Bagaimana Untuk Menjadi Baik

DALAM hidup seseorang mukmin akan sering dilatari dengan persoalan-persoalan berkaitan siapa yang kita akan jadi dan apakah perkara yang akan kita dapat?. Ini kerana seseorang manusia yang sentiasa mencari formula untuk membuat koreksi diri akan sentiasa dapat menemui kebaikan dalam kehidupannya. Manakala manusia yang hanya menjalani hidup dengan sekadarnya tidak akan dapat membina keperibadian diri yang tinggi.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap rabu, jam 10.15 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menjelaskan, dalam mencari kebaikan diri, seseorang mukmin haruslah sentiasa bermusahabah untuk memperbaiki diri dengan akhlak mulia sebagaimana yang dipamerkan oleh Nabi junjungan Muhammad SAW.

Katanya, dalam kehidupan ini ada antara kita yang berperanan sebagai ayah, adik, pemimpin, guru, suami, isteri sesiapa sahaja, apakah yang akan kita jadi. Sekiranya kita seorang guru, guru bagaimanakah yang akan kita jadi? Sama ada seorang guru yang benar-benar memberi manfaat kepada pendidikan ummah atau sekadar seorang guru yang mengajar di dalam kelas dan setiap bulan mendapat gaji.

Hakikatnya manusia dijadikan Allah SWT dengan dua potensi iaitu manusia yang mempunyai nilai positif dan manusia yang negatif. Manusia yang positif adalah mereka yang mempunyai nilai murni yang tinggi dalam dirinya seperti taat kepada perintah Tuhan, berbuat baik kepada manusia lain dan baik terhadap diri sendiri, manakala manusia yang negatif adalah manusia yang merosakkan diri dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan nilai-nilai baik.

Bagaimanapun manusia di alam ini secara fitrahnya sukakan kebaikan. Manusia diciptakan secara semulajadi sukakan kepada perkara-perkara yang buruk dan merosakkan. Bahkan seseorang yang pengotor sekalipun akan sukakan kepada orang yang pembersih, orang yang suka bercakap bohong akan sukakan kepada manusia yang jujur.

Seorang mukmin yang ingin menjadi baik iaitu menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia lain dan menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT hendaklah tahu akan perkara-perkara yang boleh membina kebaikan dalam diri seseorang manusia. Ini kerana ramai manusia yang ingin menjadi baik tetapi tidak dapat membina kebaikan diri kerana tidak tahu akan formula untuk menjadi insan yang benar-benar baik pada pandangan Allah SWT dan baik di kalangan manusia.

Menurut Ustaz Pahrol, tiga krtiteria yang manusia perlu tahu untuk membina kebaikan dalam diri seseorang manusia iaitu pertama, mengetahui apakah ciri-ciri seseorang manusia yang baik. Kedua, Bagaimana kaedah untuk menjadi manusia yang baik dan ketiga ialah untuk menjadi manusia yang baik, seseorang itu harus bersedia untuk ‘membayar’ nilai kebaikan tersebut. Ini kerana sudah pasti ada harga yang perlu d’dibayar ‘ kepada sesuatu nilai kebaikan. Ini kerana dalam hidup ini semakin tinggi harga sesuatu perkara, semakin tinggi pula nilainya.

Dalam memperkatakan tentang siapa manusia yang baik, Ustaz Pahrol menjelaskan bahawa seseorang mukmin yang baik harus mempunyai dua kriteria iaitu seseorang yang taat kepada perintah Allah dengan menuruti perintahNya sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Hadis. Manakala yang kedua, ialah yang sedar akan dirinya sebagai khalifah Allah dan menjalankan peranan tersebut dengan sebaik mungkin di muka bumi Allah SWT ini.

Sungguhpun ada sesetengah pandangan yang berpendapat definisi baik itu bersifat subjektif dan relatif, namun sebagai seorang mukmin, manusia yang baik adalah mereka yang menjalankan peranannya sebagai hamba yang taat kepada perintah Allah SWT dan patuh kepada seruan Rasulullah SAW. Seorang yang taat kepada Allah SWT akan sentiasa meningkatkan amal ibadatnya di sisi Allah dan selalu membina hubungan dengan Allah melalui solat, zikir, membaca al-Quran sehingga mencapai ketaqwaan di sisi Allah SWT.

Begitu juga peranan manusia yang baik akan menjalani peranannya sebagai seorang khalifah dengan sentiasa memperbaiki diri untuk berbuat kebaikan kepada diri sendiri dan seluruh makhkluk di alam ini. Seorang khalifah juga memahami intipati yang diajar oleh al-Quran dan menuruti ajaran Nabi Muhammad SAW. Ini kerana baginda Rasulullah disebut sebagai seorang yang bercakap berdasarkan wahyu Allah SWT dan bukan dan nafsunya.

Allah SWT berfirman melalui ayat al-Quran surah an-Nisa ayat 59 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasulnya dan ulil Amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan rasulnya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih baik bagimu dan lebih baik akibatnya”.

Tugas menjadi khalifah tidak diserahkan kepada malaikat kerana manusia yang mempunyai nilai yang dinamik untuk memakmurkan alam ini dengan sempurna. Jika menjadi manusia yang taat sentiasa membina diri dengan amal ibadah seperti solat dan zikir, menjadi khalifah hendaklah melaksanakan tugas dengan banyak berfikir.

Seorang khalifah yang memberi kebaikan dan memperbaiki keadaan hendaklah sentiasa membaiki diri dan sentiasa berfikir untuk menyumbang kepada masyarakat agar bumi ini menjadi lebih bermakna kepada setiap manusia. Seorang mukmin yang menjalani peranan sebagai khalifah hendaklah sentiasa meningkatkan daya fikir untuk memajukan ummah dan membantu kemaslahatan ummah supaya umat Islam akan terus berdiri kukuh dengan nilai kualiti diri yang tinggi di muka bumi ini.

Justeru, seseorang yang sentiasa berdoa yang berusaha menjadi baik secara ikhlas kerana Allah SWT sudah pastinya Allah SWT akan meletakannya di kalangan orang-orang yang baik dan menjauhi dirinya dari perkara-perkara yang membawa kepada kemaksiatan.

Begitu juga mukmin yang Allah SWT berikan kebaikan kepada dirinya, Allah SWT juga akan memberikan kefahaman ilmu kepadanya untuk memahami intipati al-Quran dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan. Manusia yang sentiasa berusaha mencari kebaikan tidak akan rugi kerana walaupun berdepan dengan ujian dan musibah yang barangkali mencederakan perasaan manusia, tetapi hatinya akan sentiasa terbimbing dengan ilmu Allah SWT dan kasih sayangnya akan sentiasa menyelimuti manusia yang berusaha untuk mentaati Allah dan menjadi khalifah yang baik di bumi Allah ini.

Oleh itu, selalulah mengutip ilmu untuk menjadi manusia yang baik di sisi Allah dan di kalangan manusia. Ini kerana manusia yang baik akan sentiasa mendapat kebaikan dan disayang manusia lain. Seseorang yang membahagiakan akan mendapat bahagia, begitu juga manusia yang sering memberik akan menjadi manusia yang akan banyak menerima. Justeru sesorang mukmin hendaklah sentiasa berusaha membina kebaikan dalam diri agar menjadi insan yang diredhai dunia dan akhirat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 Februari 2016
bh-10-02-2016
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top