Persiapan di Bulan Rejab

ILMU itu ibarat pelita cahaya yang menyuluh kehidupan manusia, menebar sinar pada hati yang berdepan saat kegelapan. Bahkan, manusia manusia itu sewajarnya memiliki nilai konsistan yang tinggi terhadap ilmu kerana melalui ilmu itulah yang akan meningkatkan darjat manusia sehingga ke peringkat yang paling tinggi.

Melalui rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menyentuh tentang betapa pentingnya bagi seseorang memiliki pengetahuan ilmu yang jelas dan tinggi kerana dengan ilmu itu jugalah yang akan membina martabat seseorang manusia itu pada pandangan manusia dan sisi Allah SWT.

Justeru, menurut Ustaz Pahrol, melalui pengetahuan ilmu akan membolehkan seseorang manusia akan lebih dekat memperaktikkan soal agama dalam kehidupan mereka. Justeru, dengan keberadaan dibulan Rejab ini akan lebih memberi kesedaran kepada seseorang manusia untuk membuat persiapan rapi bagi menyambut ketibaan bulan Ramadan yang penuh kemuliaan.

Sesungguhnya bulan rejab adalah bulan yang mengingatkan umat Islam akan hampirnya kedatangan bulan yang dinanti-nantikan oleh sekelian Umat Islam yang beriman kepada Allah SWT. Ini kerana keberkatan dan kelebihan bulan Ramadan itu sendiri akan mengurniakan kelebihan bagi umat Islam merebut ganjaran pahala di bulan Ramadan yang berlipat kali ganda kelebihannya.

Oleh demikian, umat Islam dianjurkan untuk berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan usia yang panjang, kesihatan yang baik dan kesempatan yang seluas-luasnya agar dapat ‘bertemu’ dan mempunyai kesempatan untuk beribadat di bulan yang mulia itu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan”

Manakala dalam hadis yang lain Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “ Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan mengharap pahala (redha Allah SWT), maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.

Oleh itu sebagai seorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT, kita amatlah dituntut untuk membuat persediaan dan persiapan menjelang bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan. Umat Islam yang taat kepada perintah Allah sentiasa berusaha memperbaiki tingkat keimanan kepada Allah SWT dan selalu menanam pengharapan kepada Allah SWT.

Pengharapan seseorang mukmin itu hanya digantung kepada Allah SWT semata-mata tanpa mengharap belas ehsan dan pengharapan dari manusia. Ini kerana semua manusia sungguhpun dipinjamkan kuasa, pangkat atau harta, hakikat yang sebenar mereka tidak memiliki apa-apa dan sifat manusia itu juga rapuh seperti tahan pokok yang sampai waktunya akan tua, luluh dan layu.

Oleh itu, sebagai manusia yang beriman, seseorang mukmin itu hendaklah menggantung tali pengharapan dan keimanan hanya kepada Allah yang maha kuasa.

Menurut Ustaz Pahrol, kesempatan usia yang Allah berikan pada bulan Rejab ini hendaklah digunakan dengan bijaksana untuk membuat persediaan spiritual dan fizikal menjelang tibanya bulan Ramadan yang bakal kunjung tiba nanti.

Untuk itu, setiap kali menjelang tarikh 27 Rejab, yang mana terdapat peristiwa Israk Mikraj, umat Islam mestilah memahami intipati peristiwa berkenaan dan mengambil sebanyak mungkin ibrah dari peristiwa itu untuk memperbaiki kekurangan diri.

Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj mengandungi seribu satu pengajaran bagi umat Islam untuk mengambil iktibar dalam setiap peristiwa yang berlaku supaya dapat membina kualiti diri dan menjadi seorang muslin yang mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Secara sepintas lalu, Peristiwa Israk Mikraj ini terkandung sebuah perjalanan spiritual Nabi Muhamad SAW yang mana perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam nyata ini berkitan kehidupan para mukmin.

Sesungguhnya peristiwa tersebut selain memperlihatkan kekuasaan Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama menjelaskan kepada manusia bahawa setiap perbuatan jahat pasti ada pembalasannya. Bahkan dengan sepatah kata sekalipun sekiranya ia menyakiti hati manusia lain, orang yang mengungkapkan kata-kata itu akan menerima pembalasannya. Justeru seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW bahawa diam itu lebih baik dari berkata-kata sekiranya ia tidak mendatangkan kebaikan.

Akhir sekali, umat Islam hari ini mestilah mencontohi para alim dan ulama terdahulu yang selalu tawaduk dan warak dalam beribadat. Para solihin dinukilkan membuat persiapan dari segi ibadat dan ketaqwaan kepada Allah SWT selama enam bulan menjelangnya Ramadan. Perbuatan tersebut adalah terjemahan dari nilai ketaatan, ketaqwaan dan keimanan yang tinggi terhadap agama Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 Mei 2016
\"2016-05-11\"
Scroll to Top