Saidina Khabbab bin al-‘Arad

MENERUSI segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm. Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi kisah tokoh yang bernama, Khubbab bin al-‘Arad. Merupakan antara orang terawal memeluk Islam. Beliau merupakan seorang kanak-kanak dan hamba sahaya yang telah dibeli oleh Ummu ‘Anmar. Kemudian Ummu ‘Anmar telah menghantar Khabbab untuk mendalami ilmu tempaan besi dan pembuatan pedang.
Disebabkan kemasyhuran beliau dalam bidang pedang ini, sehingga ramai orang yang datang menempah pedang dengannya. Akhirnya, Ummu ‘Anmar telah membeli sebuah kedai untuk dijadikan tempat Khabbab menjual pedang. Beliau telah menjadikan tuannya, Ummu ‘Anmar kaya dengan perniagaan pedang itu. Walaupun usia Khabbah masih muda, namun beliau telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan kecerdikan akal, kepandaian dan kecerdasan fikiran serta berpandangan jauh.
Di selang waktu, beliau sering terfikir apakah nasib yang akan melanda umat ini. Beliau melihat bagaimana kejatuhan dan kemusnahan nilai manusia sehingga beliau juga tergolong di kalangan mereka yang menjadi mangsa daripada cara hidup jahiliyyah pada ketika itu. Beliau sangat berharap agar kegelapan jahiliyyah yang menimpa mereka itu akan hilang dengan sinar cahaya agama yang boleh mengeluarkan seluruh umat manusia daripada kejahilan mereka yang telah jauh hanyut dan hilang nilai-nilai kemanusiaan mereka.
Dalam keadaan Khabbab mengharapkan dan terus mengharap. Tidak lama selepas itu, sampai berita kepadanya bahawa satu sinar agama telahpun muncul di Kota Makkah al-Mukarramah daripada seorang anak muda Bani Hasyim yang bernama Muhammad bin Abdullah. Khabbab kemudian terus pergi kepada Muhammad bin Abdullah. Beliau cuba mendengar ucapan –ucapan yang disampaikan oleh Muhammad.
Alangkah gembiranya beliau tatkala mendengarkan ayat-ayat suci Allah SWT yang diperdengarkan oleh Rasulullah SAW. Betapa gembira juga beliau apabila mendapati agama yang dibawa oleh Muhammad bin Abdullah tidak membezakan seorang daripada seorang yang lain. Semuanya adalah sama di sisi Allah SWT. Maka, beliau menghulurkan tangannya mengucapkan lafaz kalimah syahadah. Beliau merupakan orang keenam yang memeluk agama Islam di atas muka bumi Allah SWT. Khabbab juga merupakan guru al-Quran yang terawal yang dihantar oleh Rasulullah SAW untuk membimbing kaum muslimin yang baru sahaja memeluk Islam. Beliau membimbing dengan cara sembunyi-sembunyi di rumah mereka.
Sesudah memeluk Islam, Khabbab bin al-‘Arad tidak pernah menyembunyikan agamanya. Beliau merasa bangga dengan agama yang dianuti sehinggakan beliau turut berharap agar seluruh bangsa arab menganuti agama yang beliau anuti. Maka, berita Islamnya Khabbab itu tersebar dengan cepat sehinggakan sampai ke pendengaran tuannya, Ummu ‘Anmar. Kemudian Ummu ‘Anmar mengajak saudara lelakinya, Sibaq bin Abdul Uzza daripada Bani Khuza’ah untuk pergi dan bertanya kepada Khabbab, apakah benar Khabbab telah meninggalkan agama nenek moyang mereka.
Lalu mereka pun bertanya kepada Khabbab adakah beliau meninggalkan agama nenek moyang mereka. Lantas Khabbab pun menjawab, “Aku tidak pernah meninggalkan agama nenek moyang kalian, kerana aku tidak beragama sedemikian. Sesungguhnya aku sekarang telah beriman kepada Allah SWT dan tiada sekutu bagi-Nya. Aku berkecuali daripada berhala-hala sembahan kalian dan aku juga bersaksi bahawa Muhammad SAW adalah hamba Allah SWT dan utusan daripada Allah SWT yang membawa agama yang benar. Ketika mendengarkan ucapan yang keluar daripada mulut Khabbab, lalu tuannya dan kaumnya menjadi lantas mereka memukulnya. Apa jua barang yang dicapai daripada besi-besi besar diambil dan dipukul kepada Khabbab sehingga beliau tersungkur pengsan.
Berita itu kemudiannya tersebar dan Quraisy menjadi takut. Kalaulah seorang hamba sahaya yang tidak ada keluarga yang boleh membelanya, tetap sanggup dan berani melawan tuannya, bagaimanakah nanti orang-orang lain memeluk Islam. Sekiranya dakwah Muhammad ini tidak dikekang, maka ini akan membahayakan. Dengan itu, orang ramai mula menyeksa hamba-hamba mereka. Manakala golongan hamba sahaya pula, apabila mendapat tahu Khabbab memeluk Islam dan mendapat pembelaan dalam agama itu. Maka, ramailah di kalangan hamba sahaya memeluk Islam termasuklah Bilal bin Rabbah.
Apabila golongan Quraisy merasakan Islamnya golongan hamba ini menjadi satu tamparan hebat buat mereka. Mereka mula mengeraskan seksaan terhadap hamba-hamba mereka. Sibaq bin Abdul Uzza telah melakukan penyeksaan-penyeksaan yang hebat terhadap Khabbah yang tidak boleh diterima oleh akal manusia. Mereka itu, ketika matahari mula terik panas, mereka akan membawa Khabbab di tengah-tengah panas dan mereka tanggalkan pakaiannya. Lalu mereka pakaikan Khabbab dengan baju besi dan dijemur di tengah panas sehinggakan tubuhnya kering dan kulit-kulitnya lecur. Mereka kemudian bertanya kepada Khabbab “Apakah katamu tentang Muhammad”. Lalu Khabbab pun menjawab “Baginda ialah hamba Allah dan utusan-Nya. Baginda telah datang kepada kami dan membawa agama yang benar”. Apabila mendengarkan jawapan itu, beliau terus lagi menyeksa Khubbab dan memijak-mijaknya. Mereka tidak akan berhenti sehinggalah Khubbab pengsan dan tidak sedarkan diri. Apabila ditanggalkan baju besi, maka tersiat-siat kulit beliau.
Maka, Rasulullah SAW memerintahkan Khabbab untuk berhijrah. Namun Khabbab mengatakan “Ya Rasullallah, saban hari aku berdoa kepada Allah, agar Allah menunjukkan balasannya kepada Ummu ‘Anmar. Aku tidak akan berpindah selagi Allah tidak membalas kejahatannya itu”. Lama setelah itu, setelah yang lainnya berhijrah, Ummu ‘Anmar ditimpa sakit kepala yang amat sangat. Mereka cuba merawatnya dengan pelbagai rawatan tetapi tidak berhasil. Sakitanya Ummu ‘Anmar sehingga meraung-raung dan dihentakkan kepalanya di batu. Peristiwa sakit itu dapat dilihat oleh Khabbab bagaimana Allah SWT membalas.
Akhirnya, mereka menemui tabib dan tabib itu mengatakan, cara untuk menyembuhkan penyakitnya adalah dengan menikam besi yang panas di kepalanya. Lalau, saat Ummu ‘Anmar meraung sakit kepala, maka mereka menikam kepalanya dengan besi panas. Begitulah diulang setiap kali Ummu ‘Anmar meraung sehingga beliau meninggal akibat sakita kepala dan sakit tusukan besi panas itu. Maka, itulah Allah SWT tunjukkan kepada Saidina Khabbab bin al-Arad balasan yang menimpa Ummu ‘Anmar. Lalu, beliau pun berhijrah ke Madinah al-Munawwarah dan tinggal di bawah perlindungan kaum Ansar dan bersama-sama dengan Rasulullah SAW.
Ketika beliau bersama-sama dengan Rasulullah SAW dalam Perang Badar, Allah SWT memuliakan beliau dengan dapat menyaksikan Sibaq bin Abdul Uzza yang dahulunya menyeksanya telah dibunuh oleh Saidina Hamzah. Beliau mendengar sendiri jeritan Sibaq tatkala ditikam oleh Saidina Hamzah. Begitulah kisah insan-insan pilihan Allah SWT yang sentiasa menegakkan agama-Nya dan sentiasa berdampingan dengan Rasulullah SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 31 Januari 2017
Scroll to Top