Tak Kenal Maka Tak Cinta

PEPATAH Melayu ada menyebut: \”Tak kenal maka tak Cinta\”. Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak kenal dengan seseorang bagaimana mungkin kita dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya. Tidak pernah wujud orang yang bercinta dengan seseorang yang tidak pernah diketahui atau dikenalinya terlebih dahulu. Sebagaimana kedaannya sepasang suami isteri yang saling mencintai antara satu sama lain. Suami akan berusaha membuat apa yang disukai dan meninggalkan apa yang dibenci isterinya sebagai tanda dan bukti cinta yang tidak berbelah bahagi kepada isterinya. Namun, jika si isteri melihat si suami sudah tidak lagi membuat perkara yang disukainya atau membuat perkara yang dibencinya, maka ia seolah menunjukkan cinta dan sayang si suami tadi sudah semakin pudar.

Allah SWT berfirman mafhumnya:  “Wahai  Manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua daripada lelaki dan perempuan dan  telah Kami ciptakan kamu semua pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu semua saling berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia (diantara) kamu semua disisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kenal (Surah al-Hujurat,ayat ke-13). Perkahwinan menuntut persefahaman dan jalinan komunikasi yang berkesan antara kedua-dua pasangan. Justeru, sewaktu menyambung kembali  tajuk \”40 Ayat Berpandukan Keluarga\” dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm jam 10.15 pagi Isnin, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin  menyarankan suami  agar belajar dan berusaha mengenali isteri, begitu juga isteri berusaha mengenali suami bagi memelihara kerukunan rumah tannga.

Tidak dinafikan komunikasi adalah elemen yang penting dlam membentuk rumah tangga bahagia. Bagimanapun, ada yang mengabaikannya sehingga menimbulkan suasana yang tidak sihat dalam hubungan suami isteri. Komunikasi bermula dari dalam diri seseorang yang terlibat. Sehubungan itu, bagi meningkatkan keberkesanannya perlu diusahakan oleh suami atau isteri itu sendiri. Setelah anda dapat menerima pasangan anda  dengan seadanya. Cubalah memahami pula sikap, perwatakan dan segala bentuk tingkah-lakunya. Perkara tersebut  perlu dilakukan melalui perbincangan terbuka antara pasangan dari masa ke semasa

Menurut Ustaz Muhammad terdapat tiga perkara yang perlu diambil perhatian bagi mngenali pasangan suami atau isteri. Dalam rumahtannga, amat penting untuk mencari kaedah yang dapat melembutkan hati pasangannya. Benarlah kata orang, alam percintaan dan perkahwinan sangat berbeza. Sebagai contoh, para isteri perlu menyedari bahawa amatlah penting untuk seseorang isteri mengenali dan mengetahui segala perkara yang mampu menambat hati suami, memahami dan mengenalinya.

Malangnya, tidak ramai para isteri berjaya memahami si suami, gagal menawan hati si dia dan sebagainya. Ini adalah kerana  isteri  tidak pernah mengetahui dan mengenali sikap dan perilaku seseorang lelaki. Seterusnya, setiap pasangan perlu menerima seadanya  kelemahan atau sifat mazmumah yang dimiliki oleh si  suami atau si isteri. Misalnya, sifat-sifat tersebut meliputi sifat sombong, panas  baran, boros dan sukar megawal sifat cemburu. Sebagai seorang muslim pasangan perlu mendapatkan pertolongan Allah SWT   bagi membuat persediaan menghadapi cabaran dalam kehidupan suami isteri. Mengesan perubahan pada  peringkat awal dengan memerhatikan perubahan air muka, gerak-geri dan percakapannya  setersusnya segera tangani isu-isu yang berpotensi mengeruhkan hubungan suami isteri. Apabila menyedari kelemahan atau kesilapan pasangan berilah bantuan untuk memperbaiki kesilapannya. Nyatakan secara terbuka jika ada masalah,jangan mengkritik atau menyerang pasangan sebaliknya bawalah berbincang.

Adalah penting bagi suami atau isteri menerima pasangan seadanya. Kita harus menerima hakikat sebagai manusia bahawa kita adalah insan yang dijadikan oleh Allah SWT dengan penuh kekurangan dan kelemahan. Malah, setiap pasangan turut  memiliki kelebihan masing-masing. Buktinya, setiap pasangan dianugerahkan dengan bakat dan kebolehan yang tersendiri. Oleh itu, amat penting jika  contohnya, suami gemar bersukan dan menjadikan aktiviti tersebut sebagai satu hobi, maka si isteri perlulah memberi galakan dan tidak sesekali melarang  aktiviti tersebut.

Kebahagian dalam rumahtangga dapat dikekalkan melalui kasih sayang yang disemai, dibajai serta dijaga oleh kedua-dua belah pihak. Kerana cinta yang lahir daripada kasih-sayang yang dipupuk umpama sebatang pohon. Kalau kita pandai menjaganya, ia akan memberi manfaat yang berguna bukan sahaja untuk pasangan kita tetapi juga untuk anak-anak dan orang di sekeliling kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 Mei 2017
Scroll to Top