Bagaimana Kematian Menjengah

APABILA berbicara tentang keadaan kita ketika kembali menghadap Allah SWT, kita akan dapati keadaan itu berbeza-beza di antara satu sama lain dan ia ditentukan oleh amalan-amalan yang dilakukan ketika hidup di dunia ini. Di dalam al-Quran, Allah berfirman tentang manusia yang akan kembali menghadap di hadapan Allah di bahagikan kepada empat kelompok, seperti yang  dibincangkan oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani melalui slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang.

Kelompok pertama terdiri daripada manusia yang menjalani kehidupan biasa-biasa sahaja, iaitu tidak pernah melakukan dosa atau perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Pada masa yang sama mereka ini tidak pula melakukan perkara-perkara sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. Di dalam menjalani kehidupan di dunia ini, mereka merasakan diri sudah berada di dalam keadaan yang terbaik, tidak melakukan khianat atau mengganggu orang lain, tidak berjudi  dan melakukan maksiat, tetapi pada masa yang sama tidak melakukan suruhan Allah SWT. Malangnya ramai di kalangan manusia yang terjebak di dalam golongan ini dan mereka ini berada di dalam keadaan yang sangat berbahaya kerana apabila tibanya saat kematian kelak, mereka akan berada di dalam keadaan terkejut dan tercengang di hadapan Allah.

Di dalam firman Allah di dalam Surah Qaf, ayat ke 19: “Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah Sakaratulmaut membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!”Allah juga mengingatkan ada di kalangan manusia yang hidupnya menzalimi hidupnya sendiri dan mereka ini ialah orang-orang yang tidak pernah membaca al-Quran, tidak berzikir, mendedahkan aurat dan tidak melakukan amalan-amalan yang diperintahkan oleh Allah SWT. Selain itu mereka tidak melakukan persediaan untuk menghadapi kematian, malah tidak merasa apa-apa perasaan sewaktu menyaksikan berlakunya kematian orang lain di hadapan mereka.

Kelompok manusia yang kedua adalah mereka yang munafik kepada Allah dan mereka berada di dalam keadaan yang sangat berbahaya. Mereka ini memberanikan diri melakukan dosa walaupun pada hakikatnya mengetahui ia dilarang oleh Allah kerana golongan ini tersesat di dalam perjalanan hidup di dunia. Hidupnya tidak mempunyai matlamat, malah mudah terpengaruh dengan orang lain yang seronok melakukan maksiat. Misalnya mereka yang mengetahui kewajipan menunaikan solat tetapi dengan sengaja mengabaikan atau menunaikannya pada waktu-waktu tertentu sahaja. Begitu juga apabila melakukan perkara-perkara maksiat yang lain, mereka tegar atau sudah lali dengan melakukan dosa, seperti perumpamaan ‘alah bisa tegal biasa’. Mereka juga masih tetap melakukan kemaksiatan walaupun sering ditegur dan diberi peringatan agar meninggalkan perlakuan dosa tersebut.

Allah SWT berfirman di dalam Surah al-An’am, ayat 44: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).” Ketika mereka berada di ambang kematian, rohnya akan tersekat-sekat, para malaikat memukul-mukul tangannya dengan sekuat-kuatnya untuk mengeluarkan roh daripada jasadnya. Malaikat akan menyeru: “Wahai roh keluarlah daripada jasad ini! Ini adalah hari yang sangat menghinakan pada dirimu, kamu juga sudah tidak dapat diselamatkan dan merupakan hari pembalasan Allah ke atas dirimu kerana mulut kamu sentiasa berkata kepada-Nya tentang perkara-perkara yang tidak benar dan hidupmu sentiasa menghina alim ulama dan hukum-hakam Allah.” Akhirnya mereka ini mati di dalam keadaan kebingungan di hadapan Allah SWT.

Kelompok ketiga terdiri daripada mereka yang tidak beriman dan kufur kepada Allah. Di dalam Surah al-Anfal, ayat 50, Allah berfirman: “Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar”.

Seterusnya kelompok yang keempat ialah mereka yang tergolong di kalangan mereka yang istiqamah di jalan Allah. Di dalam hadis yang diceritakan oleh Abu Zamir, disebut: “Ibnu Abbas pernah menceritakan kepadaku ketika berlakunya peperangan di antara orang Islam dan orang kafir (peperangan Badar), ada seorang pemuda Ansar yang terdesak dengan serangan orang musyrik. Tiba-tiba dia terdengar bunyi pukulan cemeti dan orang yang menunggang kuda di atas kepalanya. Pada ketika itu dia berada di dalam ketakutan kerana dikejar musuh sedangkan dia hanya memiliki senjata daripada pedang yang sumbing. Dia berkata, apa jua perkara yang akan menimpaku, aku akan sentiasa sabar menghadapinya. Kemudian dilihatnya orang musyrik yang sedang mengejarnya itu jatuh bergelimpangan di dalam keadaan hidung dan wajahnya hancur, seakan-akan terkena pukulan cemeti di mukanya. Sedangkan pemuda itu tidak melakukan serangan kepada musuhnya. Selepas peristiwa itu dia berjumpa dengan Rasulullah SAW dan menceritakan kejadian itu kepada Baginda. Rasulullah SAW berkata: “Kalau benar sebagaimana yang disebut olehmu tadi, itu adalah bantuan yang datang daripada langit yang kedua.”(Hadis riwayat Muslim). Ini merupakan gambaran kepada kematian yang menimpa golongan yang kafir kepada Allah.

Apabila kelompok yang beriman ini menghampiri saat kematian, datang malaikat di dalam keadaan tersenyum. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Barra’ bin Azid, malaikat yang datang akan mengucapkan salam dan berkata: “Selamat sejahtera ke atas kamu, aku bau wangian yang indah pada kamu.” Rasulullah SAW berkata, malaikat memberitahu: “Wahai anak Adam, sekarang sudah tiba masanya kamu menghadap di hadapan Allah”. Apabila hamba Allah itu tersenyum sambil menyebut kalimah thoyyibah, malaikat mula memasuki jasadnya dan menarik keluar rohnya bermula dari hujung kaki sambil berkata, “Sejahteralah ke atas kamu dengan apa yang kamu sabar di sepanjang perjalanan hidupmu. Masuklah kamu ke dalam syurga dengan apa yang kamu kerjakan di atas dunia”. Oleh itu istiqamahlah di dalam agama Allah walaupun didatangi pelbagai ujian di dalam hidup kerana janji Allah untuk menempatkan golongan yang beriman ini di dalam syurga Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 Februari 2016
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top