Terengganu sedia kongsi kaedah agih bantuan

KUALA BERANG, 19 Mei – Kerajaan negeri bersedia berkongsi kaedah dan pengalaman untuk membantu Kerajaan Pusat menyelaraskan pengagihan bantuan makanan kepada miskin bandar, seperti Program Pasar Percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud berkata, kepimpinan masyarakat termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) diminta mengenal pasti lokasi terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar untuk mewujudkan pusat sehenti sebagai persediaan awal ke arah menangani kemiskinan bandar.

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik dan bersedia memberi kerjasama kepada Kerajaan Pusat untuk laksanakan program seperti dicadangkan itu.

“Program bantuan makanan kepada miskin bandar yang masih di peringkat cadangan oleh Kerajaan Pusat sudah dilaksanakan kerajaan negeri melalui program Pasar Percuma yang diadakan pada minggu pertama setiap bulan, sejak Mac lalu.

“Pasar Percuma cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu rakyat kurang berkemampuan berikutan peningkatan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Komuniti Cakna Terengganu (KCT) di Kampung Baru Ajil di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), Dr Mohd Jusoh dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zulhaimi Omar.

Roslee yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Besi berkata demikian ketika mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melaksanakan program bantuan makanan kepada rakyat miskin bandar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Menangani Kemiskinan Bandar, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata, inisiatif akan membabitkan kerjasama pelbagai kementerian di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) serta pasar raya besar untuk menyediakan bekalan makanan sejuk beku kepada kumpulan sasar.

Roslee berkata, Kerajaan Pusat boleh menggunakan kaedah dilaksanakan kerajaan negeri melalui program pasar percuma yang diadakan di seluruh negeri.

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa dan juga Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 13 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm