Beliau menjelaskan, bukan semua dokumen yang diperoleh itu relevan menyebabkan pasukannya terpaksa meneliti satu persatu bagi mengorek bukti baharu yang diyakini memihak kepada Malaysia.

“Kami percaya tiga fakta baharu itu mampu mengubah pendirian ICJ kerana bukti-bukti berdokumen yang diketengahkan adalah kukuh dan membawa petunjuk bahawa Pulau Batu Puteh milik Johor,’’ ujar beliau dalam sidang akhbar di Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

Mohamed Apandi mengumumkan persediaan Malaysia membawa permohonan ke ICJ yang beribu pejabat di The Hague, Belanda dalam usaha mengetepikan keputusan pada 2008 yang berpihak kepada Singapura dalam tuntutan bertindih berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh/Pedra Branca.

Menurut Peguam Negara, berikutan perkembangan terbaharu itu, pihaknya difahamkan bahawa pasukan Singapura telah menghantar 10 pegawainya ke London untuk meneliti dokumen-dokumen di arkib ber­kenaan yang mungkin menyebelahi negara itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, bukti-bukti baharu itu tidak dikemukakan ketika perbicaraan berlangsung kerana dokumen-dokumen berkenaan ketika itu diklasifikasikan sebagai sulit.

Akhbar melapor­kan, dokumen-dokumen itu hanya didedahkan kepada umum pada September 2013, selepas lima tahun keputusan dan Malaysia mem­perolehnya di antara 4 Ogos tahun lalu dan 30 Januari lalu ketika menyemak kembali fail arkib pentadbiran tanah jajahan yang didedahkan kepada umum.

Dalam kenyataan akhbar melalui laman sesawangnya pada Jumaat lalu, ICJ berkata, dokumen itu termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

Ujarnya, bukti-bukti tersebut merupakan petunjuk baharu kerana keputusan ICJ pada 2008 bersandarkan kepada fakta utama iaitu surat yang me­rujuk kepada kiriman daripada Pemangku Setiausaha Negeri Johor kepada Setia­usaha Jajahan Singapura yang menyebut ‘kerajaan Johor tidak menuntut hak pemilikan Pulau Batu Puteh’.

Dalam perkembangan yang sama, Mohamed Apandi memaklumkan, pihaknya telah melantik seramai enam pakar dalam pelbagai bidang dari dalam dan luar negara bagi menganggotai pasukan yang akan berlepas ke The Hague nanti.

“Saya akan melantik dua lagi dan mengumumkan identiti mereka dalam tempoh terdekat. Mereka bukan calang-calang orang dan setanding dengan pasukan Singapura,’’ ujar beliau.

Peguam Negara turut menyatakan, setakat ini tarikh untuk pengurusan kes masih belum diperoleh kerana ICJ menunggu maklum balas dari Singapura selepas usul permohonan semakan itu dikemukakan.

Ketika ditanya jangkaan tarikh pendengaran permohonan tersebut, beliau tidak dapat memberi kepastian kerana banyak kes litigasi melibatkan pelbagai negara didengar di sana.

Mohamed Apandi turut menyatakan, sepanjang proses penelitian dokumen, beliau mendapati, banyak naskhah ditulis dalam bahasa Perancis dan bahasa itu dibenarkan ketika berhujah selain bahasa Inggeris.

Sehubungan itu, Peguam Negara mahukan para pegawainya mempelajari bahasa Perancis sebagai bahasa alternatif dengan mewujudkan kelas bahasa yang beliau sendiri akan mendaftar sebagai pelajar.