Penjara khas untuk pesalah syariah

GOMBAK, 17 Mac – Penjara khusus untuk tahanan yang dibicarakan mengikut Mahkamah Syariah perlu diwujudkan bagi menjamin keberkesanan aspek pemulihan dan kebajikan banduan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata kebanyakan kes pesalah syariah seperti zina, mengajar tanpa tauliah dan tiada kebenaran berpoligami, tidak membabitkan mangsa.

“Kes seperti ini lebih bersifat tatacara pentadbiran, justeru tidak adil untuk mereka ditempatkan di penjara sivil yang merangkumi pelaku jenayah dadah dan rogol.

“Mereka (banduan syariah) sepatutnya ditempatkan di penjara khusus yang menyediakan aspek pendidikan dan penerangan mengenai Islam merangkumi akidah serta akhlak untuk tujuan pemulihan.

“Pendekatan ini lebih bersesuaian dengan apa yang diperuntukkan dalam agama,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel Simposium Rang Undang-Undang (RUU) 2016: Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan, Cabaran dan Keprihatinan di sini, hari ini.

Tiga panel lain pada simposium anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu adalah pakar undang-undang, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar; dan peguam Nizam Bashir serta Arunachalam Kasi.

Yang turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Zainul Rijal berkata, RUU Memperkasa Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 atau Akta 355 bukan ‘jendela’ untuk melaksanakan hukuman hudud di seluruh negara.

“Potong tangan atau hudud diperuntukkan bagi kesalahan mencuri jika dibicarakan mengikut undang-undang Islam, namun kesalahan itu ketika ini tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Sivil.

“Selain itu, kita tidak boleh kenakan hukuman potong tangan terhadap pesalah kes murtad dan qazaf kerana ia bercanggah dengan hukum syarak,” katanya.

Beliau menyifatkan cadangan umat Islam diberi pilihan untuk dibicarakan mengikut Mahkamah Syariah atau Sivil hanya mengundang masalah dalam sistem perundangan dan prosedur penghakiman.

Selain itu, katanya, pesalah akan cuba mengambil kesempatan supaya dibicarakan mengikut undang-undang yang memperuntukkan hukuman paling ringan, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Pesalah sudah pasti akan pilih mahkamah yang akan beri hukuman paling ringan, justeru mana keadilan untuk waris mangsa dalam kes berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata kerajaan negeri akan mempersembahkan intipati Akta 355 kepada pertimbangan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana baginda adalah Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang.

“Inisiatif awal mesti dibuat menerusi Majlis Agama Islam Pahang kerana agensi ini saja boleh tentukan hala tuju untuk kita memperkukuh Mahkamah Syariah di peringkat negeri, namun secara formaliti ia perlu dibincangkan di Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Syafiq Salleh

Merupakan Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Mengendalikan segmen Destinasi IKIMfm serta terlibat dalam suntingan artikel dan berita. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Memilik Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dari Politeknik Malaysia. Boleh dihubungi melalui email msyafiq@ikim.gov.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *