Syawal Untuk Disyukuri

KEMERIAHAN Syawal yang disambut oleh umat Islam dalam situasi sederhana memberi erti kesyukuran yang penuh dengan keberkatan. Ucapan ‘Minal Aidin Wal Faizin’ yang diucapkan ketika tibanya aidilfitri memberi maksud kemenangan dan meletakkan umat Islam di tempat yang mulia di sisi ALLAH S.W.T setelah melalui proses tarbiyah selama sebulan pada bulan Ramadan. Pendidikan di sepanjang Ramadan juga merupakan suatu proses dalam melahirkan hamba Allah yang bertaqwa dan berjaya serta memerdekakan diri dari godaan Syaitan dengan mendapat bentengan dari hawa nafsu. Oleh yang demikian, umat Islam perlu memanfaatkan kehadiran Syawal yang penuh barakah ini dengan sebaik mungkin melalui amalan-amalan mulia yang dituntut dalam agama Islam. Uniknya di Malaysia ini, Syawal disambut hingga sebulan atau mungkin lebih dengan acara-acara Rumah Terbuka samada persendirian atau organisasi. Tujuannya untuk mengeratkan silaturrahim semata.

ALLAH S.W.T berfirman melalui surah Al-Baqarah ayat 185 yang maksudnya, “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur”. Hari raya aidilfitri merupakan erti kemenangan umat Islam yang terhasil setelah pengharapan, pengabdian dan penyerahan diri kepada ALLAH S.W.T dilakukan dengan penuh ketakwaan dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Kemenangan dibulan Syawal dihiasi dengan laungan takbir disepanjang hari pertama pada bulan tersebut membawa umat Islam terus bersatu bernaung dengan kalimah tauhid yang berpandukan syariat Islam.  Aidilfitri juga diertikan dengan asas kerohanian iaitu kembali kepada hati, jiwa dan fikiran yang suci kepada fitrah kejadian manusia yang abadi. Walaupun aidilfitri ini disambut dengan meriah dan dipenuhi dengan perasaan yang gembira, umat Islam dituntut untuk terus menjaga adab-adab berhari raya serta melaksanakan ibadah-ibadah yang khusus dibulan Syawal seperti mengerjakan solat sunat aidilfitri dan mendengar khutbahnya serta berpuasa enam hari pada bulan tersebut.

Kesyukuran di aidilfitri disambut dengan fitrah kasih sayang antara umat Islam khususnya dalam institusi kekeluargaan. Dorongan kepada sifat tersebut membawa kepada amalan bermaafan diantara satu sama lain dikalangan saudara-mara dan sahabat handai.  Istilah bermafaan ini juga sangat sinonim dengan fitrah manusia dimana perkara ini diceritakan menerusi surah As-Shura ayat 43 yang maksudnya, “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)”. Amalan ziarah-menziarahi di bulan Syawal juga menjadi suatu aktiviti yang baik supaya masyarakat Islam dapat mengenali antara satu sama lain serta merapatkan jalinan ukhuwah persaudaraan.

Merayakan aidilfitri sememangnya tidak perlu sama sekali dilalaikan dengan hiburan dan pergalauan yang tidak sihat. Setiap aktiviti dan amalan di hari raya harus mengikut garis panduan dan syariat Islam. Penampilan yang sopan dan menutup aurat perlu dititik beratkan dan dijadikan sebagai perkara utama di dalam suasana menyambut aidilfitri pada masa kini. Pengambilan makanan yang sihat di musim perayaan ini juga penting untuk mencegah dari unsur-unsur penyakit yang memudaratkan kesihatan badan. Hal ini termasuklah pengambilan pemakanan sunnah semasa dibulan Ramadan yang semestinya dijadikan amalan yang berterusan disetiap hari pada bulan-bulan seterusnya. Didikan dari madrasah Ramadan membimbing umat Islam sentiasa rapat dan sayang kepada masjid dengan terus menghidupkan amalan tersebut tanpa mengira waktu agar setiap individu muslim menjadi salah satu daripada tujuh golongan yang bakal dipayungi ‘Arasy Allah diakhirat nanti iaitu orang yang sentiasa terikat hatinya dengan masjid.

Kegembiraan menyambut Syawal dengan memakai baju baharu dan memakan hidangan yang lazat bukanlah setakat di dunia fana ini sahaja malah umat Islam harus berdoa dan mengharapkan kenikmatan tersebut akan diberikan lebih istimewa di Syurga ALLAH S.W.T pada hari akhirat nanti. Segala bentuk amalan dan aktiviti di bulan Syawal mendidik umat Islam lebih istiqamah dan tekun menjadi generasi yang soleh. Aspek-aspek yang ditekankan pada umat Islam dibulan Syawal ini memberi gambaran bahawa sambutan perayaan aidilfitri perlu mengikut asas-asas peraturan dalam Islam yang mempunyai cara tertentu bagi memastikan sambutannya sentiasa berada dalam suasana ibadat termasuk ianya disambut dengan laungan tasbih, tahmid serta takbir tanpa mengira bangsa, bahasa, adat dan tempat sebagai tanda syukur dan kemenangan. Golongan pemenang yang sebenar ialah masyarakat muslim yang terhasil dari tarbiah Ramadan dengan pengampunan dosa serta menghiasi Syawal dengan amal ibadat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Julai 2016

2016-07-13

Syafiq Salleh

Merupakan Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Mengendalikan segmen Destinasi IKIMfm serta terlibat dalam suntingan artikel dan berita. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Memilik Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dari Politeknik Malaysia. Boleh dihubungi melalui email msyafiq@ikim.gov.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm