Rezeki Yang Dicari

MANUSIA dijadikan Allah SWT untuk beribadah kepadaNya. Allah SWT menjelaskan akan perkara ini melalui firmannya dalam ayat suci al-Quran yang bermaksud “Tidaklah aku menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepadaku”. Hakikatnya ayat ini mengingatkan manusia supaya dalam apapun bentuk perbuatan yang dilakukan mestilah berteraskan kepada niat ibadah kerana Allah SWT.

Barangkali manusia tidak sedar, setiap perbuatan yang dilakukan walaupun sekecil perbuatan jika dilakukan kerana menjaga syariat Allah SWT akan mendapat pahala dan keberkatan daripada Allah SWT. Sebenarnya manusia di atas muka bumi ini umpama seorang musafir yang sedang berjalan mencari kurniaan dan rezeki Allah.

Menerusi rancangan Islam itu Indah, bersama Ustaz Abdul Rahman Harman Shah Raniri yang bersiaran di radio IKIM jam 10.15 pagi Rabu lalu, beliau berkata bekerja adalah ibadah yang mempunyai banyak kelebihan jika dilaksanakan secara sempurna dan bersungguh-sungguh. Metodologi atau khaifiat yang dilakukan dengan baik, teratur dan mengikut syariah Allah pastinya akan mendapat pulangan pahala untuk akhirat dan hasil yang baik di dunia ini.

Sebenarnya apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang mukmin mesti disematkan dalam diri bahawa sepanjang waktu dalam hidup kita adalah ibadah. Justeru setiap perbuatan seseorang mukmin ada ganjaran pahala yang terselit di sebaliknya.

Umpamanya bagi seseorang peniaga muslim yang jujur dan amanah dalam perniagaannya, akan ditempatkan bersama para nabi dan para syuhada di hari akhirat nanti. Oleh itu para peniaga hendaklah menyiapkan dan mengamalkan amalan atau perbuatan yang jujur dan amanah kerana ini adalah syarat yang akan membawa mereka ke syurga Allah.

Hakikatnya apa juga bentuk pekerjaan sama ada guru, doktor atau sesiapa sahaja, roh bekerja dengan niat untuk ibadah kerana Allah akan mendapat ganjaran pahaja yang besar. Allah SWT mengurniakan kebaikan dan kerahmatannya kepada para mukmin, yang melaksanakan tugasan waima kerja-kerja harian sekalipun akan diberi ganjaran pahala yang besar.

Allah SWT memuliakan seseorang mukmin yang menjalankan kerja dengan penuh ketaatan, jujur, amanah, rajin dan berusaha secara bersungguh-sungguh. Dalam sebuah riwayat diceritakan seorang lelaki bekerja sebagai penjual kayu api. Kayu api tersebut diikat dibelakangnya dan dijual kepada orang ramai. Bahkan hasil daripada jualan kayu api itulah digunakan untuk menampung keluarga  malah hasil dari pendapatannya itu disedekahkan pula kepada orang lain.

Lelaki ini telah dikurniakan kebaikan di sisi Allah SWT. Walaupun pekerjaannya sekadar menjadi pengikat kayu api, sesungguhnya adalah lebih baik daripada mereka yang tidak bekerja. Allah tidak menyukai mereka yang tidak bekerja. Orang yang bekerja adalah mereka yang menterjemahkan ketaatan terhadap perintah Allah yang melaksanakan peranannya sebagai khalifah di muka bumi ini.

Begitu juga dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab menunaikan pekerjaan adalah untuk menzahirkan hukum hakam Allah SWT. Rezeki yang halal adalah pokok pangkal dalam segala sudut dalam mencari rezeki dalam kehidupan ini. Justeru dalam menegakkan amal makruf nahi mungkar, seseorang pekerja perlulah meninggalkan perkara-perkara yang membawa kepada kemungkaran bahkan menghalang dari berlakunya sesuatu perkara yang bolen menjerumuskan manusia ke arah perbuatan yang tidak baik.

Umpamanya sekiranya terdapat perbuatan seperti rasuah, penipuan, pecah amanah dan sebagainya, ia adalah tanggungjawab setiap mukmin mencegah dari perbuatan buruk ini merebak dan menjadi barah dalam masyarakat.

Dalam satu riwayat, Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh para sahabat “Wahai Rasulullah, bolehkah berlakunya seseorang mukmin itu kedekut? Lalu baginda berkata “boleh jadi” lalu sahabat bertanya lagi “bolehkah berlakunya seseorang mukmin itu penakut?, lalu baginda juga menjawab “boleh jadi” lalu sahabat bertanya lagi “bolehkah berlakunya seseorang mukmin itu penipu?” lalu baginda menjawab “tidak akan boleh jadi seseorang mukmin itu menipu kerana seseorang mukmin tidak akan menipu dalam melaksanakan tugas atau peranannya sebagai manusia dalam kehidupannya.

Justeru, seseorang mukmin hakikatnya haruslah beramal dengan amalan yang soleh dalam apa juga perbuatan dan tindakan. Ini kerana sekecil-kecil perbuatan ada ganjaran pahala di sisi Allah. Carilah rezeki yang halal kerana rezeki yang halal akan meletakkan seseorang mukmin di kalangan orang-orang yang soleh di sisiNya. Apa yang pasti seseorang yang beramal soleh, tinggi ketaqwaan di sisi Allah akan dikurniakan ganjaran syurga untuknya kelak. Tidak ada apa yang paling dikendaki seseorang mukmin di muka bumi ini, selain mendapat kemuliaan di muka bumi ini dan penjadi penghuni syurga Allah di akhirat kelak.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Mei 2017

86total visits,1visits today

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa dan juga Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 13 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm