Tiga Pelakon Popular Pegang Watak Utama Drama Khas Ramadan Terbitan Radio IKIMfm

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Seperti kebiasaan saban tahun apabila tibanya bulan Ramadan yang mulia, radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) akan meneruskan kelaziman penerbitan drama radio khas sempena bulan pausa ini.

Penerbitan drama khas sebanyak 20 episod yang diterbitkan sejak tahun 2012, adalah pendekatan dakwah dalam bentuk yang berbeza daripada penerbitan program-program lain yang disiarkan di radio IKIMfm

Pada tahun ini, IKIMfm dengan kerjasama Muslim Care Malaysia menerbitkan Drama khas Ramadan bertajuk Sesuci Tautan Ramadan yang bakal bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 4.15 minit petang bermula 29 Mei hingga 23 Jun 2017.

Drama Khas yang diterbitkan oleh Nik Hasnah Ismail diserikan dengan penampilan pelakon terkenal Asyraf Muslim, Diana Amir, dan Mardiana Alwi yang memegang watak utama dan turut dibantu penyampai-penyampai IKIMfm iaitu Mazlina Ismail, Faiz hj. Othman dan ramai lagi.  

Pengarah Pusat Media Dr. Nik Roskiman Abd Samad ketika sidang media pelancaran Drama Khas Ramadan berkata pada tahun ini IKIMfm menerbitkan drama yang bertemakan kekeluargaan, persahabatan dan perhubungan sesama manusia.

“Drama radio merupakan satu bentuk dakwah yang berbeza daripada program-program yang pernah kita siarkan sebelum ini, walaupun ia diterbitkan dalam bentuk yang santai dan ringan tetapi terdapat unsur-unsur dakwah dalam drama tersebut yang mengajak manusia melakukan perkara yang membawa kebaikan kepada ummah. Ini adalah salah satu daripada usaha IKIMfm untuk mempelbagaikan genre penerbitan supaya tidak terikat kepada genre bualbicara atau ceramah sahaja”

Sementara itu pelakon Asyraf Muslim yang memegang watak Amru Mirza berkata “banyak pengajaran yang akan dapat diambil dari cerita dalam drama ini kerana mesej positif yang disampaikan sarat dengan pengajaran dan nilai-nilai kemanusiaan yang positif”

Dalam pada itu katanya dalam drama ini dengan perkembangan teknologi dan media hari ini, penyampaian ilmu dan dakwah perlu bergerak seiring agar ia mudah diterima masyarakat.

“Usaha IKIMfm menerbitkan drama radio wajar dipuji kerana ia merupakan usaha murni yang patut diteruskan. Dakwah melalui seni dilihat lebih mudah terkesan kepada masyarakat” katanya pada sidang media berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu pelakon Mardiana Alwi dan Diana Amir serta Presiden Muslim Care Malaysia (MC) Zulkifli Wahijan, Timbalan Presiden (MC) Johari Ismail, Setiausaha Agung (MC) Zakaria Abd Latif,  dan penyampai-penyampai radio IKIMfm.

Haji Zulkifli Wahijah selaku Presiden Muslim Care Malaysia yang menaja penerbitan dan siaran drama ini menyeru agar semua pihak mengikhlaskan niat semua melalui penerbitan drama ini agar matlamat mendidik masyarakat tercapai.

Tahun ini merupakan tahun kelima IKIMfm menerbitkan Drama Khas Ramadan yang telah mendapat sambutan yang amat baik di kalangan para pendengar radio IKIMfm sepanjang penerbitannya. Pada tahun lepas 2016, Drama Khas Ramadan berjudul “Seindah Langit Ramadan”, IKIMfm telah memenangi Anugerah Sri Angkasa untuk kategori Pelakon Drama Radio Terbaik yang dibawakan oleh Fizz Fairuz.

Drama ini mengisahkan tentang persahabatan dua orang wanita yang berbeza latar belakang. Suraya berhasrat untuk berkahwin muda dengan seorang lelaki bernama Amru Mirza, namun mendapat bantahan keras dari sahabat karibnya Yasmin kerana menganggap lelaki tersebut bukan calon sesuai untuk perempuan sebijak dan sebaik Suraya. Walaubagaimanapun, tidak ada siapa yang boleh melawan takdir, akhirnya Suraya berkahwin juga dengan Amru Mirza.

Namun, jodoh mereka tidak panjang kerana sikap tidak bertanggungjawab Amru Mirza menyebabkan mereka bercerai. Menyedari tentang kesilapan yang pernah dilakukan, Amru Mirza bertekad untuk berubah menjadi lelaki yang lebih baik demi anaknya bersama Suraya, iaitu Sumayyah. Takdir telah menemukan Amru Mirza dengan Yasmin yang menjadi ‘ibu angkat’ kepada anaknya yang ditinggalkan Suraya kerana mahu menyambung pelajaran dan cita-citanya di luar negara. Konflik berlaku antara mereka bertiga apabila Sumayyah menjadi taruhan ketika masing-masing mengejar  untuk membina kebahagiaan. Ikuti sejauh mana persahabatan mereka diuji dalam konflik ini.

 

404total visits,9visits today

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa dan juga Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 13 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm