Cadangan Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar Akan Dibentang Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Cadangan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat Jun ini.

Sehubungan itu, jelas  Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo kementerian itu sedang menyiapkan dokumen yang diperlukan selain mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara dan pihak-pihak yang berkenaan sebelum mengemukakan cadangan berkenaan di Dewan Rakyat.

Mengakui tempoh penyediaan dokumen itu singkat sebelum sesi Dewan Rakyat bermula 25 Jun ini, beliau menjelaskan bahawa akta itu tidak memerlukan masa yang terlalu panjang untuk disediakan.

Gobind Singh Deo memberitahu  demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan sulungnya ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di Kuala Lumpur  pada hari ini sejak dilantik sebagai menteri KKMM pada 21 Mei lepas.

Dalam pada itu, menteri berkenaan juga berkata  kebebasan media adalah aspek utama pembaharuan yang akan dilakukan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Tegas beliau media di negara ini perlu diberi lebih kebebasan untuk membuat liputan termasuk mengkritik kerajaan.

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top