Zahirkan Kegembiraan atas Kelahiran Nabi Muhammad SAW

RABIUL Awwal merupakan bulan yang sering diingati dan tanggal 12 Rabiul Awwal biasanya diingati di seluruh dunia oleh umat Islam hari ini kerana pada tanggal tersebutlah mengikut pendapat majoriti para ulama tarikh Baginda SAW dilahirkan. Majlis-majlis Maulidur Rasul dianjurkan di segenap pelusuk alam ini bagi menzahirkan kegembiraan terhadap peristiwa bersejarah ini. Namun bagi sesetengah tempat, sambutan Maulidur Rasul tidak terhad kepada bulan Rabiul Awwal sahaja, atau khusus pada 12 Rabiul Awwal sahaja kerana kegembiraan atas kelahiran agung itu bukan terhad kepada bulan atau hari tertentu, tetapi kita hendaklah bergembira sepanjang masa dan ketika, sepanjang hayat kita. Dalam Topik Jumaat yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Jumaat jam 8.30 pagi, Habib Najmuddin al-Khereed membincangkan tentang anjuran agar umat Islam sentiasa bersyukur dan menzahirkan kegembiraan terhadap kelahiran Baginda SAW sepanjang masa berdasarkan ayat al-Qur’an Surah Yunus 58 yang bermaksud: \”Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan\”.

Para ulama menafsirkan yang dimaksudkan dengan “fadhlillah” (anugerah Allah) dalam ayat di atas merujuk kepada “ilmu” manakala yang dimaksudkan dengan bergembira dengan  “rahmat” pula rahmat disitu merujuk kepada diutuskan Baginda SAW berdasarkan Firman Allah SWT “Tidaklah kami utuskan kamu melainkan rahmat bagi sekalian alam” (Al-Anbiya: 107).

Berbeza dengan bahasa Melayu kalimah “gembira” agak terhad maknanya dan tidak menggambarkan kegembiraan yang pelbagai bentuk dan keadaan, sedangkan dalam kamus bahasa Arab berbeza banyak kalimat-kalimat yang membawa maksud “gembira” seperti “al-surur” dan “al-farah”, namun dalam ayat di atas Allah SWT menggunakan kalimah “al-farah” yang mengikut pengkaji ahli bahasa ianya membawa maksud kegembiraan yang perlu dizahirkan dan bukannya dipendam atau disimpan di dalam hati. Berbeza dengan kalimah “al-surur” yang lebih membawa maksud gembira dalam hati yang tidak dizahirkan di luar.

Imam al-Suyuti RA ketika menaqalkan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani tentang isu Maulidur Rasul menyebut bahawa amalan menyambut Maulidur Rasul merupakan amalan yang baik dan digalakkan (mustahab) selama mana ianya tidak diisi dengan perkara-perkara yang melalaikan dan berdosa. Antara hujahnya lagi ialah ketika Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharram, dan apabila Baginda SAW bertanya, kenapa kamu berpuasa pada 10 Muharram (hari ini kita panggil Hari Asyyura’) mereka menjawab bahwa pada hari ini (10 Muharram),  Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa AS daripada Firaun, maka pada hari ini kami berpuasa sebagai menzahirkan kegembiraan kami terhadap peristiwa Allah menyelamatkan Musa itu. Maka Baginda SAW bersabda mafhumnya, “Sesungguhnya kami terlebih berhak bergembira daripada kamu (kaum Yahudi)” Lalu Nabi SAW berpuasa pada hari 10 Muharram dan memerintah para Sahabat RA juga berpuasa pada tersebut sebagai turut menzahirkan kegembiraan atas peristiwa ini. Maka mengambil dalil ini dan dalil-dalil lain, para ulama berpendapat bahawa menyambut Maulidur Rasul kerana bergembira di atas Kelahiran Agung Baginda SAW merupakan amalan yang dituntut dan amat baik sekali sebagai melambangkan kesyukuran kita terhadap Allah SWT yang telah mengutuskan Nabi SAW memimpin kita dan menyelamatkan kita daripada Api Neraka.

Seperkara lagi kalau diperhatikan kandungan majlis-majlis Maulidur Rasul itu sendiri adalah amalan-amalan yang baik dan digalakkan dilakukan seperti bermula daripada menzahirkan kesyukuran dan gembira kita atas kelahiran Baginda SAW, majlis tersebut turut diisi dengan memperbanyakkan Selawat ke atas Baginda SAW, membaca Seerah Baginda agar boleh difahami perjuangan Baginda SAW dan contoh tauladan yang wajib diikuti, Qasidah dan Madaih iaitu membacakan bait-bait Syair yang memuji Baginda SAW. Memuji Baginda SAW bukanlah membawa maksud memuja dan mengagungkan Baginda SAW sepertimana golongan yang mengagungkan Nabi Isa dan mengangkatnya sebagai anak Tuhan, tetapi memuji Baginda itu sebenarnya secara tidak langsung memuji Penciptanya iaitu Allah SWT kerana menciptakan hamba Allah yang sesempurna itu sepertimana seorang memuji seorang pelajar itu hakikatnya memuji gurunya juga, atau memuji anak itu sebenarnya memuji ibubapa mereka juga secara tidak langsung. Oleh itu andaian konon tidak dibolehkan memuji Baginda SAW kerana nanti menyamai amalan kelompok Kristian mengagungkan Nabi Isa adalah tidak benar kerana umat Islam memuji Baginda SAW tidaklah sama hingga mengangkat Baginda SAW sebagai anak Tuhan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Januari 2018
\"\"
Scroll to Top