Buku "Dari Konti ke Mata Tinta" Sentuhan Emas Para Penyampai Radio IKIMfm

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Buku yang baik adalah buku yang memberi manfaat kepada para pembaca. Buku yang baik juga adalah buku yang menyalur pelbagai jenis bentuk maklumat dan ilmu untuk membina kefahaman, jati diri dan seterusnya menjadi pembimbing kepada pembaca.

Bahkan buku sering diumpamakan sebagai jendela dunia, sebanyak mungkin pembacaan dari bahan-bahan bacaan, seluas itu jugalah pandangan terhadap dunia luar kita.

Bertepatan itu juga, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melalui IKIM Press menerbitkan sebuah buku baharu yanbg bertajuk ‘Dari Konti Ke Mata Tinta’. Buku ini  merupakan kompilasi dari lima rancangan terbaik terbitan radio IKIMfm iaitu rancangan Ibrah, Pesona D’Zahra, Islam Itu Indah, Mau’izati dan Tarbiah.

Apa yang paling menarik buku setebal 191 muka surat ini mendapat sentuhan daripada para penyampai IKIMfm iaitu Fairuz Hj. Nordin, Mazlina Ismail, Norhayati Paradi, Nik Hasnah Ismail dan Syafiq Zulakifli yang bertindak sebagai penulis dalam pelbagai bab yang terkandung dalam buku tersebut. Manakala Nik Hasnah bertanggungjawab bertindak sebagai penyunting buku.

Pada majlis memperkenalkan buku ‘Dari Konti Ke Mata Tinta’ yang diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017, di pentas Utama ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, Pengarah Pusat Media IKIM, Dr. Nik Roskiman Abdul samad berkata idea penerbitan buku itu tercetus kerana sambutan hangat di kalangan pendengar terhadap program-program terbitan radio IKIMfm, apatah lagi kebanyakan intipati program radio telah dipindahkan dalam bentuk penulisan artikel dan disiarkan di dalam ruangan Agama akhbar Berita Harian setiap minggu.

“Saya melihat sambutan hangat pendengar setia IKIMfm terhadap penulisan artikel berkenaan, ada diantara mereka yang menyimpan sebagai koleksi peribadi dan terbitnya buku ini seperti nota bagi pendengar yang mungkin tertinggal sesuatu rancangan atau tidak dapat menyalin maklumat penting dalam sesebuah rancangan yang disiarkan”

Diskusi buku selama satu jam itu dibarisi oleh penyampai radio yang juga penulis artikel buku berkenaan yang rata-rata tidak sabar untuk melihat reaksi pembaca terhadap penulisan masing-masing.

Buku ‘Dari Konti ke Mata Tinta’ mengandungi lima bab yang terbahagi kepada bab 1 ditulis oleh Syafiq Zulakifli yang mengupas tentang pelbagai sirah dari kisah para Nabi yang memberi pedoman kepada umat hari ini. Sebanyak tujuh (7) tajuk penulisan dalam bab ini yang intipati penulisannya disampaikan oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman melalui rancangan Ibrah. Tajuk-tajuk dalam bab 1 ini mencakupi “Adab Menuntut Ilmu Melalui Kisah Nabi Musa”, “Ilmu Debat Anugerah Tuhan”, “Karenah Bani Israel Melalui Peristiwa Lembu”, “Kisah Nabi Musa Dengan Malaikat Maut”, “Nabi Musa A.S Masuk Istana firaun”, “Perintah Masuk ke Bumi Palestin” dan “Teguran Terakhir Buat Firaun”.

Seterusnya bab 2 pula mengupas pelbagai topik yang dipetik dari rancangan Pesona D’Zahra telah ditulis oleh Mazlina Ismail. Rancangan ini diisi oleh Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin telah berkongsi beberapa tajuk yang kemudian ditulis seperti yang terkandung di dalam buku ini. Tujuh tajuk penulisan meliputi tajuk-tajuk seperti

“Mencari Doa Daripada Orang Lain”, “Muhasabah Diri Melalui Cermin”, “Lawan Nafsu Dengan Ilmu dan Akhlak”, “Dunia Adalah Transit”, “Ibadah Dipersembah Untuk Allah”, “Lapan Golongan Pembangun Ummah” dan “Lima Perkataan, Lima Saksi”.

Dalam Bab 3, penyampai Norhayati Paradi menulis tentang pelbagai topik menarik yang diangkat melalui tajuk perbincangan dalam rancangan Islam itu Indah yang dibicarakan oleh penceramah Ustaz Pahrol Haji Juoi. Topik perbincangan yang kemudian dipindahkan dalam bentuk penulisan meliputi tajuk-tajuk seperti “Bukan Kerana Marah”, “Kekuatan Umat Seteguh Subuh”, “Memberi Kebaikan Yang Terbaik”, “Peluk Islam dengan Ilmu”, “Kematian: Tidak Diketahui Tetapi Pasti” “Mencari Keberkatan Dalam Pekerjaan” dan “Tuhan, Panjangkan Umurku”.

Manakala bab 4 pula membicarakan persoalan tentang kematian yang dijelaskan oleh penceramah jemputan tetap iaitu Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani melalui ruangan rancangan Maui’zati. Dalam bab ini penyampai Fairuz Hj. Nordin menulis mengenai 7 tajuk perbincangan rancangan tersebut meliputi tajuk-tajuk seperti “Berbekallah Untuk Kehidupan Akhirat”, “Dasyatnya Sakaratul Maut”, “Husnul Khatimah Menanti Mukmin Soleh”, “Memahami Erti Mau’izah”, “Musibah: Perlukah Mengharap Kematian?”, “Sifat Malaikat Menjemput Nyawa Manusia” dan “Kematian, Peringatan Bagi Yang Hidup”.

Bab yang terkahir iaitu bab yang ke 5 adalah ruangan perbincangan yang berbentuk motivasi kepada pembaca untuk membina semangat dan mengubah cara berfikir kepada lebih positif terutama ketika berdepan dengan situasi sukar dalam kehidupan yang mencabar ini. Penulisan oleh Nik Hasnah Ismail adalah bingkisan perkongsian ilmu oleh penceramah terkenal iaitu Prof. Dr. Che Muhaya Mohamad melalui rancangan Tarbiah yang disiarkan di radio IKIMfm. Tajuk-tajuk penulisan tersebut adalah “Kasih Sayang Suburkan Kebaikan, “Hanya Allah Tempat Bergantung”, “Masa, Bukan Untuk Dibazirkan”, “Memaknai Kehidupan Dengan Hati Yang Bersih”, “Ujian: Tanda Allah Cintakan HambaNYa”, “Transformasi Diri: Jadi Pemerhati Diri Sendiri” dan “Emosi Cerdas: Pimpin Diri dan Orang Lain”.

 [metaslider id=13645]

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top