Australia Sedia Timbang Pindah Kedutaan Ke Baitumaqdis

SYDNEY, 16 Oktober – Australia sedia menimbang cadangan memindahkan kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke Baitumaqdis.

Perkara itu diumumkan oleh  Perdana Menteri, Scott Morrison.

Morrison berkata dalam satu sidang media, bahawa beliau bersikap terbuka dalam menimbangkan cadangan mengiktiraf secara rasmi Baitumaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan negaranya ke Baitumaqdis yang sejak sekian lama menjadi perebutan antara Palestin dan rejim Israel.

Pengumuman mengejutkan tersebut dibuat beberapa hari sebelum berlangsungnya pilihan raya kecil parlimen di Wentworth, Sydney yang majoriti penduduknya adalah Yahudi, dan di mana calon Parti Liberal pimpinan Morrison yang juga bekas duta ke Israel, bakal bertanding.

Morrison mengambil alih kuasa bulan lalu selepas penyingkiran perdana menteri terdahulu, Malcolm Turnbull yang menganggap keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memindahkan kedutaan negaranya dari Tel Aviv ke Baitumaqdis sebagai tidak membantu ke arah proses pendamaian.

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.