Muslim Rohingya Terus Dizalimi

MENGIKUT laporan terbaharu oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan lebih daripada separuh wanita yang melarikan diri dari Myanmar yang mereka temubual telah dirogol. Inilah strategi kejam junta tentara Myanmar untuk mengusir umat Islam Rohingya agar meninggalkan Myanmar, demikian ujar Imam Abdul Malik Mujahid, Pengerusi Burma Task Forcer berpusat di Chicago, Amerika Syarikat ketika ditemubual oleh radio IKIMfm dalam satu slot khas baru-baru ini. Laporan PBB tersebut bukan sahaja menggunakan maklumat data di lapangan, tetapi juga kemudahan teknologi satelit yang dengan jelas dan terang menunjukkan bagaimana kampung-kampung, bangunan dan rumah-rumah milik umat Islam Rohingya dibakar.

Semenjak pihak junta tentara Myanmar mencabut taraf kerakyatan terhadap umat Islam Rohingya, lebih 75,000 telah menjadi pelarian di Bangladesh dan termasuk juga sejumlah besar di Malaysia. Beliau merakamkan penghargaan terhadap rakyat dan pimpinan negara ini yang telah memberikan perlindungan kepada umat Islam Rohingya.  Kebanyakan kaum lelaki dari umat Islam Rohingya yang tidak sempat melarikan diri akan dibunuh atau dipenjarakan di Myanmar oleh pihak tentera. Pendedahan laporan PBB ini telah memaksa pihak Myanmar untuk membela diri dan menjawab dalam siri perbicaraan yang akan dikendalikan oleh PBB yang bakal diadakan pada bulan September ini di Kuala Lumpur bertempat di salah sebuah Fakulti Undang-Undang Universiti tempatan. Pihak kerajaan Myanmar diminta untuk menjelaskan dakwaan bahawa mereka terlibat dalam penghapusan terancang umat Islam Rohingya bermula sejak 1982 dan semakin agresif  dan ganas sejak setahun lalu.

Mengikut laporan PBB tersebut, turut mencatatkan bagaimana seorang ibu yang cuba menyelamatkan anak gadisnya berusia 5 tahun daripada dirogol oleh tentara Myanmar telah disembelih lehernya; begitu juga dengan seorang ibu yang dirogol secara berkumpulan oleh lima orang tentara manakala anaknya yang berusia 8 bulan dibunuh dengan kejam.

Imam Abdul Malik menyeru  umat Islam di seluruh dunia agar bersatu membantah kekejaman yang dilakukan oleh pihak Myanmar. Beliau merasa hairan bagaimana masih ada lagi negara umat Islam yang tidak mempercayai laporan-laporan yang dengan jelas menunjukkan kekejaman telah dilakukan oleh tentera Myanmar, termasuklan laporan terbaharu oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Strategi rasmi yang digunapakai oleh tentera Myanmar, mengikut Imam Abdul Malik ialah merogol anak gadis dan wanita dan membunuh atau memenjarakan kaum lelaki.  Majoriti yang dirogol berusia 20-30 tahun namun ada juga yang berusia seawal 11 tahun.

Seorang wanita bernama Fatima berusia 20-an menceritakan apa yang menimpa beliau dan anak-anaknya di kampung Kyet Yoe Pyin pada bulan November lalu. Beliau bercerita:

“Empat orang tentera pada suatu hari tiba-tiba masuk ke rumah kami, seorang memegang anak-anak saya, dua orang lagi memegang tangan saya. Mereka bersenjata senapang, pistol, pisau dan penuh peluru di pinggang mereka. Anak perempuan saya yang sulung berusia lima tahun menjerit “tinggalkan kami”, lalu mereka membunuhnya dengan pisau. Mereka menyembelihnya di depan saya. Salah seorang tentera mengoyak baju saya. Dua orang merogol saya secara bergilir-gilir. Mereka berusia antara 30-35 tahun. Mereka menyentuh seluruh tempat di badan saya, mereka tidak membuka seluar sekadar membuka zip seluar saja. Saya menentang sekeras-kerasnya, tetapi tidak terdaya, mereka membakar kaki saya dengan plastik”

Ini adalah antara beberapa kisah  daripada berpuluh kisah kekejaman yang dicatatkan dalam Laporan PBB setelah mereka menemubual para pelarian Rohingya. Dahulu, sekitar 5 juta umat Islam di Myanmar, kini hanya tinggal 3 juta sahaja. Rohingya telah dikategorikan sebagai bangsa minoriti yang paling ditindas di dunia mengikut PBB. Mereka terpaksa melarikan diri daripada kekejaman Myanmar ke negara-negara jiran. Imam Abdul Malik menyebut sebanyak 10,000 perahu yang serba kekurangan cuba menyeberangi laut untuk pergi ke Malaysia dan negara-negara jiran lain, namun hanya 3,000 sahaja yang berjaya sampai. Kalau kita mampu melihat di dasar lautan Teluk Bengala dan Laut Andaman, kita akan temui 7,000 lagi perahu-perahu kecil yang tidak sampai ke jiran-jiran telah karam bersama dengan para penumpangnya.

Sebanyak 300 masjid-masjid di Myanmar telah dimusnahkan dan bagi Sami Wirathu, masjid-masjid dianggap sebagai “markas musuh”. Usaha memusnahkan masjid-masjid dan umat Islam masih berterusan dengan melibatkan semua pihak dari junta tentara, polis dan sami-sami bagi menghilangkan kesan sejarah kewujudan umat Islam di negara itu. Umat Islam di Myanmat tiada tempat untuk bergantung melainkan kepada Allah SWT, kerana seluruh jentera kerajaan bersatu bagi menghapuskan mereka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Julai 2017
\"\"
Scroll to Top