu bapa yang menunjukkan kasih sayang seperti yang ditunjukkan oleh ibu tersebut, namun sebagai ibu bapa seharusnya memohon doa kepada Allah SWT untuk melimpahkan rahmat di dalam diri. Dengan ini mudah bagi ibu bapa untuk mencurahkan kasih sayang dan melakukan kebaikan terhadap ahli keluarga, terutamanya anak-anak.

Ustazah Norhafizah Musa memberikan contoh kisah seorang lelaki yang berbakti kepada ibunya. Suatu hari beliau berjumpa dengan Saidina Umar lalu bertanya, “Adakah perbuatankua itu sudah boleh dianggap sebagai cukup membalas budi dan jasa ibuku terhadapku? Adakah berbuat baik terhadap ibuku itu sudah dianggap sebagai anak yang berbudi dan mengenang jasa?” Saidina Umar menjawab, “Tidak sama sekali!” Lelaki tersebut terkejut dan bertanya kembali, “Kenapakah perbuatanku itu tidak dianggap sebagai berbudi?” Saidina Umar menjawab, “Engkau semasa menguruskan ibumu engkau mengharapkan kematiannya tetapi ibumu semasa menguruskanmu mengharapkan kehidupanmu akan menjadi lebih sempurna.

Kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anak tidak akan sama dengan kasih sayang anak-anak terhadap ibu. Kasih sayang ibu adalah penuh dengan keikhlasan dan hanya mengharapkan kebaikan untuk anak-anak tanpa mengharap balasan. Hati seorang ibu sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan seharusnya anak-anak menghargai kasih sayang ini. Apabila seorang ibu memarahi anak-anak, ia bukanlah dari hati tetapi hanya untuk memberi tunjuk ajar atau bersifat sementara sahaja demi mendidik mereka. Hati ibu sentiasa berfikir untuk memberikan kasih sayang kepada anak-anak bukan atas sebab tanggungjawab tetapi kerana untuk memelihara anak-anak dengan limpahan kasih sayang.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Mac 2015
Kongsi artikel ini di:

Maslina Alias

Merupakan Pengurus Siaran Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Analisis, Inspirasiku, Motivasi Pagi, dan banyak lagi.