Caj Baharu Visa Haji, Umrah Diketahui Selepas Terima Maklumat Rasmi Arab Saudi

41455982495_AbdulAzeezAbdulRahim

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Kadar baharu caj visa bagi menunaikan haji dan umrah di Tanah Suci akan diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH) selepas ia menerima maklumat rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji  berkata selepas mendapat laporan rasmi itu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua agensi pelancongan yang mengendalikan perkhidmatan umrah dan haji bagi menjelaskan maklumat lanjut berhubung kadar baharu caj visa itu.

“Itu (menaikkan caj visa) hak kerajaan Arab Saudi. Mungkin itu satu cara nak kawal limpahan jemaah terutamanya pada Ramadan kerana terlalu ramai yang ingin melakukan umrah pada waktu itu.

“Kita masih menunggu laporan tersebut. Kita akan akur dengan keputusan mereka,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan portal asing, Saudi Gazette, pada Ogos lepas bahawa kerajaan Arab Saudi dalam mesyuarat Kabinetnya memutuskan akan menaikkan kadar caj visa haji dan umrah berkuat kuasa 2 Okt ini.

Laporan itu menyatakan jemaah haji dan umrah yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama dibenar melaksanakannya secara percuma kemasukan kedua akan dikenakan bayaran 2,000 riyal (RM2,150) seorang.

Abdul Azeez berkata walaupun berdepan dengan kenaikan caj itu, kerjasama baik di antara TH dengan kerajaan Arab Saudi akan terus dipertingkat bagi memastikan jemaah dapat memperoleh manfaatnya.

“Apa yang penting keakraban di antara pemimpin Arab Saudi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus terjalin sehingga TH diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Ditanya mengenai status pampasan kepada keluarga mangsa tragedi kren runtuh di Makkah yang berlaku pada musim haji tahun lepas, beliau yakin kerajaan Arab Saudi akan menunaikan janji mereka.

“Kita percaya Arab Saudi pasti berikan pampasan ini cuma saya harap kita berikan masa kepada mereka untuk menyelesaikan perkara ini kerana terdapat beberapa pertindihan nama untuk mereka menguruskan pemberian pampasan ini,” katanya.

Sumber – BERNAMA

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top