Sayyidina Said bin Zaid

KEHIDUPAN ini pasti Allah SWT janjikan dengan pelbagai ujian agar kita sentiasa bersabar dan dekat kepada-Nya. Begitu juga kisah yang dikongsikan oleh Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm jam 5.15 petang Isnin. Kisah para sahabat seorang pejuang perang Yarmuk, iaitu Sayyidina Said bin Zaid.

Beliau merupakan salah seorang daripada 10 orang yang dijanjikan syurga oleh Baginda SAW. Bapanya, Zaid bin Amru bin Nufail, merupakan salah seorang tokoh pemikir di kalangan bangsa Quraisy. Bapanya ketika dalam misi mencari agama Islam telah dibunuh oleh sekumpulan perompak. Namun sebelum hayatnya berakhir, beliau sempat berdoa “Ya Allah, sesungguhnya engkau telah mengharamkan aku, menghalangku daripada mendapatkan kebaikan agama ini Ya Allah. Maka Ya Allah, janganlah sampai anak aku juga tehalang daripada mendapat agama yang benar”.

Dengan kehendak Allah SWT, maka Allah memakbulkan permintaan Zaid agar diberikan hidayah kepada anaknya, Said. Tidak lama sesudah Baginda Rasulullah SAW berdakwah kepada orang ramai, menyeru memeluk Islam, maka Said bin Zaid merupakan salah seorang diantara pemuka yang terawal beriman kepada Allah SWT serta membenarkan kenabian Rasulullah SAW. Perkara ini tidak sukar bagi Said kerana beliau tinggal di rumah yang bapanya sentiasa ingin mencari kebenaran. Bukan sahaja beliau memeluk Islam, bahkan isterinya Fatimah binti al-Khattab, adinda kepada Saidina Umar juga memeluk Islam.

Said hidup dalam keadaan menanggung penderitaan bersama-sama dengan mereka yang tarawal memeluk Islam. Namun beliau merupakan orang yang sangat tabah menanggung ujian demi ujian yang akhirnya Allah SWT memuliakan mereka sehinggalah mereka menjadi asbab islamnya Saidina Umar al-Khattab. Said meletakkan seluruh kekuatannya sebagai seorang anak muda yang mana ketika beliau memeluk Islam, beliau belum mencecah usia 20 tahun. Namun beliau seorang insan yang hebat yang sentiasa bersama dengan Rasulullah SAW menyaksikan seluruh peperangan demi peperangan kecuali peperangan Badar. Peperangan demi peperangan beliau sertai sehinggalah beliau adalah orang yang terlibat dalam peristiwa penawanan jajahan Parsi. Beliau juga adalah orang yang berjaya bersama dengan kumpulan yang menjatuhkan kerajaan Kaisar di Syam.

Dalam setiap peperangan yang berlaku itu, Said sentiasa menunjukkan kepahlawanannya yang hebat. Dikatakan peperangan yang paling dahsyat dan hebat yang menampilkan tokoh ini ialah perang Yarmouk. Ketika hari peperangan Yarmouk, yang berlaku pada tahun ke-15 Hijrah disertai seramai 24 ribu orang. Mereka digerakkan oleh Saidina Umar al-Khattab. Manakala Rom telah mengerahkan angkatan tentera mereka yang digerakkan oleh Hercules dengan jumlahnya 120 ribu orang.

Said bercerita “Tentera Rom tampil kepada kami umpama sebuah gunung yang tinggi yang amat sukar untuk dirobohkan. Berjalan di hadapan mereka kumpulan paderi-paderi yang membawa salib-salib serta menyebutkan doa-doa lalu diaminkan oleh orang ramai yang menyertai kumpulan tersebut”. Peperangan ini merupakan peperangan yang hebat kerana inilah kali pertama berlakunya perang salib di dalam Islam.

Tatkala kaum muslimin melihat begitu ramai tentera Rom, mereka merasa gerun disebabkan jumlah tersebut. Melihatkan keadaan panik kaum mislimin, maka Abu Ubaidah bin al-Jarrah tampil memberikan ucapan untuk menyatu dan menenangkan mereka. Katanya “Wahai hamba-hamba Allah, bantulah Allah. Allah akan bantu kalian dan Allah jualah yang akan menetapkan pendirian kalian. Wahai hamba Allah, bersabarlah kerana sabar itu penyelamat daripada kekufuran dan sabar itu peluang untuk mendapat keredhaan Tuhan. Halakanlah panah-panah dan lembing kalian ke arah musuh. Berlindunglah di balik perisai-perisai kalian. Diamkanlah dirimu daripada berkata-kata dan berbicara kecuali lafazkanlah zikrullah di dalam hatimu”.

Setelah mendengarkan kata-kata itu, tampil seorang lelaki, Ali bin Abu al-‘As, cucu kepada Baginda SAW lantas berkata “Wahai Abu Ubaidah, aku berazam untuk meninggal di medan ini. Apakah engkau mempunyai pesanan untuk aku sampaikan kepada Rasulullah SAW?” Maka Abu Ubaidah berkata “Sampaikanlah salamku serta salam seluruh kaum muslimin dan katakanlah kepada Baginda, Ya Rasulallah sesungguhnya kami mendapati apa yang telah Tuan janjikan kepada kami, semuanya benar belaka”.

Said menceritakan setelah mendengarkan kata-kata Abu Ubaidah itu, maka anak muda tersebut terus menerkam ke arah musuh. Maka Said berkata “aku juga sedemikian, menyerbu ke arah musuh. Aku berteleku pada lututku dan ku tinggikan tombakku sehinggalah ketika datangnya serbuan angkatan tentera berkuda, maka kuda pertama telahpun aku tumbangkan. Maka aku melompat naik ke atas angkatan musuh dan berperang habis-habisan sehingga Allah SWT mencabut rasa gerun di dalam hati kami kaum muslimin. Maka kami berperang bermati-matian. Berkat kesabaran dan kekuatan tentara muslimin, Allah SWT memberikan kemenangan yang besar buat tentera ini.

Said bin Zaid menyaksikan satu persatu pembukaan kota demi kota selepas kejayaan di dalam perang Yarmouk. Bahkan beliau merupakan orang yang terlibat dalam pengislaman kota Damsyik serta individu pertama yang dilantik oleh Abu Ubaidah sebagai gabenor Damsyik. Said dipanjangkan usia oleh Allah SWT sehingga ke zaman Bani Umayyah dan berlaku ujian besar dalam hidup beliau.

Di zaman Bani Umayyah, di Kota Madinah berlaku satu peristiwa yang tidak pernah dibayangkan oleh Said. Peristiwa di mana seorang wanita, Arwa binti Uwais telah menuduh Said merampas sebahagian daripada tanahnya disebabkan perbatasan tanah antara keduanya. Wanita tersebut sibuk mencanang-canang kejahatan Said ini sehinggakan peristiwa itu diadukan kepada gabenor Madinah, Khalifah Marwan bin Hakam.

Marwan telah mengumpulkan sekumpulan petugas mengenai kejadian tersebut kepada Said. Perkara ini amat mencengkam hati Said. Sahabat ini telah difitnah dan telah dihina. Maka beliau mengatakan “mereka semua telah melihat bahawa aku telah menzaliminya. Bagaimana aku sanggup menzalimi permpuan itu sedangkan aku pernah mendenga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang telah mengambil hak (tanah) orang lain sejengkal dengan cara zalim, maka Allah SWT akan timpakan kepadanya 7 petala bumi.” Maka ketika itu, disebabkan beliau tidak dapat membela diri, beliau hanya mampu berdoa kepada Allah “Ya Allah, sesungguhnya dia telah menuduh bahawa aku telah menzaliminya. Sekiranya dia adalah seorang pendusta ya Allah, engkau butakanlah matanya dan jatuhkanlah dia di dalam perigi di kawasan tanahnya tempat di menuduhku. Zahirkanlah ya Allah akan kebenaranku dan bersihkanlah akan maruahku”.

Tidak lama sesudah itu, lembah ‘Aqiq berlakunya banjir yang besar sehingga air melimpahi kawasan Said dan wanita tersebut. Air banjir tersebut telah menimbulkan semula penanda batasan tanah keduanya. Maka, terbuktilah bahawa Said tidak pernah mengambil sedikitpun daripada tanah wanita tersebut. Sebulan berlalu, tiba-tiba mata wanita itu buta. Ketika dia sedang berjalan di saat matanya buta, dia terjatuh ke dalam perigi dan meninggal dunia.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 April 2017

Haji Faiz Hj. Othman

Merupakan penyampai di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Maulid @ IKIMfm, Salam IKIMfm dan banyak lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm