Syukurilah Anugerah Allah SWWT

ALLA SWT menciptakan manusia dengan penuh sempurna dan indah. Pada setiap organ tubuh kita bahkan yang terkecil pun mempunyai fungsinya yang tersendiri . Allah mengatur sistem dalam tubuh kita dengan cukup tersusun dan unik  sekali.

Sesungguhnya nikmat yang telah Allah limpahkan kepada umat manusia terlalu banyak dan melimpah ruah. Semuanya terpulang kepada manusia  bagaimana cara melihat nikmat yang diberikan oleh-Nya.  Dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disisarkan di IKIMfm pada mingu lalu, Ustaz Muhammmad Abdullah Al-Amin menggariskan lima unsur yang wujud dalam diri seseorang manusia. Unsur-unsur tersebut merangkumi  roh, jasad, akal, nafsu dan hati. Pada hakikatnya, tubuh manusia memerlukan zat-zat makanan yang seimbang yang boleh diperolehi dariapada pelbagai jenis makanan. Kita diajar untuk  tidak mengambil makanan yang boleh memudaratkan kesihatan .Begitu jugalah apabila kita  cuba memperbaiki diri  dari semasa ke semasa. Iaitu dengan cara memberi  ‘makanan’ yang  sesuai dalam memelihara kelima-lima unsur yang  diberikan oleh Allah SWT.

Cara mengenal Allah SWT  bukanlah dengan melihat dan sebagainya kerana Allah itu Maha Suci daripada menyerupai segala yang baharu segala makhluk. Allah  tidak berbentuk, tidak berupa, tidak terjadi daripada jirim, tidak mengambil tempat atau ruang, serta tidak berpihak seperti tidak di atas, tidak di bawah dan tidak di mana-mana. Roh yang sihat adalah seseorang yang sentiasa yang mengingati Allah SWT dan mengamalkan segala perintah-Nya.

Sebaliknya  roh yang tidak berada dalam keadaan sihat, sudah tentunya  akan dilanda  rasa gelisah dan runsing yang berpanjangan. Satu lagi komponen manusia ialah jasad yang merangkumi kulit, daging, otot, urat, darah, tulang, anggota pancaindera dan lain-lain. Masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dan meyempurnakan antara satu sama lain iaitu sesuai dengan kejadian manusia yang dijadikan Allah SWT  sebagai sebaik-baik kejadian. Pengabaian terhadap unsur ini bakal mengakibatkan manusia hidup dalam keadaan tidak sempurna. Oleh itu,  bagi memelihara jasad, manusia dituntut agar  mengambil makanan yang halal dan baik atau Halalan Thoyibban.

Sebagaimana Allah SWT berfirman “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan  itu adalah musuh yang nyata bagimu”  (Surah Al-Baqarah , ayat 168) . Di samping itu, Allah juga menganugerahkan  akal untuk menilai baik buruk sesuau perbuatan. Dengan adanya akal, manusia boleh membangunkan kemajuan dan boleh melahirkan kehidupan yang bertamadun. Justeru, bagi memelihara akal, manusia  disaran agar  berusaha menuntut sebanyak ilmu pengetahuan  dan mengutip pengalaman.

Semakin banyak ilmu yang dicari, akal  akan bertambah menjadi sihat manakala manusia yang banyak  menempuh pengalaman pula akan mematangkan pemikirannya. Bagaimanapun perlu diingatkan dalam mengejar ilmu, misalnya harus kita memilih bahan bacaan yang  menyajikan elemen-elemen yang yang baik, yakni tidak merosakkan akal pemikiran .  Sesungguhnya manusia yang berjaya  adalah yang sedaya-upaya memasukkan input positif dalam minda mereka supaya  dapat menjana idea yang luar biasa   hebat.

Unsur seterusnya yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia ialah nafsu. Nafsu itu adalah keinginan manusia yang tersirat dalam akal fikirannya. Nafsu ada yang baik, iaitu nafsu yang tidak bertentangan dengan hati nurani serta perintah-perintah dan larangan-larangan yang Allah SWT  tetapkan. Namun ada pula nafsu yang buruk, iaitu nafsu yang hanya untuk memenuhi keinginan fikirannya sahaja, tanpa melibatkan hati nurani dan ketetapan Allah.

Sekiranya nafsu dapat dididk dan dikawal, ia akan menjadi jinak dan tunduk menurut segala kemahuan diri manusia. Dalam menghuraikan konteks ini ,kita boleh melatih untuk memperbanyakkan amalan –amalan kebaikan seperti berpuasa sunat , menjaga kebersihan dan sebagainya. Tetapi sekiranya nafsu  tidak dididik dan dikawal, dengan mudah ia menjadi raja kepada diri seseorang untuk melakukan apa sahaja kemahuan yang lebih cenderung kepada keburukan.

Contohnya, kerap kali menangguhkan amalan yang melibatkan ibadah solat .Akhir sekali unsur yang wujud dalam diri manusia  dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya adalah hati. Abu Hurairah r.a. pernah berkata ‘Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula  tenteranya.

Jia raja itu buruk, maka buruk pula tenteranya. Oleh itu, hati perlu dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah sepertimana yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW  seperti bersifat sabar, tawakkal, membantu manusia  yang mengalami kesusahan dan sebagainya. Hati yang subur dengan sifat mahmudah akan mampu mempertahankan kebaikan walaupun berada di tengah-tangah kejahatan, walaupun berhadapan dengan kejahatan. Jika hati kita selama ini sudah terbiasa memiliki sifat –sifat mazmumah (iri hati, dendam dan cemburu) maka  segeralah bertindak untuk melawannya .

Renungkanlah  sejenak diri kita. Kerana pastinya suatu hari nanti kita akan kembali kepada Allah secara bersendirian. Berusahalah untuk memperbaiki  kelima-lima unsur tersebut, agar tidak memiliki kekurangan dan kelemahan yang membawa ke lembah kehinaan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Mac 2016
Scroll to Top