Budak 5 tahun hilang jatuh tali air

BALING, 6 Oktober – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Kampung Lanai di sini hari ini.

Muhammad Aminuddin Mohamad Nazri, 5, yang dikatakan bermain di atas titi, terjatuh ke dalam tali air dan dibawa arus jam 4.45 petang.

Sepasukan anggota bomba diketuai Komander Operasi, Shuid Abdul Rahman bersama lima anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan jam 4.59 petang.

Jurucakap bomba berkata, pasukan itu menggunakan tali dan pencangkuk besi bagi mencari mangsa dalam tali air yang mempunyai kedalaman sehingga 1.8 meter dan arus deras.

Sehingga kini, usaha mencari masih dijalankan dengan dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)
Scroll to top