Akta Pendidikan Perlu Dipinda, Masukkan Pendaftaran Sekolah Tahfiz – Ahmaf Zahid

PUTRAJAYA, 19 September – Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) disyorkan dipinda bagi membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz swasta tertakluk di bawah akta itu dengan persetujuan kerajaan-kerajaan negeri.
Cadangan itu adalah langkah proaktif yang dikemukakan dalam mencari jalan terhadap isu-isu berkaitan sekolah tahfiz termasuk isu keselamatan memandangkan pengurusan sekolah-sekolah itu kini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Syor yang dikemukakan pada Mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi (HLC) mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini melihat keperluan bagi menambah baik Akta 550 untuk penguatkuasaan ke atas sekolah-sekolah tahfiz yang lebih baik.
“Demi kepentingan bersama, saya berharap mereka (kerajaan negeri) bersetuju,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Perdana Putra, hari ini.
“Kita prihatin masalah ini biarpun di bawah bidang kuasa negeri tetapi kerajaan pusat ambil kepedulian kerana kita tidak boleh melihat adanya ketidakpedulian oleh maahad tahfiz,” katanya.
Mesyuarat yang mengemukakan beberapa syor untuk isu-isu sekolah tahfiz itu turut dihadiri tujuh menteri kabinet antaranya Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Ahmad Zahid berkata Jamil Khir diberi tanggungjawab untuk berhubung dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi membincangkan cadangan itu.
“Kita berhubung dengan kerajaan-kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum kita meminda akta itu,” katanya.
Sumber BERNAMA

 

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top