Tangis Sebatang Tamar Dinobatkan Nasyid Terbaik ANI 2014

Lagu nyanyian Daqmie berjudul Tangis Sebatang Tamar merangkul Juara Nasyid Terbaik pada acara Anugerah Nasyid IKIMfm 2014 (ANI 2014) yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam sabtu lalu.

Lagu yang ditulis oleh Ito Lara itu turut berjaya membawa pulang trofi bagi kategori Lirik Terbaik.

Daqmie turut membawa pulang trofi vokal terbaik pada malam itu.

Dengan kemenangan itu, Daqmie berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta pakej umrah, penapis air kalsium berkolagen, baucer buku dan trofi yang kesemuanya bernilai RM40,000.

Sementara itu, Naib Juara pula menjadi milik kumpulan UNIC menerusi lagu Seiring Sehaluan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 berserta hadiah bernilai RM30,000 iaitu pakej umrah, penapis air kalsium berkolagen, baucer buku dan trofi.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Hafiz Hamidun yang mempertaruhkan lagu Kasih Padamu. Hafiz berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta hadiah sampingan iaitu pakej penginapan, baucer buku dan trofi bernilai RM20,000.

Datuk AC Mizal dan Mawi yang mempertandingkan lagu Al Haq Yang Satu pula memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Dalam pada itu, Hafiz turut memenangi tiga trofi pilihan pendengar IKIMfm iaitu Lagu Paling Lama Bertahan Dalam Carta dan Lagu Pilihan Pendengar menerusi lagu Kasih Padamu selain Artis Solo Pilihan Pendengar.

Manakala Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta dimenangi lagu Tangis Sebatang Tamar nyanyian Daqmie.

Artis Baru Terbaik pula dimenangi oleh kumpulan Du’a dan Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar dimenangi oleh Nowseeheart.

Semua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 serta trofi dan baucer buku bernilai RM1,000.

Acara yang gilang gemilang itu dihoskan oleh selebriti TV AlHijrah, Amin Idris dan penyanyi Heliza Helmi.

Sementara para penyampai IKIMfm secara bergilir muncul mengumumkan para pemenang untuk kategori yang dipertandingkan.

Penyanyi terkenal Datuk Hattan dan Tomok tampil mengadakan persembahan pembukaan menerusi lagu Kau Yang Satu dan Bila Tiba.

Antara artis undangan lain ialah Alif Satar, Hazama dan Noh Salleh yang menyampaikan lagu-lagu nasyid terpilih.

Berikut adalah senarai pemenang Anugerah Nasyid IKIMfm 2014:
[table]
[tr][th]Anugerah[/th] [th]Pemenang[/th][/tr]
[tr][td]Juara Nasyid Terbaik[/td] [td]Tangis Sebatang Tamar (Daqmie)[/td][/tr]
[tr][td]Naib Juara[/td] [td]Seiring Sehaluan : (UNIC)[/td][/tr]
[tr][td]Ketiga[/td] [td]Kasih Padamu (Hafiz Hamidun)[/td][/tr]
[tr][td]Lirik Terbaik[/td] [td]Ito Lara (Tangis Sebatang Tamar)[/td][/tr]
[tr][td]Vokal Terbaik[/td] [td]Daqmie (Tangis Sebatang Tamar)[/td][/tr]
[tr][td]Persembahan Terbaik[/td] [td]Mawi & Dato’ AC Mizal (Al-Haq…Yang Satu)[/td][/tr]
[tr][td]Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta[/td] [td]Tangis Sebatang Tamar (Daqmie)[/td][/tr]
[tr][td]Lagu Paling Lama Bertahan Dalam Carta[/td] [td]Kasih Padamu ( Hafiz Hamidun)[/td][/tr]
[tr][td]Artis Nasyid Baru Terbaik[/td] [td]Kumpulan Du’a[/td][/tr]
[tr][td]Lagu Pilihan Pendengar[/td] [td]Kasih Padamu (Hafiz Hamidun)[/td][/tr]
[tr][td]Artis Solo Pilihan Pendengar[/td] [td]Hafiz Hamidun[/td][/tr]
[tr][td]Artis Duo/Berkumpulan Pilihan Pendengar[/td] [td]Kumpulan Nowseeheart[/td][/tr]
[/table]

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top