Perancangan Allah Itu Takdir

DALAM hidup ini terlalu banyak perkara yang meyeronokkan, tanpa kita sedari bahawa ianya sebenarnya boleh merosakkan kita. Tanyalah penagih dadah, tidakkah mereka tahu dadah itu merosakkan, tetapi kerana tarikan sedap dan seronok yang ada pada dadah, mereka abaikan larangan itu sebab pastilah pada awalnya ianya sangat nikmat.

Allah SWT telah berfirman “Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu  sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu “ (Surah Al –Baqarah, ayat 216) . Hidup sentiasa menjanjikan sesuatu di luar jangkaan. Yang pasti hidup sentiasa berdepan dengan  pelbagai  ujian dan cabaran yang bukan sedikit. Cabaran itulah yang adakalanya membuat kita lemah  dan tersungkur. Oleh itu,   dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang dikeudarakan di IKIMfm pada minggu lalu , Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin  menekankan  bahawa dalam menongkah arus kehidupan yang serba mencabar  di dunia ini , betapa pentingnya setiap khalifah di muka bumi  mempunyai satu sistem kepercayaan  yang  utuh dan mantap  iaitu  kepercayaan  kelima . Ia merujuk kepada     kepercayaan yang tinggi kepada  takdir (qada dan qadar yang ditentukan oleh Allah) SWT)  . Islam  sememangnya menitikberatkan sifat sabar. Dalam  konteks menghadapi ujian  atau musibah atau malapetaka, seseorang hamba Allah itu, insya Allah, akan berjaya mengekalkan kesabarannya , jika  dia sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran tentang hakikat atau hikmat musibah itu, atau jika hamba Allah itu sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah SWT. Malah, dengan yang demikian, kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh.

Menurut Muhammad  , kepercayaan kelima  merangkumi empat  elemen . Pertama, seseorang itu harus  yakin dan  percaya  bahawa jodoh dan pertemuan itu  adalah di tangan Allah SWT. Soal jodoh dan pertemuan bukan sesuatu yang mudah untuk diungkapkan  kerana  kadang-kadang ia terjadi dengan sendiri tanpa disedari.  Janganlah  sesekali kita sesali  dengan  jodoh yang dikurniakan  kerana ia merupakan takdir yang ditentukan oleh  Tuhan Yang Maha Esa.  . Seringkali kita mendengar ungkapan , jodoh, pertemuan , ajal maut di tangan Tuhan. Ia cukup baik untuk direnungkan kerana ia mampu mendidik manusia dengan sifat Qana’ ah  (bersyukur dengan apa yang ada) tetapi wujud pula manusia yang terlalu cepat menyerah kepada takdir , tanpa sebarang usaha. Seterusnya, Allah tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuan hambanya. Sebagaimana firma Allah SWT yang bermaksud ”Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Surah  Al Baqarah , ayat  286). Ayat tersebut bertujuan  mengingatkan kita bahawa Allah tahu kita ada kekuatan untuk menghadapi ujian ini. Kekuatan yang tersembunyi dalam diri kita, tinggal kita sahaja untuk mencari kekuatan itu. Namun terkadang kita jarang kaitkan ayat  berkenaan  dengan satu anugerah, rezeki, jawatan atau situasi yang kita harapkan dapat kita miliki. Contohnya, sepasang suami isteri yang mengharapkan dikurniakan cahaya mata, namun sehingga kini, masih tidak mendapat seperti yang diharapkan. Mengaitkan dengan ayat  tersebut  bahawa Allah tidak akan membebankan hambaNya melebihi kemampuan seseorang itu, maka ia memberitahu bahawa kemungkinan, kita belum bersedia untuk menjadi ibubapa yang baik dan sekiranya Allah penuhi permintaan kita mengikut kehendak kita, belum tentu kita dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ibubapa dengan sebaiknya. Allah takkan bebankan kita dengan sesuatu yang kita tidak mampu, bukan?

Ketiga, apa sahaja yang dilalui oleh manusia adalah ujian yang  diturunkan oleh -NYA. Allah menguji seseorang bukan kerana DIA  benci kepada kita tetapi percayalah  Allah menguji kita kerana DIA sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hamba- Nya, adakala tidak mampu bertahan dan bersabar dalam menghadapi ujian- Nya.Oleh itu, perbaikilah diri kita  agar sentiasa menjadi umat yang  cukup tenang dalam menerima takdir dan ujian dari Illahi.  Sentiasa sematkan dalam diri kita bahawa yang kita minta belum tentu yang terbaik buat kita.. Yang terbaik buat kita tak semestinya Allah suka.. Belajarlah redha apa yang kita ada.. Itulah yang terbaik buat kita.. Walaupun itu bukan yang kita suka. Akhir sekali, dalam memperkuatkan lagi kepercayaan lima dalam diri , berpegang teguhlah  kepada  Allah SWT apabila dilimpahi  kesenangan . Elakkan diri daripada  memiliki sifat riak dan takabur kerana sifat sedemikian bukannya sesuatu yang patut kita biarkan bermaharajalela dijiwa ,sebaik-baiknyaya berusaha muhasabah diri kerana sifat  tersebut  punca  kepada segala kejahatan . Apabila kita  ditimpa kesusahan pula, yakinlah bahawa selagi mana kita meminta takdir yang baik daripada –Nya , nescaya akan dberikan pertolongan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 September 2016
\"2016-09-05\"
Scroll to Top