Anak Soleh Idaman Keluarga

SEJAK dari dalam kandungan, malah sebelum diijab kabul lagi, lelaki mahupun wanita mesti membuat persiapan dan perancangan untuk mendidik anak-anak dengan pendekatan al-Quran supaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Melalui rancangan Tarbiah di IKIMfm bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir berkongsi beberapa panduan bagi ibu bapa melakukan persiapan seawal dalam kandungan lagi supaya apabila anak tersebut dilahirkan, mudah bagi setiap ibu bapa untuk mengasuh anak-anak dengan ajaran yang mendekatkannya kepada suruhan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

Menurut Ustaz Nazrul, melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah dalam mendidik anak-anak yang jika diasuh melalui akhlak seseorang ibu sewaktu mengandung seperti membaca al-Quran, memakan makanan yang halalan thoyiba, memelihara maruah diri dengan akhlak terpuji dan apa sahaja tindakan dan perbuatan yang baik, secara tidak langsung akan mempengaruhi akhlak anak-anak yang dikandung itu.

Sebab itu, kata Ustaz Nazrul, jika ibu yang suka membaca al-Quran, anak yang dilahirkan itu sudah pasti akan juga suka membaca al-Quran, begitu juga jika ibu tersebut mengamalkan suruhan Allah SWT, anak yang dilahirkan juga lebih dekat untuk mengamalkan perbuatan yang dekat dengan suruhan Allah.

Sesungguhnya akhlak dan sikap ibu dan ayah memberi kesan yang besar dalam pendidikan anak-anak. Ini dapat dilihat melalui kisah yang diriwayatkan di dalam kitab suci al Quran dalam surah al Kahfi ayat 77 yang bermaksud “Maka keduanya berjalan hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir menegakkan dinding itu. Musa berkata; “Jikalau kamu mahu, niscaya kamu mengambil upah untuk itu,”

Falsafah disebalik kisah yang terkandung di dalam ayat al-Quran itu menjelaskan tentang bagaimana Allah SWT memelihara tempat tersebut yakni kebajikan dan harta peninggalan dari datuk nenek moyang yang dinyatakan sebagai orang yang baik dan warak. Ini bermakna seseorang yang alim dengan ilmu agama, Allah akan memelihara nasab keturunan seseorang itu sebagai satu bahagian dari barakah doa-doa orang yang alim yang selalu mendoakan kebaikan untuk keturunannya.

Maka, Sebab itulah pentingnya kita mencari nasab keturunan yang baik kerana ‘acuan’ yang baik ini akan dapat melahirkan keturunan manusiawi yang terdidik akhlak dirinya. Manusia yang lahir dari nasab keturunan yang baik memiliki ciri-ciri seperti cintakan agama Allah, memelihara maruah diri, berperibadi terpuji dan banyak lagi nilai mahmudah lain. Ini kerana, akhlak ibu bapa memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pembentukan keperibadian anak-anak.

Berkongsi tentang sebuah riwayat yang boleh menjadi teladan buat pembaca seperti riwayat seorang tokoh ulama India terkenal iaitu Sheikh Maulana Muhammad Ilyas al- Kandhlawi. Semasa kanak-kanak, Sheikh Maulana Ilyas al- Kandhlawi seorang anak yang malas menunaikan solat subuh, sikapnya itu amat merisaukan ibundanya yang merupakan seorang wanita ahli ibadah. Lalu sikap malas solat anakandanya itu dimaklumkan kepada suaminya yang juga ayahanda Sheikh Maulana Ilyas iaitu iaitu Sheikh Maulana Yusof yang merupakan seorang ulama yang warak dan terkenal dengan kealimannya. Reaksi si ayah terhadap anaknya itu amat berbeza daripada kebanyakan ayah lain yang barangkali berang apabila mengetahui anaknya malas menunaikan solat.

Apa yang dilakukan oleh Sheikh Maulana Yusof sesuatu yang dilihat sangat bijak. Beliau dengan berhemah menggosok bahagian belakang anak lelakinya sambil berkata “ Insyaallah, janganlah dibimbangkan kerana inilah orang yang akan menggerakkan seluruh India untuk bangun menunaikan solat subuh”. Malah, berkat daripada kata-kata seorang lelaki alim itu, Sheikh Maulana Ilyas terkenal sebagai seorang ulama alim yang menjadi pencetus dan penggerak masyarakat India untuk solat secara berjemaah.

Daripada kisah ini menunjukkan bahawa sikap seorang ayah yang sentiasa sabar, positif dan berakhlak mulia sambil terus berdoa dengan penuh keyakinan terhadap Allah SWT akan mengubah sudut nilai dan sikap anak-anak. Pendekatan yang berhemah dalam pendidikan anak-anak memainkan peranan yang besar untuk membentuk akhlak yang mulia. Oleh sebab itu juga ibu bapa disaran untuk terus berdoa dan menggunakan pendekatan bijak dalam membentuk keperibadian diri anak-anak.

Menurut Ustaz Nazrul, setiap anak-anak mempunyai hak terhadap seorang ayah. Oleh itu, sebagai seorang bapa, perlu bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak mendapat hak mereka sebagaimana yang disebut oleh Saidina Umar al-Khattab terhadap hak seorang anak terhadap ayahnya terbahagi kepada beberapa perkara iaitu ibu yang baik, nama yang baik dan hendaklah diberi pendidikan al-Quran dan dikhatankan.

Sebagaimana dalam sebuah riwayat, Saidina Umar didatangi seorang lelaki yang mengadu kepadanya perihal anaknya yang didakwa menderhaka. Lalu Saidina Umar memanggil anak yang dikatakan derhaka itu. Beliau mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya. Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta Saidina Umar menyatakan hak anak terhadap ayahnya, lalu beliau menyatakan bahawa: “Antara hak-hak anak terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya yang bakal lahir ke dunia.

“Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Dan setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-Quran.” Mendengar yang demikian, si anak lantas berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Itu semua tidak ada yang ayahku laksanakan. Ibuku dicarinya dari orang Majusi. Namaku diberikan Faj’al (Kumbang Kecil) dan aku tidak diajarnya membaca al-Quran.” Saidina Umar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan itu sambil berkata kepadanya: “Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu?. Ternyata engkau telah menderhakainya sebelum dia menderhakaimu. Engkau telah berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu.”

Dari kisah ini, jelas sekali peranan ibu bapa tidak hanya mencari nafkah atau menyediakan keperluan material semata-mata, tetapi tanggungjawab yang besar harus dilaksanakan adalah memastikan anak-anak diberi asuhan agama yang cukup dan dibesarkan dengan nilai-nilai Islam secara menyeluruh. Ini kerana anak-anak itu diibaratkan seperti sehelai kain putih yang mana bergantung kepada kedua ibu bapa untuk mencorak anak-anak tersebut menjadi anak yang soleh dan solehah atau sebaliknya. Ibu bapa juga umpama seperti tiang yang lurus, jika lurus tiang tersebut, maka luruslah bayangnya. Jika bengkok tiang tersebut, maka bengkoklah bayangnya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Mac 2015
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top