Rasa Diri Berguna

MERASA diri hina dan tidak berguna di sisi manusia dan makhluk lain ditegah oleh Allah. Ia merupakan sifat terkeji yang patut dijauhi. Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud:- \”Janganlah kamu takut pada seseorang makhluk tapi takutlah kepadaKu. \”(Surah Al Maidah:, ayat 44). Oleh itu, jadikanlah diri  rasa  sentiasa berguna agar dapat meneruskan kehidupan .

Menerusi tajuk yang menyentuh tentang “Rasa Diri Berguna” dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada minggu lalu, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin  berkata  orang yang paling dicintai  oleh Allah SWT ialah manusia yang paling banyak  memberi  manfaat kepada orang lain. Perkara tersebut dibuktikan apabila Rasulullah SAW bersabda “Sebaik-baik  manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia”. Misalnya, dalam institusi keluarga kita disaran menjaga hubungan antara satu sama lain kerana kelebihan memelihara silaturahim akan mendatangkan kebaikan, mampu dipanjangkan umur serta rezeki yang murah. Justeru, umat Islam yang memandang remeh hubungan silaturahim pastinya tidak mendapat keberkatan rezeki yang baik. Setiap orang di atas muka bumi ini tidak terlepas daripada amanah dan tanggungjawab. Baik yang tua mahupun yang masih muda. Kedua-dua  sifat tersebut  khususnya  sifat bertanggungjawab menjadi faktor terpenting agar merasa diri  berguna di sisi Allah dan manusia yang lain. Tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.  Segala tanggungjawab ini, daripada sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya akan diminta pertanggungjawabannya di akhirat kelak .

Sifat bertanggungjawab kepada diri sendiri merujuk kepada bagaimana cara kita menguruskan diri kita. Dari aspek agama, kita boleh kaitkan tanggungjawab terhadap diri sendiri ini dengan menyempurnakan tuntutan agama ke atas kita selaku seorang muslim. Bukan itu sahaja, tanggungjawab terhadap diri sendiri juga merangkumi bagaimana kita menguruskan personaliti dan peribadi diri kita. Umpamanya, menjaga pakaian kita  agar  sentiasa kelihatan kemas. Seterusnya mengambil tanggunjawab terhadap ahli keluarga. Dalam sesebuah keluarga, bapa atau suami merupakan ketua kepada keluarga tersebut dan memainkan peranan yang paling besar dalam pembentukan keluarga. Misalnya, dalam soal agama, ketua keluarga ini wajib menyemai nilai-nilai yang diajarkan oleh Islam ke dalam diri setiap ahli keluarga. Tidak dapat dinafikan  dalam  institusi rumahtangga  wujudnya situasi di mana hanya isteri  sahaja yang membantu  ahli keluarganya mencari nafkah. Bagaimanapun, dalam perkara ini  suami  tidak harus memandang enteng. Sebaliknya, memberi kerjasama dan meghulurkan bantuan.  Suami tersebut wajib mendidik dan mentarbiyah mereka sehingga ahli keluarganya dapat beramal dan melaksanakan tuntutan agama ke atas mereka. Sebenarnya, pembentukan sesebuah masyarakat yang cemerlang dan berpegang teguh dengan syariat Islam bermula dari peringkat keluarga lagi. Jika baik proses pentarbiyahan di peringkat keluarga, maka akan lahir jugalah masyarakat yang cemerlang yang \’berdiri\’ atas syariat Islam. Tetapi, perkara ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa ada kesedaran dalam kalangan ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya. Tiada seorang pun manusia didunia ini hidup keseorangan. Manusia telah dijadikan hidup berpasang-pasangan dan hidup dalam komuniti atau masyarakat. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap masyarakat mengikut kemampuan kita. Dengan memenuhi tanggunjawab tersebut  secara tidak langsung membolehkan seseorang indivdu  melebarkan komunikasi dengan ahli masyarakat yang lain. Ia dpat dilakukan apabila  individu berkenaan melibatkan diri dalam  aktiviti-aktiviti  yang dianjurkan oleh   pelbagai pihak seperti masjid, surau, dan persatuan kebajikan

Menurut  Muhammad, selain daripada menunaikan tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat, kita  juga tidak harus lupa akan tanggungjawab terhadap Negara. Hendaklah kita  berusaha  dengan  sepenuh hati dalam mempertahan dan membangunkan  negara yang kita cintai. Sifat hubbul watan (cinta dan kasih sayang pada Negara) harus disemai pada setiap lapisan umur. Dengan kepesatan pembangunan teknologi maklumat yang dikecapi sehingga hari ini,  tidak bermakna kita  alpa terhadap tanggungjawab  sebegini. Justeru, anak-anak  harus dipupuk agar  mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara. Dalam menjayakan  usaha ini, ibu bapa dan guru-guru  perlu memberikan komitmen yang jitu dan ikhlas dlam melaksanakannya.

Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Begitu juga  saat-saat diri kita berasa tidak dihargai. Allah SWT kemudiannya menjanjikan pertolongan kepada hamba-hambaNya. Rasulullah SAW bersabda : Janganlah kamu benci-membenci, dengki mendengki dan masam-masam muka. Hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).  Oleh itu, hiasilah diri kita dengan kasih sayang dan tidak menumbuhkan rasa kebencian terhadap orang lain. Ini kerana sifat sedemian boleh menjurus kepada permusuhan dan pergaduhan di dalam sesebuah masyarakat. Seterusnya, kita juga disaran agar berani dengan mencari perkara-perkara lain yang boleh mendatangkan kebaikan pada diri kita. Misalnya, jika seseorang itu telah mengalami kegagalan dalam urusan perniagaan yang diusahakan selama ini, maka  individu tersebut  perlu maju kehadapan dan mengenal pasti potensi atau bakat yang memberikan  kebahagiian dan kecemermmerlangan pada diri.

Dalam melahirkan penghargaan kepada orang lain pula,  kita diituntut  untuk memilki  sifat ihtiram  yang merujuk kepada menghormati dan meberi kemaafan kepada orang lain. Satu lagi sifat yang perlu ditonjolkan adalah ikram yakni  memulikan orang lain  tidak kira apa jua  situasi  yang dihadapi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Disember 2016
\"2016-12-09\"
Scroll to Top