Sistem raja berperlembagaan dan keberadaan kuasa dan fungsi Majlis Raja

SISTEM raja berperlembagaan dan keberadaan kuasa dan fungsi Majlis Raja-Raja mencerminkan kelangsungan perjanjian antara raja dan rakyat. Ia juga merupakan inti sari pewarnaan sistem raja berperlembagaan di negara ini. Hakikatnya ialah, perjanjian antara raja dan rakyat ini menepati beberapa inti pati faham perlembagaan (constitutionalism) walaupun faham perlembagaan itu dikatakan lahir dan zahir dalam sistem Barat, bukan sistem dalam pentadbiran Alam Melayu. Dengan kata lain ada beberapa persamaan dalam kedua-dua prinsip (faham Perlembagaan dan Waad Raja dan Rakyat) tersebut.

Faham perlembagaan,  sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri menggariskan prinsip-prinsip yang mementingkan keadilan dan kesejahteraan. Walaupun Perlembagaan Persekutuan telah mengakibatkan perubahan besar kepada sistem pentadbiran dan pemerintahan negara, seperti pewujudan sistem pilihan raya dan seterusnya mensahihkan sistem demokrasi berparlimen, Perlembagaan juga mengekal dan mensahih hubungan dan perjanjian raja dengan rakyatnya menerusi prinsip-prinsip Raja Berperlembagaan. Perlembagaan Persekutuan, di samping mensahihkan sistem demokrasi berparlimen, ia juga mengekalkan sistem beraja dengan mengiktiraf beberapa kuasa budi bicara kepada raja-raja. Ini menjadikan demokrasi kita ialah demokrasi beraja, bukan demokrasi republik.

Selain daripada itu raja-raja juga menjadi harapan rakyat bagi tujuan keadilan dalam segala macam urusan pentadbiran negara. Dalam sumpah jawatannya, Yang di-Pertuan Agong, sebagai institusi yang mempunyai kuasa budi bicara dalam menjalankan mesyuarat Majlis Raja-Raja telah mengambil tanggungjawab untuk memerintah dengan adil. Walaupun fungsi Majlis Raja-Raja dalam hal berkaitan dasar dan pentadbiran negara hanya atas dasar mendengan nasihat, Majlis Raja-Raja mempunyai hak untuk boleh \”menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut. Apabila Majlis Raja-Raja menimbang teliti perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka; dan penimbangtelitian itu adalah antara fungsi yang dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat Jemaah Menteri, dan oleh Raja-Raja yang lain serta Yang di-Pertua-Yang di-Pertua

Negeri itu mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan mereka.\”
Dalam soal bertindak atas nasihat, Majlis Raja-Raja hendaklah menerima nasihat yang memberi kebaikan serta berdasarka fakta yang benar. Dalam \”menjalankan fungsinya di Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.\”

Begitu juga di peringkat negeri, Seksyen (1) Jadual Kelapan memperuntukkan, \”Pada menjalankan fungsinya, Raja hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan atau nasihat seseorang anggotanya yang bertindak di bawah kuasa am Majlis itu, kecuali sebagaimana yang diperuntukan selainnya oleh Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri; tetapi Raja berhak, atas permintaannya, mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Negeri yang boleh didapati oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan\”.

Maksudnya di sini ialah, sebelum bertindak atas nasihat, Majlis Raja-Raja, atau Yang di-Pertuan Agong, atau Raja-Raja di peringkat negeri mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Baginda berhak untuk mempastikan bahawa segala nasihat yang diberikan oleh Jemaah Menteri atau Majlis Mesyuarat Negeri itu adalah nasihat yang baik-baik dan memberikan keadilan.

Konsep keadilan yang hendaklah sentiasa dikotakan oleh Raja dalam pentadbirannya kerana baginda raja-raja telah mengambil sumpah jawatan sebagaimana dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan (bagi Yang di-Pertuan Agong) dan Perlembagaan Negeri (bagi raja-raja di negeri-negeri).

Walaupun dikatakan berfungsi sebagai Raja berperlembagaan dan hendaklah bertindak atas nasihat, ini tidak bermakna raja-raja hanya selayak menerima nasihat tanpa usul periksa. Andainya begitu, (menerima nasihat tanpa usul periksa), sudah tentu raja-raja tidak dapat menjalankan waad bagi melaksanakan pemerintahan dengan adil, baik dan sempurna. Raja-raja juga hendaklah juga berfungsi sebagai pengimbang kepada demokrasi; mengimbangi kepentingan kerajaan dan rakyat dengan mempastikan keadilan dan kesaksamaan serta kebenaran.

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri
Scroll to Top