Nasib Tulisan Jawi Hari Ini

TULISAN Jawi telah lama bertapak di Nusantara dan merupakan tulisan terawal yang dibuktikan kewujudannya dengan penemuan Batu Bersurat di Terengganu bertarikh 702H. Zaman kegemilangan tulisan Jawi terakam dalam sejarah. Dahulu, segala bahan komunikasi dan persuratan ditulis dalam tulisan Jawi. Tulisan Jawi subur di dada masyarakat. Setiap lapisan masyarakat tidak kira bangsa mampu membaca tulisan Jawi. Bahkan, tulisan Jawi juga menjadi tulisan rasmi pada zaman pemerintahan British di Negeri-negeri Tidak Bersekutu di Tanah Melayu.

Kini, tulisan Jawi kian kelam ditelan modenisasi. Akta Bahasa 1961 yang menetapkan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi sedikit sebanyak memberi impak kepada tulisan Jawi. Nasib tulisan Jawi diserahkan kepada golongan tertentu seperti agamawan yang merupakan pengguna setia tulisan Jawi. Keadaan ini bertambah buruk apabila berlaku kemerosotan penguasaan tulisan Jawi. Menurut Isahak Harun et.al (2005), senario kemerosotan ini berlaku pada tahun 1960an dalam kalangan pelajar Islam di sebuah sekolah. Hal ini kerana, tulisan Jawi telah diganti dengan tulisan Rumi dalam penerbitan buku teks dan buku rujukan Pendidikan Islam. Namun, Pada tahun 1980an atas desakan daripada masyarakat Islam, tulisan Jawi digunakan semula bagi tujuan pengajaran subjek Pendidikan Islam di sekolah-sekolah.

Penguasaan tulisan Jawi dalam kalangan orang-orang Melayu amat menyedihkan. Ini berikutan sikap mereka sendiri yang dilihat tidak berminat terhadap tulisan tersebut, apatah lagi tiada pendedahan yang meluas terhadap tulisan berkenaan dewasa ini. Sekiranya perkara ini berterusan, tidak hairanlah jika suatu hari nanti tulisan Jawi hanya menjadi sejarah usang yang terus dilupakan.

Hakikatnya, jika situasi ini benar-benar berlaku, nasib tulisan Jawi ibarat telor dihujung tanduk, bila-bila masa boleh terkubur. Oleh itu, beberapa langkah boleh diambil bagi mengembalikan zaman kegemilangan tulisan Jawi. Antaranya, mengadakan kempen yang berterusan mengenai tulisan Jawi. Kempen yang dilakukan harus menekankan kepentingan tulisan Jawi. Kempen-kempan seperti ini secara tidak langsung dapat memupuk rasa cintakan tulisan Jawi dalam masyarakat.

Di samping itu, jika pendedahan terhadap tulisan Jawi dapat diterapkan dalam kalangan pelajar pada usia kanak-kanak tadika lagi, adalah satu usaha yang baik kerana pendedahan awal ini boleh melahirkan rasa kecintaan terhadap tulisan berkenaan. Selain itu, aktiviti seperti klinik Jawi perlu diwujudkan untuk memberi tunjuk ajar tentang tulisan Jawi. Justeru, peranan sekolah amat penting dalam melahirkan generasi yang celik tulisan Jawi.

Sekiranya pihak sekolah mampu memberi komitmen dalam menyemai semangat tulisan jawi ini, nescaya akan lahir generasi muda yang menghargai tulisan Jawi dan akhirnya tulisan Jawi ini dapat di martabatkan di tempat yang sewajarnya.

Di samping itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membela nasib tulisan Jawi ini. Ibu bapa haruslah menganjurkan anak-anak membaca buku-buku yang ada tulisan jawi. Pembacaan dan penulisan Jawi ini mestilah dibudayakan agar anak-anak tidak kekok membaca tulisan Jawi dan juga fasih membaca tulisan Jawi.

Kesimpulannya, tulisan Jawi merupakan ‘anugerah’ yang perlu dipelihara sebaiknya. Masih belum terlambat untuk kita menjaga tulisan ini agar tidak lenyap ditelan zaman. Menjaga dan memelihara tulisan Jawi adalah tanggungjawab kita semua agar sinar tulisan Jawi yang pernah menerangi Nusantara suatu ketika dahulu dapat diangkat semula serta dihargai sepanjang zaman.

Kredit Gambar : http://mimbarkata.blogspot.my

136total visits,8visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm