Sabar di Hatiku

DALAM rancangan Tarbiyyah yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Jumaat jam 10.15 pagi, Prof. Madya Dr. Syarifah Hayaati binti Syed Ismail membicarakan tentang Sabar di Hatiku. Beliau memulakan syarahan dengan menyentuh bahawa kalimah “Sabar” dalam bahasa Arab berasal daripada tiga huruf sahaja iaitu “sad” “ba” dan “ra”, namun walaupun ia hanya tiga huruf sahaja, tetapi impaknya amat besar sekali dalam kehidupan kita.

Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an yang mafhumnya: “Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung” (Surah al-Imran:200) Dalam ayat ini jelas sekali menunjukkan kepada kita bahawa orang-orang yang beruntung atau berjaya itu adalah mereka yang bersabar dan menguatkan diri dengan sifat sabar tersebut. Dalam bulan Ramadan, bulan yang disebutkan juga sebagai “bulan kesabaran” ini sepatutnya sangatlah kita lebih-lebih  lagi perlu bersabar. Banyak perkara yang kita lakukan di bulan puasa ini kesemuanya menguji kesabaran kita. Walaupun kita berada di depan makanan namun selagi masa berbuka puasa tidak masuk walau satu saat sekalipun, kita mesti bersabar; kita juga diminta bersabar dengan mulut kita daripada membicarakan perkara-perkara yang tidak elok kerana kita tidak mahu puasa kita hanya sekadar berlapar dan dahaga sahaja sedangkan pahala kita tidak dikira di sisi Allah SWT.  Kebiasaannya di bulan Ramadan ini juga dengan berlapar, kita cenderung untuk menjadi orang yang mudah marah sepertimana disebut “hungry man is an angry man” “orang yang lapar itu orang yang pemarah.  Kadangkala pagi-pagi hari pun, kita mudah melenting hanya kerana tidak temui stokin untuk ke tempat kerja. Oleh itu hendaklah kita memeriksa diri kita sendiri sejauh mana kesabaran yang kita miliki. Namun tahap kesabaran kita tidak akan kita tahu melainkan setelah kita diuji. Ujian datang dalam pelbagai bentuk dan di sini menguji kesabaran kita.

Sabar ada dalam beberapa keadaan. Pertam sekali sabar untuk melakukan ketaatan seperti membaca al-Qur’an, beribadat, solat teraweh Qiamullail di malam hari dan amalan ketaatan lain. Apakah perasaan kita untuk melakukan amalan-amalan tersebut adakah kita sabar atau kita merasa susah dan malas untuk melakukannya. Kedua, sabar dalam meninggalkan perkara-perkara tidak baik dan maksiat. Sejauh mana kesabaran kita dalam meninggalkan perkara-perkara berdosa. Ketiga ialah sabar ketika berhadapan dengan ujian daripada Allah SWT yang menyusahkan kita dan menimbulkan masalah kepada hidup kita.

Allah SWT meletakkan dalam hati kita kekuatan dalam menghadapi cadaran dan ujian. Banyak perkara yang kita tidak dapat tetapi jarang kita bersyukur dan melihat bahawa apa yang kita dapat itu sebenarnya tidak pernah terbayang oleh kita. Oleh itu kalau ada apa yang kita tidak dapat apa yang kita minta itu sepatutnya kita melihat apa yang kita dapat itu sebagai penyejuk dan pengubat hati kita.

Hari ini hampir semua benda ada password hatta telefon pintar pun ada password. Cuba kita letakkan sabar sebagai password dalam hati kita. Dalam apa jua keadaan, kita ingat bahawa aku kini sedang bersabar. Sebab itu Nabi SAW menyarankan agar apabila kita marah maka kita  hendaklah bersabar, jika dalam keadaan berdiri duduk, jika tidak berwuduk pergi ambil wuduk dahulu dan begitulah seterusnya. Wuduk hendaklah dibiasakan bukan semata-mata untuk solat sahaja, tetapi jika kita tidak  solat pun elok sangat kita  berwuduk kerana ia akan memberi ketenangan kepada kita. Walaupun perkara ini belum ada kajian saintifik dilakukan, namun telah banyak apa yang kita lakukan selama ini termasuk solat terbukti baik untuk peredaran darah dari segi saintifik.

Sabar hendaklah sentiasa meniti di bibir kita agar ia sentiasa memberi bekas ke dalam hati kita. Kita kena insaf, jika kita tidak sabar maka apa yang kita lakukan selama ini akan jadi sia-sia. Amalan hanya akan jadi ibadat, sekurangnya tiga perkara iaitu niat melakukan kerana Allah, kedua mengikut cara yang betul dan ketiga melakukannya dengan akhlak dan adab yang betul. Yang ketiga inilah yang melibatkan sabar. Jika kita melakukan sesuatu dengan tidak sabar maka ia tidak bermakna. Jadikan sabar sebagai hashtag hidup kita, atau letakkan poster, papan tanda di atas meja kita mengingatkan kita agar sentiasa sabar. Jadikan amalan berwuduk juga sebelum tidur kita kerana ianya terapi diri kita.

Nabi SAW berpesan kepada kita agar jangan marah kerana marah itu daripada Syaitan, dan Baginda SAW mengulangi pesanan ini tiga kali. Bukan bermakna tidak dibenarkan marah samasekali tetapi ia merujuk kepada kemarahan kerana ego dan marah yang tidak terkawal. Moga-moga di bulan Ramadan ini kita akan istiqamah menjadi orang yang sabar dan berterusan hingga di luar sabar.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Jun 2017
\"\"
Scroll to Top