Naungan dan Pepohon Syurga

KEINDAHAN di syurga turut menggambarkan kerehatan dan kedamaian bagi manusia daripada segala kelelahan yang berpanjangan ketika menjalani kehidupan di dunia dahulu. Allah menggambarkan juga naungan di syurga dengan pepohonan dan pokok-pokok yang jaraknya di antaranya dengan perjalanan berkuda akan mengambil masa selama 100 tahun untuk melepasinya, yang sudah tentunya tidak terjangkau oleh manusia. Naungan pepohonan di syurga terbentang luas sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, di syurga ada pohon yang ditempuh oleh penghuninya di bawah naungannya selama 70 tahun atau 100 tahun iaitu pokok-pokok yang dinamakan keabadian yang akan kekal buat selama-lamanya.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsiannya di dalam slot Mau’izati di IKIMfm pada hari Khamis jam 5 petang minggu ini menceritakan kisah pokok Khuldi di dalam syurga dan kaitannya dengan Nabi Adam AS. Sewaktu Baginda dipujuk oleh syaitan melalui Hawa, supaya memakan buah pokok Khuldi, walaupun telah diingatkan oleh Allah untuk memakan semua buah-buahan yang terdapat di dalam syurga kecuali buah daripada pohon tersebut. Jika perintah itu diingkari, maka Baginda akan tergolong di kalangan orang yang zalim. Tapi sayangnya syaitan telah merosakkan Nabi Adam dan pohon Khuldi telah ada di dalam syurga sehingga kini dan menanti kedatangan penghuni syurga. Bahkan pohon ini juga merupakan teduhan kepada Nabi Ibrahim AS.

Hadis riwayat Ibnu Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda, “Aku bertemu dengan Nabi Ibrahim pada malam israk dan mikraj, di saat aku berjumpa itu Nabi Ibrahim menyebut, “Wahai Muhammad, tolong sampaikan salamku kepada umatmu. Khabarkan kepada umatmu itu, syurga-syurga itu mempunyai tanah yang sangat harum dengan lembah-lembah yang mengalirkan air yang tawar bahkan di sana ada lembah-lembah yang cantik. Pepohonan yang berdiri  tersusun indah yang ditanam melalui kalimah-kalimah yang disebut di dunia dahulu iaitu, subhanallah walhamdulillah walailaha ilallah wallahu akbar. Abu Hurairah turut meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda, “Di dalam syurga ada satu pokok yang sekiranya kamu berjalan melintasinya dengan menunggang kuda yang paling laju, perjalanannya memakan masa selama 100 tahun. Sekiranya kamu ingin memahaminya, bacalah ayat ke 30, surah al-Waqiah: “Dan naungan yang tetap terbentang,” Lalu sahabat Baginda yang bernama Qaab berkata, “Benar, demi yang telah menurunkan Taurat kepada lisan Nabi Musa AS dan Imran dan Furqan kepada Muhammad. Seandainya seorang lelaki yang menaiki unta yang berumur tiga atau satu tahun, mengelilingi pangkal pokok tersebut, nescaya unta itu tidak akan sanggup. Kalaupun dia tetap mengelilinginya, unta itu akan menjadi tua sebelum selesai mengelilingi pokok tersebut. Sesungguhnya Allah sendiri telah menanam pokok tersebut lalu ditiupkan rohnya dan dahan-dahannya berasal daripada sebalik dinding syurga dan tidak ada sungai di syurga kecuali semuanya keluar daripada pangkal pokok tersebut.”

Pohon tersebut sangat besar sehingga tidak mampu untuk diukur manusia, kecuali yang telah diceritakan oleh Allah dan Rasulullah dengan menggambarkan tunggangan kuda yang telah dipersiapkan dengan kelajuan yang tinggi sehingga seratus tahun sekalipun tidak akan mampu untuk mengelilinginya. Terdapat beberapa jenis pohon di dalam syurga dan di antaranya ialah sidratul muntaha dan dikhabarkan bahawa Rasulullah SAW melihat Jibril di dalam rupa seperti yang telah diciptakan di pohon tersebut. Di pohon ini terletaknya syurga Makwa dan Rasulullah menceritakan bahawa tempat tersebut diliputi oleh sesuatu yang tidak diketahui oleh sesiapapun kecuali Allah SWT.

Pokok seterusnya yang terdapat di dalam syurga ialah pokok Tuba yang sangat besar dan pakaian-pakaian penghuni syurga diciptakan oleh Allah diperbuat daripada kelopak-kelopak bunga Tuba. Di dalam musnat Ahmad tafsir Ibnu Jarir dan sahih Ibn Hibban, Abu Said al-Qudri menyebut Rasulullah SAW bersabda: “Tuba ertinya pokok di dalam syurga Allah, pokok yang penuh dengan keuntungan bagi sesiapa yang di dalam hidupnya menyibukkan diri mencari keaibannya sendiri berbanding mencari keaiban orang lain. Pakaian ahli-ahli syurga keluar daripada kelopak-kelopak pokok Tuba tersebut.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru, ketika Rasulullah duduk bersama para sahabat, ada seorang lelaki Arab Badwi yang datang bertemu Baginda dan berkata, “Ya Rasulullah, ceritakan kepada kami mengenai pakaian syurga, apakah ia makhluk yang diciptakan atau dijahit atau daripada manakah datangnya?” Ramai di kalangan sahabat pada ketika itu tertawa dengan pertanyaan lelaki tersebut sehingga Baginda bertanya apakah yang mencuit hati mereka, sedangkan pertanyaan seumpama itu tidak seharusnya dipersendakan terutama sekali apabila pertanyaan tersebut ditujukan kepada Rasulullah. Para sahabat terdiam, lalu Baginda mencari siapakah yang bertanya soalan tersebut dan menjelaskan bahawa pakaian ahli syurga keluar daripada buah syurga dan mengulangi jawapannya kepada lelaki itu sebanyak tiga kali iaitu, “Daripada pokok Tuba, daripada pokok Tuba, daripada pokok Tuba…”

Satu lagi pohon yang terdapat di syurga ialah pohon Khuldi. Abu Hurairah menyebut Rasulullah bersabda, “Di dalam syurga itu ada pohon, apabila ada seseorang bergerak berhampiran pohon tersebut dengan penuh kelajuan di dalam keadaan yang dibawah naungan sertaus tahun dan tidak akan mampu untuk manusia melaluinya, iaitu pohon Khuld.” Ulama berpandangan semua batang-batang pohon di syurga diperbuat daripada emas. Apabila manusia berada di bawah pohon tersebut, mereka akan beroleh ketenangan. Firman Allah di dalam surah Yasin, ayat 55-56: “Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan; Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;”

Amalan berzikir ketika hidup di dunia bukan hanya menguntungkan manusia ketika berada di alam kubur, malah juga memberi keuntungan ketika dibangkitkan di Padang Mahsyar dan ketika berada di dalam syurga. Selain itu berzikir akan memberi ketenangan dan kelapangan ketika berada di dalam kesempitan dan kalimah tersebut merupakan nafkah bangunan kepada pengamalnya ketika berada di dalam syurga kelak. Malah kalimah zikir akan tumbuh sebagai pokok dan pepohon yang tertera dengan nama mereka sendiri dan menjadi naungan kepadanya ketika menghuni syurga nanti.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Mei 2017


287total visits,1visits today

Hajah Fairuz Hj. Noordin

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Nukilan dan beberapa rancangan yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm