Zabidi saran penjawat awam runding kaedah bayaran PTPTN

PUTRAJAYA, 10 Julai: Penjawat awam perlu berunding kaedah penyelesaian pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut kemampuan masing-masing, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Beliau berkata, mereka juga dikehendaki berjumpa dengan PTPTN untuk menetapkan kadar minimum jumlah potongan gaji bulanan agar ia tidak membebankan kewangan mereka. Katanya, PTPTN akan melawat setiap agensi kerajaan dan kementerian serta berjumpa dengan penjawat awam berkenaan untuk tujuan pembayaran balik pinjaman pendidikan itu.

“Kita mahu semua agensi dan kementerian membuat pemotongan gaji bulanan mulai September ini. Kita memilih September kerana kita faham umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Jadi, masih ada masa untuk membuat rundingan dengan PTPTN berhubung pembayaran itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat arahan kepada para Ketua Setiausaha (KSU) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi pembayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN.

Surat arahan itu mengandungi senarai nama penjawat awam yang membuat pinjaman PTPTN agar mereka membayar balik melalui potongan gaji.

“Selain menyelesaikan pinjaman, penjawat awam juga membantu pihak PTPTN untuk memperoleh dana yang mencukupi bagi menampung kos yuran pengajian dan kos sara hidup di institusi pengajian tinggi awam dan swasta generasi akan datang,” katanya.

Pada Isnin lalu, Mohamad Zabidi berkata semua 163,007 penjawat awam yang tidak membuat pembayaran dan tidak konsisten menyelesaikan pinjaman PTPTN diwajibkan membuat bayaran melalui potongan gaji.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN Agos Cholan berkata penjawat awam boleh membuat perjanjian pembayaran balik yang baharu sekiranya mereka tidak bersetuju kepada cadangan pihak PTPTN mengenai pembayaran bulanan itu.

Sumbe BERNAMA

74total visits,1visits today

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm