Zakat Melalui Potongan Gaji Raih Sambutan Luar Biasa

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Pembayaran zakat pendapatan menerusi kaedah potongan gaji atau dinamakan Skim Thohir semakin mendapat sambutan amat menggalakkan dalam kalangan umat Islam.

Sehubungan itu, pihak Pusat Pungutan Zakat – MAIWP (PPZ-MAIWP)  sekali lagi untuk tahun ke-3  melancarkan kempen khas bagi pembayaran zakat menerusi Skim Potongan Gaji Zakat (Skim Thohir 2018)  bermula 1 Julai hingga 31 Oktober 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata  kempen tersebut wajar diteruskan pada tahun ini tambahan pula pihak Five Estec Travel Services Sdn. Bhd. dan juga Tenaga Nasional Berhad (TNB)   bersedia menjadi rakan strategik pada kempen kali ini dengan menaja hadiah –hadiah menarik kepada para pemenang.

Menurut beliau lagi, kempen berkenaan juga mampu meningkatkan kutipan zakat sekaligus membantu meningkatkan ekonomi golongan asnaf.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran kempen Skim Potongan Gaji Zakat (Skim Thohir 2018) di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman dan Pengarah Urusan  Five Estec Travel Services Sdn. Bhd , Sharizan Mohd Saad.

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.