Bom Jakarta: Angka korban disahkan 7 orang

JAKARTA, 14 Januari – Polis berkata lima penyerang dan dua orang awam maut, sementara 10 lain cedera dalam serangan nekad di sebuah kafe dalam kawasan beli belah sibuk di ibu kota ini, hari ini.

Mayat mangsa bergelimpangan di jalanan ketika kakitangan pejabat berhampiran menyaksikan kejadian itu dalam ketakutan dari bangunan bersebelahan.

Serangan nekad itu susulan beberapa amaran sejak beberapa minggu kebelakangan ini oleh polis bahawa militan IS merancang sesuatu yang besar, namun tidak jelas jika penyerang lain masih bebas.

Dalam kejadian itu, seorang warga Belanda cedera parah, kata kementerian luar negara itu, mengutuk insiden di negara bekas jajahannya.

“Setakat ini seorang lelaki Belanda cedera parah,” kata kementerian luar Belanda dalam satu kenyataan dikeluarkan di The Hague.

Lima jam selepas kawasan utama pusat bandar di ibu kota ini, tidak jauh daripada istana presiden dan Kedutaan Amerika Syarikat bertukar menjadi medan pertempuran, polis mengisytiharkan kawasan berhampiran pusat beli belah Sarinah, kini selamat.

Jurucakap polis ibu kota ini, Kolonel Muhammad Iqbal, berkata pihaknya percaya tiada lagi penyerang di sekitar Sarinah.

“Kami sudah mengambil alih kawalan,” katanya.

Jurucakap polis nasional, Jeneral Anton Charilyan, berkata serangan membabitkan jumlah penyerang tidak diketahui bersenjatakan bom tangan dan senapang.

Katanya, mereka meniru ‘tindakan ganas’ baru-baru ini di Paris dan kemungkinan militan IS, namun tiada bukti.

Seorang pengawal keselamatan, Tri Seranto, memberitahu The Associated Press dia menyaksikan sekurang-kurangnya lima penyerang, termasuk tiga yang mencetuskan letupan di Starbucks. Tidak jelas jika mereka meletupkan bom atau bom tangan.

Charilyan, menafikan mereka meletupkan diri sendiri. Beliau berkata dua orang awam maut adalah warga Belanda dan Indonesia manakala seorang warga Algeria antara 10 yang cedera.

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Leave a Reply

Scroll to top