58 Gelandangan Menyewa Rumah Di Bawah Program Rumah Bimbingan Gelandangan

KUALA LUMPUR, 4 Disember – Bagi tempoh 1 Sept 2016 hingga 12 Nov lalu, seramai 58 orang gelandangan menyewa rumah dan mendapat pekerjaan menerusi Program Rumah Bimbingan Gelandangan.

Pada persidangan Dewan Rakyat pada hari ini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata kebanyakan mereka yang menyewa rumah itu adalah gelandangan yang telah menamatkan program transit di Pusat Transit Intervensi Anjung Singgah dan kembali ke pangkuan komuniti bagi program sewaan.

Menurut beliau lagi untuk program berkenaan, sebanyak 10 unit Perumahan Awam Seri Negeri Sembilan dan perumahan Awam Seri Selangor, kedua-duanya di ibu negara, telah dikhaskan bagi golongan itu untuk memulakan kehidupan baharu.

Hannah Yeoh menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai perancangan kementerian dalam memastikan kebajikan keluarga miskin terjaga.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.