Sayyidina Zaid bin Sahl al-Ansari

SETIAP seorang daripada kita berperanan sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Kita juga mempunyai tanggungjawab untuk berjihad mempertahankan agama Allah SWT. Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin lepas jam 5.15 petang, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany berkongsi mengenai kisah sahabat yang kuat berjihad di jalan Allah. Beliau ialah Sayyidina Zaid bin Sahl al-Ansari RA atau lebih dikenali dengan Abu Talhah al-Ansari.
Abu Talhah RA ini merupakan seorang sahabat yang kuat berjihad di jalan Allah SWT dan juga tekenal sebagai seorang yang kuat berpuasa. Setelah beliau memeluk Islam, beliau sentiasa memberikan perhatian kepada agama Allah SWT serta meletakkan keupayaan dan kegagahan dirinya untuk berkhidmat kepada Islam. Beliau juga tergolong dalam 70 orang yang barjanji taat setia kepada Rasulullah SAW dalam Perjanjian ‘Aqabah. Selepas termetrai perjanjian tersebut, beliau termasuk dalam kalangan 12 orang naqib yang dilantik oleh Rasulullah SAW dan beliau ditugaskan untuk membimbing dan  memimpin kaumnya, Bani Najjar.
Beliau telah menyertai seluruh peperangan di zaman Rasulullah SAW setelah beliau memeluk Islam. Sebesar-besar pengalaman termasuk besar juga pengorbanan Abu Talhah ini adalah ketika menyertai Peperangan Uhud. Ketika berlakunya peperangan Uhud dan dalam serangan kedua, tentera muslimin berada dalam keadaan berkecamuk dan jauh daripada Rasulullah SAW sehingga kaum musyrikin berjaya menyerang Rasulullah SAW dan menyebabkan patah gigi Baginda serta tergores luka dahi dan bibir Baginda. Pada saat itu, ada di kalangan kaum musyrikin menjerti-menjerit dan melaungkan ‘Muhammad telah mati’. Maka ketika itu, kegusaran dan kebimbangan menguasai hati kaum muslimin.
Abu Talhah pada waktu itu, tetap setia berada bersama dengan Rasulullah SAW dan tidak ramai para sahabat yang bersama dengan Baginda ketika itu. Hanya sekumpulan kecil para sahabat yang sanggup menjadi benteng manusia mempertahankan Rasulullah SAW. Abu Talhah berdiri tegap di hadapan Baginda bagaikan bukit yang tidak goyah sambil memanah angkatan musuh. Satu demi satu mengenanangkatan musuh. Saat itu, Baginda SAW sesekali menjengah untuk melihat Abu Talhah. Melihatkan perkara itu, Abu Talhah kemudian berkata kepada Rasulullah “Ya Rasulallah, tunduklah. Aku tebus kamu demi ibu dan ayahku. Aku tidak mahu kamu cedera walaupun sedikit Ya Rasulallah. Biarlah kematianku mendahului kematianmu dan biarlah dadaku lebih dulu merasai tikaman-tikaman musuh daripada dadamu. Aku berjanji sebagaimana yang aku sering katakan, aku adalah tebusan untukmu Ya Rasulallah”.
Panahan demi panahan diluncurkan oleh Abu Talhah dan mengena kepada tentera musuh. Saat anak panahnya telah kehabisan, lalu digantikan dengan yang baharu daripada angkatan muslimin yang lain. Dikatakan, di dalam peperangan Uhud, tiga batang busur panah miliknya telah patah. Demi kesungguhan beliau mempertahankan Baginda Rasulullah SAW. Selain daripada kecintaan Abu Talhah untuk berjihad di jalan Allah, beliau juga merupakan orang yang bersungguh-sungguh untuk meraih syurga Allah melalui harta yang dimilikinya. Beliau seorang yang pemurah dalam harta benda.
Beliau mempunyai kebun yang paling besar di Kota Madinah dan kebun beliau juga mempunyai tanaman-tanaman kurma yang segar dan baik. Sehingga dikatakan sebaik-sebaik tanaman adalah tanaman di kebun Abu Talhah. Di kebun beliau juga mempunyai perigi yang sangat baik airnya. Rasulullah SAW juga kerap berehat  di kebun Abu Talhah ini sesudah Zuhur. Kebun ini Abu Talhah telah sedekahkan di jalan Allah. Satu hari, saat beliau sedang mengerjakan solat sunat di kebun beliau, beliau terlihat seekor burunh yang berterbangan dari dahan ke dahan pohon kurmanya. Keasyikan melihat burung tersebut yang cantik, Abu Talhah terlupa akan rakaat solatnya. Sesudah solat, beliau terus bertemu dengan Rasulullah SAW dan mengatakan “Ya Rasulallah, kebun ku ini ku hadiahkan fi sabilillah”. Disebabkan tidak mahu terganggu keasyikannya beribadah kepada Allah SWT, beliau sanggup menghadiahkan kebun tersebut di jalan Allah.
Sepanjang hidup Abu Talhah, beliau sentiasa berpuasa dan berjihad di jalan Allah SWT. Beliau juga meninggal dunia saat berjihad di jalan Allah SWT. Sesudah kewafatan Baginda SAW, beliau hidup lebih kurang 30 tahun. Dikatakan, beliau tidak pernah berbuka puasa dan makan di siang hari kecuali pada hari raya dan hari-hari yang diharamkan berpuasa. Sekalipun keluar berperang, beliau tidak pernah berbuka puasa.
Pada satu ketika di zaman pemerintahan Saidana Uthman ibn Affan RA, maka Abu Talhah mengambil kelengkapannya untuk keluar berperang. Saat itu, anak-anaknya berkata kepada beliau “Semoga Allah merahmati kamu wahai ayah kami. Sesungguhnya engkau telah tua dan engkau telah berperang bersama Rasulullah SAW serta bersama pasukan sahabat yang lain. Kenapakah tidak ayah rehat sahaja sekarang? Biarlah kami berperang bagi pihak ayah”. Lantas Abu Talhah menjawab dengan membacakan ayat Allah SWT dari Surah Al-Taubah ayat 41 yang bemaksud : “Pergilah kamu beramai-ramai (untk berperang di jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”. Kata Abu Talhah “aku ingin melaksanakan kedua-dua daripada perintah Allah. Saat aku kuat mahupun aku lemah”.
Begitulah ditunjukkan betapa kuatnya semangat juang para sahabat demi mempertahankan Islam dan menegakkan agama Allah. Semoga semangat juang para sahabat dapat menjadi contoh terbaik buat kita dalam menegakan syiar Islam.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Mac 2017
\"\"
Scroll to Top