Doa Ibu

SEORANG ibu berperanan untuk sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak sama ada anak-anak itu adalah anak-anak yang baik dan sebaliknya. Sama sekali ibu tidak boleh berasa lemah atau berputus asa dalam mendoakan yang lebih baik untuk anak-anak dan sentiasalah memperbaiki doa untuk kebaikan bukan sahaja kepada zuriat sendiri, bahkan untuk anak-anak orang lain juga. Sekalipun menghadapi kesukaran dan kesedihan, janganlah meletakkan diri sebagai ibu yang lemah untuk terus berdoa demi kebaikan.

Bagaimanakah untuk terus meletakkan diri supaya sentiasa merasakan perasaan yang meluap-luap untuk berdoa dan menjauhkan perasaan malas atau kecewa untuk berdoa? Allah SWT telah menjanjikan bahawa mintalah pertolongan daripada-Nya dengan berdoa. Tetapi malangnya, ramai di antara orang Islam yang malas untuk berdoa. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Anbiyaa’, ayat 90 yang bermaksud, (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka itu sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan mereka sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh pengharapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk dan taat kepada Kami.

Terlalu banyak ruang dan persembahan yang perlu diperbaiki dalam kita berdoa. Allah SWT telah melimpahkan kebaikan, rahmat dan nikmat kepada para Nabi dan Rasul. Apabila kita merasakan banyak perkara baik yang belum dilakukan, maka perasaan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan akan timbul dari dalam diri. Bagi mendapat nikmat dan berkat dalam berdoa, perlulah meletakkan rasa khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah SWT bahawa hanya Dia Yang Maha Berkuasa memberikan segalanya. Dalam menghadapi kekecewaan ingatlah Allah itu sentiasa ada dan Maha Mendengar rintihan hamba-hamba-Nya yang berdoa memohon pertolongan, terutamanya doa seorang ibu.

Doa seorang ibu sentiasa memberi harapan dan kekuatan kepada anak-anak bukan pada masa akan datang. Ustazah Norhafizah Musa berkongsi di manakah terletaknya kehebatan doa seorang ibu melalui rancanga Usrati di IKIMfm yang bersiaran setiap Khamis jam 5.15 petang. Doa seorang ibu itu adalah dengan kesempurnaan dan kehebatan kasih sayang yang terdapat pada dirinya. Bayangkan sekiranya kasih sayang yang sepatutnya ada pada seorang ibu telah hilang, maka anak-anak akan dipukul, syariat Islam tidak dididik dengan sempurna kepada anak-anak dan akhirnya mereka akan terbiar dengan kehidupan sendiri tanpa bimbingan yang betul. Ibu bapa yang kasih dan sayang kepada anak-anak sudah pasti tidak mahu melihat anak-anaknya diazab kerana tidak mengenal Allah SWT.

Bagaimanakah yang dikatakan sebagai kasih sayang seorang ibu kepada anak-anak? Berilah pendidikan agama kepada mereka supaya mereka mengenal Allah SWT. Dalam mendidik anak-anak perlu sabar dan jangan sekali-kali berputus asa dengan kerenah mereka kerana dengan kesabaran itu Allah akan memberi ganjaran dengan apa yang diusahakan. Ustazah Norhafizah Musa menyarankan kepada para pendengar untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anak walaupun mereka tidak menghindarkan nasihat yang diberikan. Kadang-kadang anak-anak tidak menunjukkan reaksi terhadap nasihat yang diberikan kepada mereka kerana mereka masih belum matang untuk menilainya. Namun apabila mereka telah matang dan tahu menilainya, ketika itulah mereka akan sedar bahawa nasihat tersebut adalah demi kebaikan mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa jangan sekali-kali berputus asa untuk memberikan nasihat kepada anak-anak dan sentiasa berharap nasihat itu akan memberikan panduan kepada mereka kelak. Doa ibu menjadi kuat dan mustajab kerana kasih sayang di dalam hatinya adalah kerana Allah SWT.

Bagaimanakah cara utnuk menyuburkan kasih sayang di dalam rumahtangga? Jangan jadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk tidak mempunyai ruang bersama dengan anak-anak. Setiap minit yang terluang cuba dalami perasaan, kehendak dan keperluan anak-anak. Amalkan membelai dan memeluk anak-anak dengan rasa penuh kasih kasih sayang dan di samping bergurau senda dengan mereka. Ini bukan sahaja akan membangkitkan rasa hormat anak-anak kepada ibu bapa, malah akan mendorong mereka untuk menjadi anak-anak yang mendengar kata ibu bapa. Ustazah Norhafizah Musa menyarankan kepada ibu bapa untuk mengungkapkan sayang kepada anak-anak semasa berbual, terutamanya dalam berdoa selepas solat berjemaah dengan mereka.

Doa ibu bapa juga merangkumi keikhlasan dan ketulusan. Kadang-kadang seseorang itu berdoa untuk kebaikan orang lain atas sebab untuk mendapatkan kebaikan pada dirinya. Akan tetapi doa ibu bapa adalah sama sekali daripada hati yang tulus dan ikhlas untuk kebaikan anak-anak, bukan untuk mendapat balasan atas kejayaan yang diperolehi mereka. Seorang ibu mendoakan kebaikan kepada anak-anak sebelum mereka dilahirkan di dunia lagi, mengharapkan perlindungan daripada Allah SWT kepada mereka. Sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan doa seorang ibu terhadap anak-anaknya demi kebaikan di dunia dan di akhirat.

Seorang ibu yang berdoa juga merangkumi pengorbanan, sama sedang berkorban, telah berkorban ataupun akan terus berkorban demi kebaikan untuk anak-anak. Kerana itulah dikatakan doa seorang ibu itu adalah doa yang bersatu di antara hati, lidah dan fizikal. Hati yang sentiasa berharap kepada Allah, lidah yang sentiasa berdoa kepada Allah dan menasihati anak-anak, manakala fizikal berusaha dan berkorban melakukan yang terbaik untuk anak-anak.

Selain itu juga, pada doa seorang ibu terdapat nilai kesungguhan dalam berdoa sehingga menitiskan air mata demi untuk kebaikan anak-anak. Di samping itu juga, ibu tidak pernah berhenti berdoa untuk kebaikan anak-anak walaupun hatinya dilukai oleh anak-anak. Ibu berdoa untuk kebaikan anak-anak pada setiap masa, sama ada sebelum dilahirkan, selepas dilahirkan, ketiaka anak-anak menghadapi kesukaran dan kegembiraan, ketika ibu sedang gembira ataupun dilukai.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Mac 2015
Kongsi artikel ini di:

Maslina Alias

Merupakan Pengurus Siaran Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Analisis, Inspirasiku, Motivasi Pagi, dan banyak lagi.