Doa Menghilangkan Dukacita

“Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu, sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina!” (Surah Al-Mukmin, ayat 60). 

Setiap daripada manusia akan ditimpa ujian dan dugaan. Lebih parah lagi tatkala ia datang secara bersiri yang mencabar kesabaran. Terkadang, ujian demi ujian ini membutakan mata manusia bahawa Allah Yang Maha Baik itu wujud dan sentiasa ada bersama. Itulah manusia yang di gambarkan naqib Usrah Nurani; Ustaz Zul Ramli M. Razali minggu lalu di IKIMfm yang akan sentiasa menagih belas simpati Yang Maha Esa sehingga mengecap nikmat syurga yang hakiki.

Manusia bukan sekadar di timpa musibah tetapi terkadang direndam dan di jenuhkan dengan masalah yang tidak kunjung padamnya. Namun, harus di ingat Allah menjadikan doa sebaik-baik senjata dan alat terhebat menghapus duka. Sesungguhnya doa adalah otak bagi diri seseorang manusia.

Bersama rakan usrah di konti Puan Suzana Jaafar dan Saudara Amirul Mukmin berkongsikan satu doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk melepaskan diri daripada kedukacitaan. Rasulullah menekankan bahawa kepada yang membaca dan mengajarkan akan Allah hilangkan dukacita yang ditanggungnya dan Allah memanjangkan kegembiraan di dalam jiwanya.

Doa tersebut bemaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku.” (HR Imam Ahmad).

Doa ini Rasulullah SAW ajarkan sebagai pemangkin kekuatan agar tidak berputus asa dalam mengharapkan bantuan daripada Allah. Sesungguhnya Allah berfirman mafhumnaya: “Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya dialah yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani..” (Surah Az-Zumar, ayat 53).

Masalah sebenarnya adalah ujian daripada Allah untuk mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan seseorang terhadapNya. Sifat manusia sering terlupa serta lalai dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah apabila hidup kita sentiasa dilimpahi kesenangan dan kemewahan. Maka, dengan adanya ujian seperti, ia akan kembali mengingati  bahawa hidupnya selama ini perlu mengikuti peraturan atau landasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Setiap masalah, kesukaran, kesakitan dan apa jua yang menyeksa jiwa adalah merupakan ujian dari Allah untuk menguji ukuran keimanan. Iman perlu kepada ujian. Ini jelas sebagaimana maksud firman Allah  : “Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja  mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.”  ( Surah Al-Ankabut, ayat 2 – 3).

Menerusi doa ini akan timbul rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil. Rasa itu akan diimbangi dengan rasa bertuhan dan rasa dimiliki dan akan kembali kepada pemiliknya. Secara tidak langsung, saat perasaan lemah timbul akan melahirkan rasa pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila rasa kurang timbul, pengharapan kepada yang Maha sempurna akan menguasai diri. Tatkala tahu diri miskin dan susah, akan timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.

Jika rasa kehambaan menyebabkan munculnya perasaan takut, hina, lemah dan sebagainya. Namun sebaliknya jika rasa bertuhan yang tertanam akan menumbuhkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” (Surah Al Baqarah, ayat 45).

Walau dalam sebarang situasi, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa atau rakyat biasa, hati akan tetap tenang. Firman Allah: “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” (Surah Al-Fath, ayat 4).

Tatkala hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman. Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 Februari 2016
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top