Saat Nyawa Direntap

MANUSIA perlu sentiasa diingatkan tentang kematian yang akan berlaku pada bila-bila masa, kerana dibimbangi apabila tibanya saat dijemput kembali menghadap Allah SWT, kita berada di dalam keadaan tidak bersedia untuk menghadapinya. Ada  dua keadaan yang akan berlaku ketika tibanya saat kematian iaitu sama ada mati di dalam keadaan kita beriman kepada Allah atau mati di dalam keadaan sedang melakukan maksiat dan berada didalam kekufuran. Hadis yang diriwayatkan oleh Barra’ bin Aziq menceritakan pernah suatu ketika Rasulullah SAW melawat jenazah salah seorang daripada kaum Ansar, kemudian Baginda dan sahabat menghantarnya ke kubur.

Ketika jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad,  Rasulullah duduk dan dikuti oleh para sahabatnya yang duduk mengelilingi Baginda. Pada ketika itu kelihatan seolah-olah terdapat burung yang berterbangan di atas kepala mereka, manakala di tangan Rasulullah terdapat tongkat yang dihentak-hentak ke tanah. Lalu Baginda mengangkat kepalanya sambil menyebut: “Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada azab kubur” dan mengulanginya sehingga tiga kali. Ini menunjukkan perkara yang disebut oleh Rasulullah itu adalah perkara yang sangat penting. Baginda berkata lagi, “Jika seorang hamba mukmin itu akan meninggal dunia, turunlah beberapa malaikat daripada langit dengan wajah yang putih dan berseri seakan-akan matahari dengan membawa bersama kain kapan dan minyak daripada syurga Allah. Kemudian para malaikat itu berada pada jarak sejauh pandangan mata orang yang akan meninggal dunia itu.”

Malaikat akan menyebut, “Wahai jiwa yang tenang, keluarlah kamu untuk  menuju keampunan dan keredhaan Allah.” Kemudian keluarlah nyawa daripada jasad dan menurut Rasulullah ia akan keluar seperti air mengalir, meskipun ia tidak dapat dilihat oleh orang lain disekelilingnya pada ketika itu. Lalu malaikat maut akan mengambilnya dan tidak akan membiarkan ia berada lama di tangannya walau hanya sekelip mata dan kain kapan diletakkan dengan minyak kasturi yang paling harum di atas muka bumi ini. Kemudian malaikat akan membawa roh ke langit, sambil melintasi satu kelompok malaikat  yang akan bertanya roh siapakah itu yang sangat harum baunya. Malaikat yang membawa roh menjawab, inilah roh fulan bin fulan dengan nama yang paling baik yang digunakan semasa kita hidup di dunia dahulu.

Apabila pintu langit dibuka, roh dihantar bermula daripada langit terendah sehingga ke tingkat yang ke-tujuh. Tibanya roh dilangit yang tertinggi itu, Allah mula berfirman, “Tulislah di dalam buku catatan hambaku ini, dia berada di Illiyeen. Lalu kembalikan roh ke tanah kerana sesungguhnya Aku menciptakan daripada tanah, pada tanah akan dikembalikan dan daripada tanah juga akan Aku keluarkan pada suatu hari nanti.” Kemudian roh akan dikembalikan kepada jasad dan akan dapat melihat siapakah yang memandikan dan menguruskan jenazahnya.

Seterusnya, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menyebut di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada jam 5.15 petang pada setiap Khamis, roh akan melihat segala perkara yang berlaku ke atas jasadnya sehingga dibawa ke perkuburan. Di saat ini jugalah al-Quran yang berada di hujung kepala akan masuk di antara tangan dan dada sewaktu dikapankan. Setelah dikebumikan, roh akan kembali kepada jasad, lalu didatangi dua malaikat yang duduk dihadapan jasad serta terus mengajukan soalan, “Siapa tuhan kamu?. Si mati menjawab, “Allah tuhanku”. “Apa agamamu?, dijawab “Islam agamaku”. Malaikat bertanya lagi, “Siapakah yang diutuskan di kalangan kamu, siapa nabimu?, lalu dijawab, Nabiku ialah Rasulullah Muhammad bin Abdullah”.  “Apa ilmu kamu?”, dijawab oleh si mati, “Aku membaca Kitabullah dan aku mempercayai dan meyakini kitab Allah di dalam hidupku”.

Setelah selesai sesi pertanyaan daripada malaikat itu, kedengaran seruan daripada langit yang berkata, “Benar apa yang disebutkan itu, hamparkanlah baginya jalan ke syurga dan bukakan pintunya di syurga.” Lalu si mati akan memasuki syurga melalui pintu yang berbau sangat harum. Rasulullah SAW berkata, kuburnya akan diluaskan sejauh mata memandang dan didatangi oleh seseorang yang sangat cantik dan tampan dengan pakaian yang indah serta harum dan menyebut, “Berbahagialah dengan sesuatu  yang menggembirakan”. Setelah ditanya oleh si mati siapakah orang yang tampan itu, dia menjawab bahawa dia adalah amalan yang dilakukan si mati ketika hidup di dunia dahulu. Si mati akan berdoa kepada Allah agar mempercepatkan tibanya hari kiamat agar dapat kembali kepada keluarganya dan mengecapi nikmat ganjaran yang akan diperolehinya.

Rasulullah SAW mengingatkan pula mereka yang meninggal dunia yang berada di dalam kelompok orang yang munafik dan kufur, akan didatangi malaikat yang berwajah kehitaman  dengan memakai pakaian berbulu tebal. Lalu para malaikat akan duduk di sekitar jasad itu sejauh mata memandang dan datang ke sisinya, menyebut, “Wahai jiwa yang buruk, keluarlah kamu daripada kemurkaan dan kemarahan Allah.” Kemudian terpisahlah nyawa daripada jasadnya. Imam Qurtubi menyebut, setelah roh diperintahkan untuk keluar daripada jasad, ia akan lari bertempiaran kerana ketakutan tidak mahu keluar di dalam keadaan yang menyakitkan. Nyawa orang-orang yang munafik dan kufur ini akan dicabut seperti tercabutnya besi pemanggang daripada  bulu yang basah. Roh diletakkan pada besi pemanggang dengan bau bangkai yang paling busuk di atas muka bumi ini.

Malaikat membawa naik roh  ke langit dan apabila bertemu dengan kelompok malaikat yang terbau busuknya roh itu, diberitahu itulah roh fulan bin fulan dengan sebutan yang sangat buruk sebagaimana sebutan ketika di dunia dahulu. Lebih menakutkan apabila pintu langit tidak terbuka, sebagaimana Rasulullah SAW membaca surah al-A’raf, ayat ke 40 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah kami membalas  orang orang yang melakukan kesalahan”. Kemudian Allah memerintahkan agar roh itu ditempatkan di Sijjin iaitu tempat orang-orang paling celaka dan seterusnya roh itu dicampakkan kembali kepada jasad. Lalu bermulalah saat-saat yang paling menakutkan dan menyakitkan yang akan dialami oleh mereka yang tidak beriman kepada Allah di dalam perjalanannya menuju akhirat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 31 Mac 2016
Scroll to Top